
Xiaomi Lancar Kamera Mirrorless Mampu Milik Dengan Model M1
Yi Technologies merupakan sebuah syarikat yang berkait rapat dengan Xiaomi, baru-baru ini telah mengumumkan kemunculan model terbaru kamera mirrorless mampu milik dengan pelancaran XiaoYi M1. Sebagaimana nama yang digunakan, jelas dapat dilihat bahawa ia telah dibangunkan hasil kerjasama dengan sub-jenama Xiaomi iaitu Yi Technologies.
XiaoYi M1 yang diperkenalkan sebagai kamera mikro-tunggal pintar yang pertama disasarkan untuk golongan muda ini merupakan sebuah projek yang telah dimulakan sejak tahun 2013 lagi. Dengan rekaan yang tampil mirip seperti kamera Leica T, XiaoYi M1 telah diperkenalkan dalam kerangka berwarna putih dan juga hitam. Manakala sokongan sambungan Bluetooth dan juga WiFi pula membolehkan gambar yang telah diambil dengan M1 terus dihantar ke telefon pintar dengan mudah dan pantas.

Sokongan spesifikasi XiaoYi M1 bukanlah yang termaju di kalangan kamera mirorrless yang terdapat di pasaran, tetapi ia boleh dianggap satu permulaan yang menarik dengan sokongan kamera beresolusi 20.16 Megapiksel daripada Sony, ISO maksimum mencecah sehingga 25,600, paparan skrin 3 inci beresolusi 720 x 480 piksel, rakaman video berkualiti 4K, dan juga keupayaan penggambaran dengan resolusi 50 Megapiksel. Namun begitu, ia tidak dilengkapi dengan Flash terbina-dalam mahupun viewfinder elektronik.

XiaoYi M1 akan mula di jual di China bermula 23 September nanti dalam dua pilihan lensa berbeza iaitu ¥2,199 (RM1,363) untuk lensa 12-40mm f/3.5-5.6 atau ¥2,999 (RM1,859) untuk lensa 42.5mm f/1.8.
HASIL GAMBAR


