

Grab Malaysia hari ini melancarkan fleet kenderaan elektrik (EV) pertamanya yang dikhaskan untuk pengangkutan lapangan terbang, menandakan langkah penting dalam usahanya untuk mengurangkan pelepasan karbon, menggalakkan penggunaan EV, dan menyumbang kepada Ekonomi Hijau Malaysia. Pelancaran tersebut telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dirasmikan oleh Kementerian Pengangkutan.
Ditawarkan khas untuk penumpang yang tiba di KLIA, pilihan perjalanan EV baharu ini boleh ditempah dengan mudah melalui aplikasi Grab. Perkhidmatan ini menggunakan kenderaan elektrik BYD M6, sebuah MPV elektrik 7 tempat duduk yang menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih senyap dan lancar kepada penumpang. Tempat duduk baris ketiga boleh dilipat dengan mudah untuk mewujudkan ruang kargo yang lebih besar dan rata bagi membawa lebih banyak bagasi.
Grab bekerjasama dengan rakan ekosistem, BYD Sime Motors, Yinson GreenTech, dan Power-Up Tech (P.UP) untuk menggalakkan penggunaan EV di Malaysia sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menyokong matlamat kelestarian negara dan menyumbang kepada pembinaan masa depan negara yang lebih bersih dan hijau.
“Kami berbangga dapat menyokong inisiatif mobiliti hijau Malaysia dengan memperkenalkan pilihan perjalanan EV untuk pelancong dari lapangan terbang. Dengan mengutamakan laluan yang mempunyai visibiliti dan permintaan tinggi seperti KLIA, kami berhasrat untuk menyerlahkan kebolehgunaan dan keselesaan EV sambil meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna. Pelancaran ini menandakan satu pencapaian penting dalam mengubah asas pengangkutan awam atas permintaan ke arah mod pelepasan rendah atau sifar, menjadikan mobiliti lestari lebih mudah diakses opeg rakan pemandu dan penumpang kami. Ini menyokong matlamat luas kami untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2040,” kata Rashid Shukor, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti, Grab Malaysia.
Yang Berhormat Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan berkongsi, “Selaras dengan komitmen kami untuk memajukan mobiliti rendah karbon melalui rangka kerja seperti Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 dan Pelan Strategik MOT 2021-2025, Kementerian Pengangkutan terus memperjuangkan penyelesaian pengangkutan lestari merentasi semua sektor. Pelancaran fleet, pilihan perjalanan, dan Lounge EV di KLIA ini merupakan inisiatif yang tepat pada masanya untuk menyokong matlamat kelestarian negara sambil meningkatkan pengalaman perjalanan di salah satu hab pengangkutan utama Malaysia. Kerjasama yang kukuh antara kerajaan dan pemain industri seperti Grab adalah penting untuk mencapai kemajuan bermakna, dan kami mengalu-alukan usaha sektor swasta untuk memperkenalkan penyelesaian inovatif dan mesra alam sekitar. Kami berharap inisiatif ini akan menggalakkan lebih banyak kerjasama dan membina keyakinan orang ramai dalam peralihan ke arah mobiliti elektrik.”
Untuk meningkatkan lagi pengalaman perjalanan, Grab Malaysia telah memperkenalkan Lounge EV khas di lapangan terbang bagi menyediakan ruang yang selesa untuk penumpang berehat sambil menunggu pengangkutan mereka. Penambahan ini bertujuan untuk menggalakkan penumpang mencuba pilihan EV baharu, menjadikan perjalanan mereka lebih mudah dan menyenangkan.

