
Samsung merupakan antara pengeluar yang aktif dalam memperkenalkan peranti boleh pakai atau lebih tepat smartwatch. Sejak dari kemunculan pertamanya dengan model Samsung Galaxy Gear pada tahun 2013 yang lalu, smartwatch berasaskan platform Tizen keluaran Samsung ini telah mengalami pelbagai transformasi menarik meliputi sokongan spesifikasi dan juga reka bentuk fizikalnya. Bahkan sokongan antaramuka yang telah diperbaiki dari masa ke semasa serta penawaran fungsi yang tidak boleh didapati pada peranti Android Wear telah berjaya meletakkannya antara smartwatch terbaik di pasaran. Ini jelas dapat dilihat dengan kemunculan model terbarunya iaitu Samsung Gear S3 di pasaran baru-baru ini.
■ Speaker terbina-dalam
■ GPS
■ Altimeter & Barometer
■ Tahan lasak
Diperkenalkan Dalam 2 Varian Berbeza
Sebagaimana Samsung Gear S2, Samsung juga turut mengambil pendekatan yang sama dengan memperkenalkan Gear S3 dalam dua varian berbeza iaitu model frontier dan juga classic. Apa yang pasti, kedua-dua model ini telah direka untuk dua golongan pengguna yang berbeza iaitu Gear S3 frontier untuk anda yang sentiasa aktif dan juga Gear S3 classic untuk anda yang lebih menggemari rekaan dengan sentuhan elegan dan mewah. Sebagai rujukan, Gear S3 frontier hanya diperkenalkan dalam warna Black dan Gear S3 classic pula ditawarkan dalam warna Silver. Apa yang lebih menariknya, kedua-dua varian ini telah dijual pada harga yang sama iaitu RM1,399. Walau bagaimanapun, Samsung hanya memperkenalkan model Bluetooth sahaja untuk pasaran tempatan.

