
HP Malaysia telah memperkenalkan secara rasmi HP Spectre 13, sebuah komputer riba yang ditunggu-tunggu ramai pengguna di Malaysia. Keunikan komputer riba model ini adalah ianya merupakan komputer riba paling nipis di dunia dengan ketebalan hanya 10.4 mm sahaja. Untuk perbandingan, anda boleh bayangkan ianya lebih nipis daripda ketinggian syiling 5 sen.


HP bukan sahaja fokus kepada ciri tersebut, malah HP Spectre 13 juga memiliki reka bentuk yang unik dan memukau. Kemasan emas tembaga padanya menjadi ciri utama yang diketengahkan HP dan ternyata ia menyerlahkan lagi keanggunan HP Spectre 13. Komputer riba ini juga memiliki engsel yang unik, ia menggunakan sistem piston yang akan menggerakkan sendi antara monitor dan badan.
HP Spectre 13 akan hadir dalam dua variasi bermula Julai ini. Variasi dengan pemproses Intel Core i5 akan dijual pada harga RM 5,999, manakala model dengan cip Intel Core i7 pada harga RM 6,900.
https://www.youtube.com/watch?v=TGFsCIbgFgg&feature=youtu.be
Selain HP Spectre 13, HP Malaysia juga memperkenalkan HP Envy 15 (RM 3,699) yang dikuasakan pemproses Intel Core i5 dan HP Elitebook Folio G1 yang berada di kelas premium dengan spesifikasi dan reka bentuk kelas milenial. Pencetak dokumen baru juga turut diperkenalkan semasa majlis ini, dan antara model yang menjadi perhatian adalah HP OfficeJetPro 8730 All-in-One (RM 1379).
HP menjanjikan bahawa mereka akan terus merevolusikan pasaran dengan menghasilkan peranti dan teknologi yang baru untuk pengguna. Jadi kita boleh mengharapkan produk HP pada masa akan datang yang dilengkapi teknologi dan fungsi lebih canggih di samping hadir dalam reka bentuk yang menawan.



