
Samsung Malaysia Electronics telah melancarkan peranti terbaru untuk siri Galaxy A (2016) di negara ini. Pelancaran yang berlangsung di Blue Concourse, Sunway Pyramid itu menampilkan kemunculan tiga model terbaru iaitu A3, A5 dan A7. Siri Galaxy A (2016) ini telah diperkenalkan dalam empat pilihan warna iaitu hitam, putih, emas dan emas merah jambu. Antara perubahan terbaru bagi edisi 2016 ini adalah bahan binaan kerangka yang diperbuat dari logam manakala panel depan dan belakang pula tampil dengan kemasan kaca tahan lasak dari Corning Gorilla Glass 4. Selain itu, penambahbaikan spesifikasi pada siri Galaxy A (2016) ini pula adalah dari segi ruang storan sebanyak 16GB, sokongan Dual SIM, kamera dengan teknologi penstabilan imej OIS serta menyokong slot kad microSD mencecah sehingga 128GB. Sebagai salah satu promosi bagi pelancaran siri Galaxy A (2016), Samsung telah menawarkan kad microSD berkapasiti 32GB sebagai tanda penghargaan dengan setiap pembelian mana-mana model dari siri terbaru ini.




