Grab & Microsoft Bekerjasama Bagi Tingkatkan Kemahiran Rakan Pemandu & Penghantar Di Malaysia

Grab dan Microsoft mengumumkan kerjasama mereka di Malaysiadengan program latihan dan pembangunan untuk memperkasakan rakan pemandu dan penghantar dengan kemahiran digital. Diperkenalkan pada Februari 2021, program latihan tersebut akan memanfaatkan sepenuhnya kepakaran yang dimiliki oleh Grab dan Microsoft bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang diatur khusus untuk rakan pemandu dan penghantar, tanpa mengira tahap literasi digital mereka dengan matlamat untuk membantu mereka mencari pekerjaan di luar pekerjaan platform. 

Program latihan itu akan ditawarkan menerusi GrabBenefits, program yang direka khas untuk rakan Grab bagi meningkatkan kemahiran dan menambahbaik kualiti kehidupan mereka. Rakan penghantar dan pemandu Grab boleh mengakses program latihan melalui GrabAcademy di dalam aplikasi rakan Grab. Inisiatif tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 10,000 rakan pemandu dan penghantar di Malaysia menjelang penghujung 2021 dan telah berjaya mencapai sasaran 70% penyertaan tahun ini dalam hanya tiga bulan sejak ia diperkenalkan.

Di peringkat antarabangsa, Grab dan Microsoft telah lama menjalinkan kerjasama dalam usaha membantu Asia Tenggara merapatkan jurang digital selaras dengan pemesatan usaha negara- negara di rantau ini untuk membina ekonomi berteraskan digital. Pada 2019, kedua-dua syarikat itu telah mengumumkan kerjasama serantau bagi melengkapkan para pekerja dengan kemahiran teknologi yang diperlukan menerusi program latihan, latihan semula kemahiran dan sokongan pembangunan kerjaya.


Kerjasama serantau ini turut menyumbang kepada pencapaian matlamat impak sosial Grab iaitu “GrabForGood” yang termasuk usaha membawakan literasi digital dan keterangkuman yang lebih besar kepada 3 juta penduduk di Asia Tenggara menerusi kerjasama dengan kerajaan, syarikat swasta dan organisasi bukan bermotifkan keuntungan menerusi inisiatif modal insan teknologi menjelang 2025.

You might also like