
Punca Bateri Samsung Galaxy Note 7 Bermasalah
Samsung berjanji bahawa mereka akan mengumumkan hasil siasatan mengenai masalah bateri di dalam Galaxy Note7 sekitar penghujung bulan ini. Walau bagaimanapun, Instrumental, sebuah syarikat yang membuat alat-alat kejuruteraan, mengambil inisiatif mencari punca kebakaran dan letupan bateri Galaxy Note7. Menurut hasil ujian mereka, punca utama masalah ini bukan dari bateri itu sendiri, tetapi berpunca dari reka bentuk dalaman Galaxy Note7 yang agresif. Firma itu mendapati bahawa reka bentuk phablet itu memampatkan bateri walaupun semasa operasi biasa.
Bateri smartphone terdiri daripada lapisan positif terdiri daripada lithium cobalt oxide, lapisan negatif grafit dan dua lapisan pemisah elektrolit daripada polimer. Lapisan yang terlalu nipis pada bateri Galaxy Note7 memungkinkan lapisan positif dan negatif bersentuhan lantas mengakibatkan kebakaran. Galaxy Note7 mempunyai parameter reka bentuk yang agresif bagi membolehkan Samsung memampatkan komponen yang hebat dan berspesifikasi tinggi di dalam ruang badan peranti yang terhad.
Menurut Instrumental, ruangan terhad tersebut menyebabkan bateri terpaksa beroperasi di dalam keadaan yang ekstrem lantas menyebabkan komponen dalaman bateri menjadi tidak stabil dan memaksa lapisan positif dan negatif bersentuhan.