
Death Stranding Untuk PC Lewat Kerana COVID-19
Permainan Death Stranding pada awalnya dijadualkan keluar bagi platform PC lebih kurang sebulan lagi, iaitu pada 2 Jun 2020, tetapi Kojima Productions telah mengumumkan bahawa permainan tersebut akan ditangguhkan sehingga bulan Julai kerana gangguan operasi berpunca dari COVID-19.

Tarikh pelancaran baru bagi Death Stranding PC adalah 14 Julai, seperti yang diumumkan oleh Kojima Productions di Twitter.
Berdasarkan tweet di atas, nampaknya Kojima Productions memerlukan lebih banyak masa untuk fasa pembangunan kerana mereka terpaksa bekerja dari rumah. Menarik sekali kerana ramai dari peminat memberikan respon mereka amat memahami situasi ini dan tidak kisah jika terpaksa menunggu sehingga Julai, asalkan permainan yang dilancarkan berkualiti.

Death Stranding menjanjikan beberapa bonus yang menarik untuk pemain PC, termasuk sokongan untuk monitor ultrawide berserta Mod Foto. Terdapat juga beberapa kandungan bonus Half-Life seperti headcrabs ahoy. Dan sudah pasti pemain PC juga bakal menikmati kualiti grafik yang lebih baik.
Death Stranding akan dilancarkan melalui platform Steam dan Epic Games Store secara serentak pada 14 Julai 2020. Permainan ini muncul secara eksklusif di PS4 pada bulan November 2019 dan mendapat sambutan yang sangat positif. Sudah pasti ramai pemain PC yang tertunggu-tunggu akan kehadiran Death Stranding di PC.

