
Digi Telecommunication Sdn. Bhd. (Digi) hari ini menyeru para belia Malaysia untuk menyertai Telenor Youth Forum (TYF) tahun ini yang akan diadakan di Oslo, Norway, bermula 8 hingga 11 Disember 2016.
Dua orang belia yang bersemangat akan diterbangkan ke Norway bersama-sama peserta dari 13 buah negara di seluruh pasaran Telenor. Tema tahun ini adalah “Digitalisation for Peace”, di mana semua peserta akan berhimpun di sana untuk menangani cabaran sosial melalui penggunaan penyelesaian digital.
26 pewakil muda akan bekerja dalam kumpulan untuk menyelesaikan cabaran yang diberikan. Cabaran yang diberikan bertujuan untuk mewujudkan penglibatan, kesedaran, kefahaman dan keamanan. Mereka akan bertemu sekali lagi di Bangkok pada Mei 2017, untuk meneruskan perjalanan mereka.
TYF tahun ini terbuka kepada belia Malaysia berumur 20 hingga 28 tahun yang fasih dalam Bahasa Inggeris. Mereka perlu memiliki semangat untuk membawa perubahan dalam sosial, ekonomi dan alam sekitar serta mempunyai perspektif baru tentang bagaimana untuk membuat perbezaan dalam komuniti masing-masing.
Jika anda berminat untuk menjadi sebahagian daripada TYF2016, daftar diri di Digi sebelum 5 Ogos 2016.

