

Visa (NYSE: V), pemimpin global dalam pembayaran digital, mengumumkan penajaan sulung HoYo FEST 2025, yang menandakan satu mercu jaya penting di Asia Tenggara. HoYo FEST 2025 yang dianjurkan oleh HoYoverse, telah menarik perhatian global sejak dimulakan pada 2021 dan meraikan permainan maya popular seperti Genshin Impact, Honkai Impact 3, Honkai: Star Rail dan Zenless Zone Zero,.
Festival tahun ini akan diadakan di bandar raya utama di serata Asia Tenggara dari 24 hingga 27 Julai 2025, di tempat acara yang terkemuka termasuk Pusat Pameran Pavilion Bukit Jalil di Malaysia, Pusat Konvensyen Surabaya di Indonesia, Pusat Konvensyen SMX Manila di Filipina, Sky EXPO di Vietnam, The Mall Bangkapi, MCC Hall di Thailand, dan Pusat Konvensyen dan Pameran Singapura Suntec di Singapura (25 hingga 27 Julai). Acara-acara ini bertujuan menghimpunkan dan meraikan para peminat dan membolehkan mereka menikmati pengalaman mengasyikkan termasuk aktiviti dalam permainan yang menyeronokkan dan acara penglibatan komuniti.
Sebagai salah sebuah negara penganjur utama festival di seluruh Asia Tenggara, penyertaan Malaysia memperlihatkan peranan permainan maya yang semakin berkembang dalam kehidupan harian rakyat negara ini. HoYo FEST di Malaysia menjanjikan pengalaman yang menarik dengan aktiviti secara langsung, bahan pameran bertema, zon komuniti, cosplay (berpakaian seperti watak permainan), penjualan cenderahati dan persembahan di atas pentas — yang merapatkan lagi hubungan antara pemain dan pencipta permainan.
Visa menambah baik pengalaman pengunjung dengan menawarkan manfaat dan tawaran eksklusif bagi pemegang kad. Keistimewaan yang diberikan termasuk ruang tempat duduk ditempah khas di pentas utama, pembayaran lebih pantas dengan kaunter pembayaran eksklusif di kedai cenderahati, dan juga barangan eksklusif Visa apabila pengunjung berbelanja menggunakan kad Visa mereka. Pengunjung boleh mendapatkan manfaat unik dengan mengemukakan kad Visa mereka kepada kakitangan HoYo FEST di ruang tempat duduk pentas ditempah khas atau dengan membuat pembayaran menggunakan kad Visa di Gedung Cenderahati Rasmi HoYoverse. Pembelian sekurang-kurangnya RM130 akan melayakkan pengunjung – atas dasar siapa cepat dia dapat – untuk menerima sebuah kotak HoYo FEST 2025 Badge Blind Box daripada Gedung Cenderahati Rasmi HoYoverse di HoYo FEST 2025, selagi stok masih ada.
Permainan maya sebagai ruang selamat bagi rakyat Malaysia
Penglibatan Visa dalam sektor permainan di rantau ini menunjukkan pengiktirafan strategik syarikat tersebut terhadap potensi besar industri ini. Di Malaysia, pasaran permainan maya – bernilai USD 0.95 bilion – mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan 8%, dipacu oleh penggunaan telefon pintar secara berleluasa, infrastruktur digital lebih baik, dan minat kukuh terhadap permainan mudah alih. Lebih daripada 75% populasi dalam talian Malaysia – yang meliputi sekurang-kurangnya 25 juta individu – terlibat secara aktif dalam aktiviti permainan maya.
Permainan maya sangat popular dalam kalangan pengguna Gen Z Malaysia, yang melihat media ini sebagai peluang untuk melepaskan diri, meluahkan kreativiti, dan menikmati pengalaman maya. Hasil kajian Visa Gen Z Decoded 2025 baru-baru ini melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 61% daripada Gen Z di Malaysia bermain permainan maya sebagai hobi, di mana 56% daripada pemain menggunakan permainan untuk membantu mereka ‘melepaskan’ diri daripada tekanan dunia sebenar. Disebabkan tahap penggunaan tinggi telefon pintar di negara ini, 78% daripada pemain sering menggunakan peranti mudah alih yang membolehkan mereka bermain di mana-mana sahaja.
Daripada segi perbelanjaan, 46% daripada pemain Gen Z Malaysia menyatakan mereka melakukan pembelian dalam permainan yang menambah baik pengalaman permainan masing-masing, seperti mendapatkan mata wang premium atau maya, barangan dalam permainan dan lonjakan aras permainan. Namun, hanya satu daripada tiga (30%) berbelanja untuk permainan penuh. Sebahagian besar daripada pembelian ini terutamanya didorong oleh insentif seperti diskaun (51%), peluang mendapatkan barangan dalam permainan yang eksklusif (37%), atau kandungan khas (26%). Trend ini jelas memaparkan peranan penting permainan maya untuk menyediakan ruang selamat bagi pemain, di mana mereka boleh melepaskan diri dan mendapatkan kebebasan penuh untuk menyerlahkan keperibadian terbaik masing-masing.
Visa memperkasakan pemain di mana-mana
Menerusi kerjasama dengan HoYo FEST 2025, Visa menekankan peranannya untuk menyokong pengguna yang terhubung secara digital dan ingin menikmati pengalaman menarik. Langkah ini memperlihatkan komitmen berterusan Visa kepada kaedah pembayaran selamat dan lancar sambil menambah baik gaya hidup.
“Kami berbangga untuk berganding bahu dengan HoYo FEST buat julung kalinya, untuk menyokong acara yang sejajar dengan komitmen Visa kepada inovasi dan usaha menambah baik pengalaman pengguna. Penyelesaian pembayaran komprehensif Visa dirangka untuk memenuhi keperluan para pemain hari ni, memastikan transaksi yang pantas, boleh dipercayai dan selamat. Penglibatan kami dalam HoYo FEST menekankan komitmen kami untuk menyokong ekosistem permainan yang dinamik, di mana para pemain sering mencari pilihan pembayaran cekap untuk menambah baik pengalaman permainan masing-masing,” kata Previn Pillay, Pengurus Negara Visa Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan Visa dalam HoYo FEST 2025, sila layari laman web Visa.

