
RM 1,199
Seperti yang kita telah ketahui, Sony Mobile telahpun mengumumkan untuk menamatkan pengeluaran tiga siri keluarannya sebelum ini iaitu Xperia Z, Xperia C dan juga Xperia M. Berdasarkan kepada pendedahan itu lagi, ketiga-tiga siri Xperia itu akan digantikan dengan kemunculan siri terbaru Xperia X yang dipercayai akan diteruskan pengeluarannya sekurang-kurangnya sehingga tahun 2018 nanti.
Walaupun kehadiran Siri Xperia X ini akan terus meneruskan legasi ketiga-tiga siri sebelum ini, jelas dapat dilihat Sony telah berusaha menawarkan pengalaman yang terbaik kepada penggunanya melalui pembaharuan serta penambahbaikan pada penampilan fizikal dan juga antaramuka yang digunakan pada siri terbarunya itu.
Spesifikasi Ketiga-tiga Model Terbaru Dari Siri Xperia X
Memandangkan ketiga-tiga model ini telah dilancarkan secara rasmi secara serentak, editor akan membandingkan spesifikasi ketiga-tiga model ini agar mudah untuk anda melihat apakah perbezaannya.
Warna Kerangka Menarik

Selain dari warna White, Graphite Black dan juga Rose Gold, Sony Xperia XA turut diperkenalkan dalam warna baharu iaitu Lime Gold yang kelihatan sangat menarik sekali.
Reka Bentuk
Paparan Skrin 2.5D
Penampilan Sony Xperia XA kelihatan mirip seperti model Xperia C5 Ultra Dual, tetapi ia lebih istimewa kerana tampil dengan paparan skrin jenis 2.5D yang berupaya menyerlahkan penampilan fizikalnya.
Skrin Tanpa Bezel
Satu lagi keistimewaanya adalah sokongan skrin yang tampil tanpa bezel di kedua-dua sisinya. Bahkan ia juga telah diiktiraf sebagai smartphone 5.0 inci yang paling kurang lebar di dunia.
Lensa Depan
Pengambilan selfie menggunakan Xperia XA menjanjikan kualiti gambar yang lebih baik kerana ia menyokong lensa 8 Megapiksel Exmor R dengan fungsi auto fokus. LED Notifikasi juga turut disokong di bahagian atas kiri kerangka.
Lensa Utama
Pengalaman bergambar telah dibantu dengan penyediaan lensa Exmor RS beresolusi 13 Megapiksel dan juga teknologi fokus jenis PDAF yang menjanjikan proses fokus yang lebih cepat.
Slot Kad
Dengan Xperia XA anda tidak lagi perlu memeningkan kepala untuk membuat pilihan sama ada ingin menggunakan kad SIM 2 ataupun kad microSD. Ini kerana anda boleh menggunakan ketiga-tiga kad tersebut secara serentak.
Butang Shutter
Sebagaimana model keluaran Sony sebelum ini, Sony Xperia XA juga turut dilengkapi dengan butang shutter fizikal. Apabila berada dalam mod standby, anda boleh terus mengaktifkan kamera dengan menekan butang tersebut beberapa saat.
Speaker
Bahagian bawah kerangka telah menempatkan speaker mono dengan kemasan gril yang diperbuat daripada logam. Bersebelahannya turut menempatkan port microUSB dengan sokongan pengecas pantas dan juga lubang mikrofon.
Port Audio
Port 3.5mm audio jack boleh ditemui di bahagian atas kerangka yang mana kedudukannya agak ke jauh ke tepi. Bersebelahan dengan port tersebut ada disediakan dengan lubang mikrofon dengan fungsi Noise Cancellation.
Filosofi Rekaan Diperbaharui
Walaupun masih mengekalkan identiti rekaan generasi sebelum ini, jelas dapat dilihat Sony telah mengambil pendekatan yang lebih menarik dalam menghasilkan Siri Xperia X. Ciri-ciri rekaan Siri Xperia X ini telah menerima sentuhan yang agak menyeluruh hasil gabungan antara rekaan siri keluarannya sebelum ini iaitu Xperia Z, Xperia C dan juga Xperia M. Apa yang pastinya, ia terasa lebih selesa untuk dipegang berbanding generasi sebelum ini.
Warna Kerangka Seragam

Info: Berbeza dengan Siri Xperia sebelum ini, Siri Xperia X kini tampil dengan keseluruhan warna kerangka yang lebih seragam. Ini jelas dapat dilihat penggunaan warna yang sama pada panel depan, sisi dan juga panel belakangnya. Berbeza dengan Siri Xperia yang lain seperti Xperia Z, Xperia M dan juga Xperia C, panel depan berwarna hitam akan digunakan pada kerangka berwarna yang lain kecuali warna kerangka dengan warna putih.
Paparan Skrin 2.5D

Info: Penampilan luaran Siri Xperia X kelihatan lebih menarik kerana ia tampil dengan rekaan yang lebih selesa untuk dipegang. Panel kaca pada bahagian depan kini menggunakan paparan jenis 2.5D yang bukan sahaja memberi keselesaan ketika menggunakannya, tetapi ia juga menyerlahkan rekaan siri ini. Begitu juga dengan panel belakang yang kini tidak lagi menggunakan panel kaca, sebaliknya telah digantikan dengan panel logam atau polikarbonat yang juga tampil dengan permukaan 2.5D.
Tiada Lagi Lubang Lanyard

