
Amaran Kaspersky! Peranti Anda Mungkin Terdedah Kepada Bahaya Ketika Mengecas
Smartphone anda terdedah kepada pelbagai bahaya ketika mengecas menggunakan sambungan standard USB, terutamanya sekiranya anda meggunakan port pengecas yang disediakan di tempat-tempat awam. Kaspersky membuktikan perkara tersebut setelah menjalankan pelbagai ujian yang mendapati pelbagai data akan disedut dari smartphone anda sebaik sahaja anda menyambungkan peranti kepada komputer dengan sambungan USB.
Hasil ujian menunjukkan bahawa informasi seperti nama peranti, pengeluar, model, nombor siri, informasi perkakasan, sistem operasi, sistem fail dan ID cip merupakan antara informasi yang akan disedut komputer bagi mengenal pasti peranti tersebut. Risiko keselamatan adalah minimum ketika anda menggunakan komputer peribadi, namun ia menjadi risiko yang sangat besar sekiranya anda menyambungkan peranti ke dok pengecas di kawasan awam. Ini kerana anda tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir, adakah dok pengecas itu disambungkan dengan unit komputer ataupun terus ke bekalan kuasa. Antara risiko yang dihadapi adalah kecurian maklumat yang boleh dijual kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Pada tahun 2014, sidang Black Hat telah membicarakan isu ini, di mana mereka mencadangkan teori bahawa smartphone boleh dijangkiti malware dengan hanya sambungan USB pada dok pengecas palsu. Kini Kaspersky telah muncul dengan hasil ujian yang mengesahkan teori tersebut. Jadi berhati-hatilah ketika mengecas peranti di tempat awam.

