
Samsung Galaxy Tab S Generasi Pertama Tidak Akan Menerima Kemas Kini Android 6.0 Marshmallow
Pada awal kemunculannya, Samsung Galaxy Tab S 8.4 inci dan juga Galaxy Tab S 10.5 inci merupakan sebuah tablet yang sangat berkuasa ketika ianya diperkenalkan dua tahun yang lalu. Ini jelas dapat dilihat sokongan spesifikasinya yang terbaik pada ketika itu yang telah dikuasakan oleh pemproses Exynos 5 Octa, RAM berkapasiti 3GB, sokongan rangkaian 4G LTE, paparan Super AMOLED beresolusi 2560 x 1600 piksel, dan juga dioperasikan dengan Android 4.4.2 KitKat.

Namun begitu, tablet ini hanya menerima kemas kini Android 5.0.2 Lollipop lebih setahun selepas ianya diperkenalkan dan kali terakhir ia menerima kemas kini adalah pada April 2016 yang lalu. Walaupun sudah lebih dua tahun berada di pasaran, jelas dapat dilihat Samsung masih memberi perhatian pada tablet ini. Sungguhpun begitu, nampaknya baru-baru ini Samsung Mobile Netherlands sudah mengesahkan di laman sosial Facebook rasminya bahawa kedua-dua tablet ini tidak akan menerima kemas kini Android 6.0 Marshmallow di Eropah.

Buat masa ini masih tidak dapat disahkan lagi mengapa kedua-dua model Galaxy Tab S ini tidak akan menerima kemas kini tersebut, memandangkan sebelum ini terdapat ketirisan yang memperlihatkan ujian benchmark Android 6.0.1 Marshmallow telah dilakukan pada tablet tersebut.Tetapi berkemungkinan besar terdapat isu yang dihadapi oleh tablet tersebut sehingga menyebabkan Samsung telah membatalkan kemas kini Android 6.0.1 Marshmallow pada kedua-dua tablet ini.

