
eRing dijemput hadir ke sebuah perjumpaan di mana pakar dan tenaga pengajar di negara ini berjumpa dan berkongsi idea berkenaan industri pendidikan. Acara yang dijalankan setiap suku tahun ini merupakan hasil kerjasama Advanced Global Institute of Learning Excellence (AGILE) dan juga Google, gabungan dua entiti ini membawakan pakar dari bidang pendidikan dan IT untuk membincangkan bagaimanakah teknologi, khususnya dari Google mampu membantu para pengajar di negara ini meningkatkan mutu proses pembelajaran para pelajar.

Menurut En. Mohamad Ridwan B. Othman, permintaan dunia pekerjaan sentiasa berubah, bahkan dalam masa 10 tahun saja, landskap dunia pekerjaan berubah dengan drastik, namun para pelajar tidak dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran penting yang dimahukan bakal majikan. Oleh itu sesuatu perlu diubah dari segi kualiti, teknik dan juga pengisian akademik di mana tenaga pengajar merupakan pemacu perubahan terpenting dalam proses ini.
Google pula hadir dalam konteks ini sebagai sebuah medium dan ‘senjata’ bagi tenaga pengajar aplikasikan di dalam kelas mereka. Aplikasi dan servis web Google mampu merubah suasana pembelajaran, menjadikan kelas lebih tertumpu kepada pelajar dan guru hanya sebagai pembimbing di dalam kelas.

Aplikasi seperti Google Allo yang baru sahaja dilancarkan mampu dijadikan alat pembelajaran, di dalam aplikasi tersebut para pelajar boleh berbincang berkenaan topik akademik dan mencari informasi berkaitan melalui fungsi pencarian Google yang siap terbina dalam aplikasi. Melalui cara ini proses pembelajaran lebih interaktif, mudah dan juga menarik untuk para pelajar.

Keseluruhan program ini jelas membuka banyak kemungkinan dan juga peluang kepada industri pendidikan kita untuk menjadi lebih baik dengan integrasi teknologi di dalam kelas. Berbekalkan peranti yang semakin mudah diakses dan dimiliki hampir semua orang seperti komputer riba dan smartphone, proses pembelajaran boleh diubah bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan graduan yang siap sedia untuk terjun dalam dunia pekerjaan.
Sebarang maklumat lanjut mengenai AGILE dan program-program menarik anjurannya yang akan datang, sila layari laman web AGILE .

