
GP Qi Wireless Charger UQW1
Produk pertama yang kami ingin kongsikan bersama anda adalah GP Qi Wireless Charger UQW1. Dok pengecas tanpa wayar ini membolehkan anda mengecas peranti dengan mudah tanpa perlu menyambungkan kabel pada smartphone anda.
Pastikan smartphone anda menyokong fungsi cas tanpa wayar Qi sebelum mendapatkan peranti ini.
Penggunaan
Antara situasi di mana anda dapat memanfaatkan cas tanpa wayar adalah ketika waktu bekerja. Apabila dok ini diletakkan di atas meja kerja, ia menawarkan akses mudah kepada anda ketika melakukan kerja, anda cuma perlu rehatkan peranti di atas dok dan peranti akan menerima cas kuasa. Apabila anda ingin menggunakan smartphone, cuma angkat sahaja smartphone dari dok, situasi ini jauh lebih mudah dari smartphone yang tersambung dengan kabel pengecas.
Satu lagi situasi adalah ketika anda berada di kawasan gelap. Suis lampu sudah dipadamkan, dan anda sudah bersedia untuk tidur, namun anda baru teringat bahawa peranti anda perlu dicas. Jika anda menggunakan kabel pengecas, pasti agak sukar untuk menyambungkan kabel tersebut ketika keadaan gelap, namun dengan dok ini, anda cuma perlu letakkan sahaja peranti di atasnya.
Saiz
Saiz peranti ini yang kecil dan nipis memudahkan ia dibawa ke mana sahaja, ia dengan mudah muat di dalam poket baju. Saya kerap membawa dok ini bersama-sama power bank ketika keluar minum bersama rakan. Sambungan tanpa wayar memudahkan saya mengecas peranti tanpa perlu berasa rimas dengan kabel pengecas yang panjang.
Kuasa
Oleh kerana ia menggunakan konsep pindahan kuasa tanpa wayar, dok ini hanya terhad kepada pindahan kuasa yang kecil. Melalui ujian kami, dok ini mampu membekalkan kuasa maksimum 490mA pada satu-satu masa. Jumlah cas ini tidak mencukupi sekiranya anda mahu mengecas peranti dengan pantas, jadi jika anda bercadang untuk mendapatkan jumlah kuasa yang maksimum dalam masa yang singkat, sila gunakan palam kuasa dinding dan kepala pengecas.
SPESIFIKASI
Input | DC5V – 1.8A Max |
Output | DC5V – 1.0A Max |
Dimensi | 95 x 72 x 7.3mm |
Berat | 45gram |
Harga | RM 199 |
GP Portable PowerBank 3C15A & 3C20A
Produk kedua dari GP yang kami cuba adalah GP Portable PowerBank. Pek bekalan kuasa ini menawarkan variasi kapasiti 20,000mAh (3C20A) dan 15,600mAh (3C15A), cukup untuk anda mengecas peranti beberapa kali. Di samping bekalan kuasa yang besar, anda juga tidak menghadapi masalah sekiranya anda ingin mengecas dua peranti pada masa yang sama.
GP juga melengkapkan sistem keselamatan kuasa bersama-sama PowerBank ini. Antara fungsi keselamatan adalah potongan kuasa sekiranya bekalan kuasa menjadi panas, perlindungan litar pintas dan perlindungan loopback, sekiranya kabel sama dimasukkan ke port input dan output dalam satu masa yang sama (jangan cuba pada peranti yang tiada perlindungan ini, amat berbahaya!).
Saiz
Saiz yang besar dan berat adalah dijangkakan bagi sebuah power bank dengan bekalan kuasa yang besar. GP PowerBank 3C20A berukuran 146 x 74 x 22mm dan berat 356gram, manakala GP Portable PowerBank 3C15A mempunyai saiz yang sama dengan 3C20A, hanya beratnya sedikit beza iaitu 358gram. Bagi mereka yang sudah biasa membawa power bank ke hulu hilir pastinya tiada masalah memabwa peranti ini kerana saiz dan beratnya tidaklah melampau.
Kuasa
Ujian kami mendapati GP PowerBank membekalkan 1,030mA kuasa pada satu-satu masa cas. Semasa proses cas berjalan, power bank dan peranti tidak mengalami sebarang kenaikan suhu yang ketara.
SPESIFIKASI
Model | 20,000mAh (3C20A) | 15,600mAh (3C15A) |
Input | 5V DC 2A | 5V DC 2A |
Output | 5V DC 2.1A + 1A | 5V DC 2.1A + 1A |
Dimensi | 146 x 74 x 22mm | 146 x 74 x 22mm |
Berat | 356gram | 358gram |
Jenis dan Kapasiti | Li-Ion 3.6V 20,000mAh | Li-Ion 3.7V 15,600mAh |
Harga | RM 229 | RM 169 |
Tertarik dengan produk dari GP? Cepat menangi power bank berkapasiti 6000mAh secara percuma!! Sertai peraduan sekarang juga!