Celcom Memacu Pelaburan Rangkaian Bagi Menambah Baik Daya Tahan & Perluas Liputan 4G Di Seluruh Negara!!

193
- Iklan -

Celcom Axiata Berhad (Celcom) memacu kira-kira RM256 juta pelaburan rangkaiannya, bagi menaiktaraf kapasiti rangkaian dan membina lebih banyak menara komunikasi 4G di seluruh negara, untuk menambahbaik liputan dan kualiti 4G di kawasan pedalaman dan bandar. Pelaburan rangkaian yang dipacu oleh Celcom daripada 2020 akan disokong dengan modal pelaburan yang diperuntukkan pada tahun kewangan 2021. 

Bagi suku ketiga 2020, Celcom mencatatkan pertumbuhan positif dengan peningkatan pelanggan, hasil, kos dan keuntungan pada asas suku tahunan. Pertumbuhan dalam perniagaan dan keuntungan ini adalah disebabkan oleh tawaran produk baru serta prestasi jualan dan pengagihan yang kukuh, seterusnya menghasilkan peningkatan positif dalam segmen pasca bayar dan pertumbuhan dalam segmen prabayar. 

Celcom turut mencatatkan peningkatan lebih 40% trafik data dalam suku ketiga 2020, berbanding suku terakhir 2019, kerana kebergantungan digital pengguna ketika berada di rumah. Bagi menyokong peningkatan permintaan ini, Celcom akan mempertingkat pelaburannya dalam rangkaian dan memperluas capaian dalam liputan 4G. 

Menjelang Februari 2021, Celcom mensasarkan sebanyak 4,700 tapak rangkaian; 49% di kawasan dan 51% di kawasan luar bandar untuk dinaiktaraf dan dioptimumkan dengan naiktaraf kapasiti, pemasangan peralatan 4G yang baru dan program optimisasi rangkaian teras. Ini meliputi naiktaraf dan optimisasi hampir 1,000 tapak rangkaian 4G di Sabah dan Sarawak bagi menambahbaik liputan 4G di kawasan pedalaman.

 

Selain itu, Celcom akan meneruskan lagi usaha dengan program optimisasi kluster seluruh negara bagi 3,600 tapak lagi, bagi mempertingkatkan kapasiti dan menyelesaikan masalah ‘buffering’ serta menyediakan kualiti panggilan suara dan video untuk pelanggan, yang dijangka selesai menjelang Ogos 2021. 

Celcom terus berusaha mencapai ‘Kecemerlangan Operasi’ melalui pertumbuhan positif yang dicapai dalam suku ketiga tahun ini.  Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Celcom mencatatkan peningkatan signifikan dengan 372, 000 pelanggan prabayar dan pasca bayar, serta meningkatkan hasil dan keuntungan. 

Pertumbuhan keseluruhan Celcom mencatat keuntungan yang lebih baik pada asas suku tahunan, dengan peningkatan EBITDA sebanyak RM139juta (+24.2%) dan PATAMI sebanyak RM94juta (+64.5%). Hasil segmen prabayar bertambah sebanyak +13.0% pada asas suku tahunan dengan kadar pelanggan yang meningkat, dipacu melalui pelan Celcom Xpax’s ‘Truly Unlimited’, dan peningkatan Purata Pendapatan Setiap Pengguna (ARPU) sebanyak RM2 pada asas suku tahunan. Hasil daripada segmen pasca bayar pula meningkat 1.6% pada asas suku tahunan dengan ARPU sebanyak RM84 serta kadar pelanggan yang meningkat.