Info: Sejak dari kemunculan Xperia Z2 lagi, Sony telah memperkenalkan lubang lanyard sama ada di bahagian bawah kerangka ataupun sisi kerangka. Tetapi lubang lanyard itu telah disingkirkan pada Siri Xperia X bagi menampilkan ciri-ciri rekaan yang lebih ringkas tetapi elegan. Pada pendapat editor sendiri, penyingkiran lubang lanyard ini merupakan langkah yang wajar diambil memandangkan jarang dapat dilihat ianya digunakan oleh pemilik peranti Xperia sebelum ini.
Tiada Lagi Ukiran ‘XPERIA’

Info: Sebagaimana lubang lanyard, Siri Xperia X juga turut menyingkirkan ukiran logo ‘XPERIA’ pada sisi kiri kerangkanya. Ukiran logo ini telah diperkenalkan buat pertama kalinya pada Siri Xperia Z5 dan tidak dinafikan sedikit sebanyak ia berupaya menyerlahkan penampilan luarannya. Namun begitu ukiran cetakan tersebut sangat mudah memerangkap habuk serta kotoran ianya agak sukar untuk dicuci, sekaligus menyebabkan isu kebersihan.
Logo ‘XPERIA’ Menggantikan ‘SONY’

Info: Bahagian panel belakang Siri Xperia X juga turut menerima sedikit kelainan di mana logo ‘SONY’ di tengah-tengah kerangka telah digantikan dengan logo ‘XPERIA’. Penggunaan logo ini kelihatan sama seperti generasi pertama Sony Xperia Z yang telah diperkenalkan pada Januari 2013 yang lalu.
Antaramuka Diperbaharui
Selain pembaharuan pada penampilan fizikal, Siri terbaru Xperia X ini juga turut menampilkan persembahan antaramuka yang telah diperbaharui. Walau bagaimanapun, pembaharuan yang dibuat itu tidaklah begitu ketara jika dibandingkan dengan antaramuka generasi sebelum ini. Bagi memudahkan anda melihat sendiri antara perubahan antaramuka, editor akan membandingkannya dengan model Sony Xperia Z5.

Lockscreen
Info: Paparan lockscreen pada Xperia X tampil lebih menarik kerana jam digital yang digunakan adalah lutsinar, sekaligus membolehkan anda melihat imej latar yang digunakan. Lebih menariknya, pembukaan lockscreen boleh dibuat dari tepi dengan animasi yang menarik.

Homescreen Settings
Info : Tetapan homescreen terasa jauh lebih baik pada Xperia X kerana ia dilengkapi dengan lebih banyak tetapan yang telah diasingkan kepada tiga kategori utama iaitu Icons, Effects dan juga Advanced. Manakala pada Siri Xperia Z, hanya tetapan Icon size sahaja disediakan.

Ikon Baharu
Info: Jika sebelum ini Siri Xperia Z tampil dengan penggunaan ikon yang tidak seragam, kini Siri Xperia X tampil dengan penggunaan ikon bulat. Bahkan folder juga tampil bulat berbanding segi empat sebelum ini. Selain itu, ruangan Search dan juga menu juga telah disatukan.

Quick Settings
Info: Bahagian Quick Settings turut menerima sedikit perubahan di mana menu baru ‘Do not disturb’ telah disediakan pada Xperia X menggantikan menu ‘Detect USB device’. Perubahan juga dapat dilihat pada simbol bateri dan juga edit.

Messaging
Info: Perubahan paling ketara adalah pada aplikasi Messaging yang mana Siri Xperia X telah diperkenalkan dengan menu Stickers yang menawarkan pelbagai pilihan stiker percuma atau berbayar. Bahkan Xperia Keyboard juga kini telah digantikan dengan SwiftKey.

Menu Kamera
Info: Pengalaman bergambar pada Siri Xperia X juga turut dipertingkatkan dengan satu lagi sokongan fungsi terbaru iaitu ‘Object tracking’. Fungsi ini membolehkan anda untuk memastikan objek utama yang ingin diambil sentiasa berada dalam fokus supaya ia tidak kabur.
Tip Pantas!
Anda boleh menukar mod penggambaran dari lensa utama ke lensa depan atau
sebaliknya dengan hanya meleretkan jari dari atas ke bawah pada viewfinder.

Kalendar
Info: Siri Xperia X kini telah mengunakan aplikasi Kalendar yang diambil terus dari Google memandangkan ianya telah dioperasikan dengan Android 6.0 Marshmallow. Tidak dinafikan Kalendar Google hadir dengan antaramuka yang lebih ringkas dan kemas.
Hasil Gambar


KOMEN
Pro
- Paparan skrin 2.5D dengan saiz bezel pada sisi skrin yang sangat nipis.
- Menyokong dua slot kad SIM dan juga slot kad microSD yang berasingan.
- Keupayaan penggambaran yang lebih terang kerana lensa utama menyokong Exmor RS dan Exmor R pada lensa depan.
- Qnovo Adaptive Charging Technology memastikan bateri yang dicas semalaman lebih selamat, sekaligus memastikan hayat bateri yang lebih lama.
Kontra
- Kualiti gambar 13 Megapiksel yang agak sederhana dan agak sukar mendapatkan titik fokus pada bahagian yang diingini.
- Walaupun menyokong teknologi pengecas pantas, pakej pembelian hanya didatangkan dengan adapter pengecas biasa.
- Bezel pada bahagian atas dan bawah paparan skrin yang sangat besar saiznya, tetapi tidak dioptimumkan ruangnya.
- Kualiti gambar yang diambil menggunakan fungsi ‘Quick launch and capture’ agak mengecewakan kerana berdepan dengan isu kabur atau over-exposed.