| SPESIFIKASI | Samsung Gear S3 frontier RM 1,399 |
Samsung Gear S3 classic RM 1,399 |
| Platform | Tizen wearable platform 2.3.2 | |
| Cipset CPU GPU Teknologi Proses |
Samsung Exynos 7270 Dual Core Cortex-A53 1.0 GHz Mali-T720 14nm FinFET |
|
| Kerangka Saiz Berat |
Stainless Steel 316L 46 x 49 x 12.9 mm 63g |
Stainless Steel 316L 46 x 49 x 12.9 mm 59g |
| Saiz Skrin Sentuh Resolusi Ketahanan Skrin Kepadatan Pixel |
1.3 inci Super AMOLED 360 x 360 piksel Corning Gorilla Glass SR+ 278ppi |
|
| Memori Dalaman Memori Dalaman Tersedia RAM |
4GB 1.5GB768 MB |
|
| Kapasiti Bateri Output Mengecas Teknologi Mengecas |
380mAh 5V0.7A Qi Wireless Charging |
|
| IP Rating | IP68 (Kalis air dan debu) MIL-STD-810G (Tahan hentakan) |
|
| Sensor | Accelerometer, Barometer, Gyros sensor, Heart Rate sensor, Light sensor | |
| Sambungan | Bluetooth v4.2, WiFi 802.11 b/g/n, NFC, GPS, GLONASS | |
| Saiz Tali Jenis Tali |
22mm Active Silicone |
22mm Leather |
| Pilihan Warna | Black | Silver |
Kotak Pembungkusan
Pakej Pembelian
① Samsung Gear S3 frontier
② Dok pengecas wayarles
③ Tali jam ekstra (Small)
④ Adapter pengecas 5V0.7A
⑤ Buku manual
Kesesuaian Peranti Android?!
Sama seperti generasi sebelum ini, Samsung Gear S3 juga boleh disambungkan ke peranti Android daripada jenama lain di pasaran. Namun begitu, sambungan ini hanya terhad untuk sesetengah smartphone sahaja kerana ia memerlukan sokongan spesifikasi asas seperti Android 4.4 dan ke atas dengan kapasiti RAM melebihi 1.5GB.
Senarai rasmi peranti Android yang sesuai:
HTC
• One (M8)
• One (M9)
• 10
Huawei / Honor
• 5X
• P8
• P9 / P9 Plus
• Mate 7
• Mate 8
• Nexus 6P
Lenovo
• X2 Pro
LG
• G Flex
• G Pro 2
• Optimus G2
• Optimus G3
• G4
• G5
• G Vista
• Nexus 5
• V10
Motorola
• DROID Turbo
• Moto MAXX
• DROID MINI
• Moto X
• Nexus 6
• Moto G4 Play
OPPO
• R9
Sony Xperia
• Z2
• Z3 / Z3 Compact
• Z3+
VIVO
• X5 Pro
ASUS
• ZenFone 2
** Senarai ini adalah tertakluk kepada perubahan
FIZIKAL
Paparan Skrin
Dengan paparan skrin Super AMOLED berukuran 1.3 inci dengan resolusi 360 x 360 piksel, Gear S3 frontier mampu memaparkan imej yang sangat terang dan juga jelas. Malah sokongan Ambient Light sensor yang terletak di permukaan skrin sentuh juga menawarkan fungsi Auto Brightness.
**Nota: Bezel pada paparan skrin boleh diputar
sama ada ke kiri atau kanan.
Butang Kawalan
Terdapat dua butang yang disediakan pada bahagian sisi kanan kerangka jam iaitu butang Back yang terletak di bahagian atas dan juga butang Home yang juga berfungsi sebagai butang kuasa.
Tali Jam
Sesuai dengan sasarannya untuk pengguna yang aktif dan gemarkan aktiviti lasak, Gear S3 frontier menampilkan tali jam yang diperbuat daripada silikon yang dikenali sebagai Active Silicone. Walaupun lembut dan selesa untuk dipakai, tali jam ini agak tebal saiznya.
Penukaran Tali Jam
Keistimewaan Gear S3 adalah sokongan pin khas yang memudahkan pengguna untuk menukar pelbagai jenis pilihan tali jam standard berukuran 22mm mengikut kesukaan mereka. Bahkan pakej pembelian juga turut menawarkan tali jam Active Silicone ekstra dalam saiz yang lebih kecil.
Sensor Heart Rate Monitor
Rekaan panel belakang Gear S3 tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Dengan rekaan yang ringkas dan kemas, bahagian ini hanya menempatkan sensor Heart Rate Monitor (HRM) dan juga speaker serta mikrofon di bahagian tepi kerangkanya.
Terminal Pengecas
Terminal pengecas (charging dock) Gear S3 masih mengekalkan rekaan yang sama seperti Gear S2. Bahkan ia juga masih mengekalkan sokongan output 5V0.7A dengan permukaan magnetik dan juga penyediaan lampu status LED pelbagai warna.
**Nota: Terminal pengecas pada
smartwatch dan juga cradle pengecas
ini mudah disambungkan kerana ia
memiliki magnet.
TIZEN UI
Paparan Muka Jam
Paparan muka jam akan dipaparkan dalam dua cara iaitu melalui gerakan tangan ataupun dengan menekan salah satu daripada butang kawalan fizikal pada Gear S3. Apa yang menariknya, muka jam pra-pasang yang disediakan menyokong efek pencahayaan yang sangat menarik dan anda juga boleh berinteraksi dengan fungsi tambahan dengan menyentuh pada bahagian tertentu pada muka jam. Sebagai contoh, muka jam Chronograph+ membolehkan anda mengakses fungsi pemasa (timer) dan muka jam Frontier pula memberi akses fungsi altimeter, ramalan cuaca dan juga pedometer.

Tetingkap Widget
Selain daripada muka jam, anda sebenarnya boleh mengakses pelbagai tetingkap widget seperti ramalan cuaca, kontak kegemaran, peringatan, kalendar, jumlah kalori dibakar, kiraan langkah, maklumat berkaitan ketinggian serta tekanan udara, berita, kawalan pemain muzik dan banyak lagi. Bahkan anda juga bebas menukar atau mengedit setiap tetingkap widget itu dengan menyentuh paparan skrin beberapa saat. Untuk mengakses tetingkap widget ini, anda hanya perlu memutarkan bezel Gear S3 mengikut arah jam.


Tetingkap Notifikasi
Apabila anda perlu memutarkan bezel Gear S3 ke arah kiri atau lawan arah jam untuk mengakses tetingkap notifikasi. Sekiranya anda terlepas sebarang notifikasi yang telah diterima, terdapat satu simbol khas berbentuk bulatan berwarna kuning pekat yang kecil pada sebelah kiri muka jam. Anda boleh berinteraksi dengan mesej yang diterima sama ada ingin membalas teks mesej tersebut, memadamnya dan sebagainya bergantung kepada jenis mesej yang diterima.

Notifikasi Panggilan
Penerimaan panggilan masuk akan dipaparkan pada Gear S3 dan berbeza dengan smartwatch berasaskan platform Android, anda boleh terus menjawab panggilan tersebut pada Gear S3. Ini kerana ia telah dilengkapi dengan mikrofon dan juga speaker terbina-dalam yang menawarkan tahap kelantangan yang agak baik untuk persekitaran yang tidak bising.

UI APLIKASI SAMSUNG GEAR S
Bagi mengoptimumkan penggunaan Samsung Gear S3, terdapat dua aplikasi utama yang perlu dimuat turun iaitu aplikasi Samsung Gear dan juga aplikasi S Health. Tetapi untuk peranti Android yang lain selain smartphone keluaran Samsung, anda perlu memuat turun aplikasi tambahan iaitu aplikasi Gear S Plugin bagi membolehkannya Gear S3 boleh digunakan pada peranti Android tanpa masalah. Samsung Gear S ini merupakan aplikasi eksklusif yang dibangunkan khusus untuk anda memantau dan juga menguruskan Samsung Gear S3 yang telah disambungkan ke peranti Android anda. Dengan paparan antaramuka yang ringkas, aplikasi ini menawarkan dua menu utama iaitu INFO dan juga SETTINGS.
INFO: Tetingkap utama ini telah dibahagikan kepada empat menu utama iaitu:
About Gear

Terdapat tiga maklumat penting Samsung Gear S3 yang boleh anda pantau terus pada smartphone iaitu Battery, Storage dan RAM. Untuk mendapatkan maklumat lengkap, anda hanya perlu menyentuh pada salah satu menu tersebut.
Suggested watch faces
Ruangan kedua pada tetingkap INFO membolehkan anda memuat turun lebih banyak muka jam yang ditawarkan tidak kira percuma mahupun berbayar. Bagi memudahkan proses carian, ia diasingkan dalam empat kategori berbeza.
Suggested apps
Sama seperti ruangan kedua, ruangan Suggested apps akan memaparkan senarai aplikasi yang dicadangkan untuk digunakan bersama-sama dengan Gear S3. Penyediaan ruangan ini sememangnya sangat praktikal kerana pencarian aplikasi terasa lebih mudah dan cepat.
Health
Bagi anda yang sangat mementingkan gaya hidup yang sihat, ruangan Health menawarkan pemantauan kesihatan menyeluruh anda seperti kiraan langkah, senaman, jumlah pengambilan air, masa tidur, kadar degupan jantung dan banyak lagi.
SETTINGS: Tetingkap kedua iaitu Settings ini pula merupakan ruangan khas
yang menyediakan pelbagai menu tetapan Samsung Gear S3:



PRO
- Paparan skrin Super AMOLED yang sangat terang dengan kontras yang sangat menonjol sememangnya sangat menarik.
- Sokongan tali jam standard berukuran 22mm dengan pin khas membolehkan anda menukar pelbagai jenis tali jam dengan sangat mudah.
- Menjanjikan aspek ketahanan yang baik kerana ia menerima pengiktirafan IP68 dan MIL-STD-810G yang kalis air, kalis debu dan tahan hentakan.
- Ketahanan bateri yang sangat baik iaitu mencecah sehingga 3 – 4 hari dengan sekali cas bergantung kepada cara penggunaannya.
- Antaramuka Tizen boleh dianggap antara yang terbaik boleh anda gunakan pada smartwatch.
KONTRA
- Walaupun Samsung Gear S3 menyokong fungsi Samsung Pay, penggunaannya adalah terhad untuk negara tertentu sahaja dan ini tidak termasuk Malaysia.
- Hanya tersedia dalam satu saiz sahaja dan ianya agak besar dan ini sememangnya tidak sesuai untuk dipakai oleh sesetengah individu, terutamanya yang memiliki saiz pergelangan tangan yang kecil.
- Pengesanan aktiviti kecergasan secara automatik adakalanya agak pelik kerana Gear S3 akan mengesan aktiviti berbasikal sedangkan kami sedang memandu pada kelajuan yang agak tinggi.
- Pengecas dengan output 5V0.7A mengambil masa yang agak lama untuk mengecas bateri berkapasiti 380mAh dan berdasarkan pengalaman kami, ia mengambil lebih kurang 2 jam untuk mengecas penuh.
- Sokongan aplikasi pihak ketiga yang agak terhad untuk dimuat turun.








