
vivo v15 pro baru sahaja dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 26 Februari 2019 dengan tanda harga RM1,799. Ia dilihat membawakan inovasi terkini, di samping kuasa luar biasa dalam merubah cara kita berfikir.

Namun, adakah peranti ini berbaloi untuk dimiliki? Ataupun, pokok persoalan yang lebih besar adakah ia boleh memenuhi keperluan pengguna masa kini? Bersama eRing, reviu eksklusif ini bakal cuba menjawab dan merungkai segala persoalan yang bermain di minda anda!
REKA BENTUK
vivo V15 Pro memperagakan skrin penuh bersaiz 6.39 inci dengan resolusi FHD+ bersama nisbah pada badan sebanyak 91.64%. Bagi kami, kualiti paparan dilihat lebih daripada memadai dan cukup memuaskan melalui panel Super AMOLED dengan penghasilan warna yang cukup baik. Paparan ini juga memberikan pengalaman sudut tontonan sangat baik dan lebih semula jadi tanpa sebarang gangguan kerana tiada kewujudan takuk.

Peranti ini hadir bersama rekaan kamera “sorok” sama seperti vivo NEX bagi memposisikan lensa hadapan. Sebagai tambahan, ia juga dibina bersama kemasan sisi melengkung ke arah skrin yang pastinya terasa premium dan sangat selesa di dalam genggaman tangan.
Pada sisi kanan terdapat butang laras suara dan butang kuasa yang terbina pada tahap mudah untuk digapai. Sisi kiri pula, ditempatkan ketersediaan slot kad mikro SD dan butang fizikal khusus bertujuan untuk mengaktifkan ciri Google Assistant.

V15 Pro masih mengekalkan ketersediaan ‘lubang’ kegemaran ramai iaitu port audio 3.5mm yang diletakkan pada bahagian atas bersebelahan dengan kamera selfie tersorok. Terdapat ketersediaan slot SIM, sambungan micro-USB pembesar suara yang terletak pada bahagian bawah peranti.
Kami amat mengesyorkan agar anda menggunakan casing kerana panel belakang peranti ini agak licin untuk dipegang dan pada masa sama, ia juga memerangkap kesan cap jari dengan mudah.
PRESTASI DALAMAN
Enjin dalaman V15 Pro dijana dengan cip pemproses Snapdragon 675 bersama ketersediaan memori yang dilihat memadai untuk kegunaan pengguna pada hari ini iaitu 6GB RAM dan storan sebesar 128GB.

Sepanjang penggunaan, kami mendapati cip ini mampu menggalas tugasan harian dengan baik. Melaluinya, kami juga boleh membuka seberapa banyak aplikasi yang mahu tanpa sebarang masalah. Prestasi pengaliran haba V15 Pro juga berada pada tahap terbaik dan tiada sebarang isu pemanasan yang ketara meskipun peranti digunakan secara berterusan.

Berdasarkan hasil pengujian yang dilakukan, kami mendapati V15 Pro mencatatkan skor 181011 sebanyak mata untuk ujian antutu. Bagi ujian Geekbench 4 pula, ia memaparkan skor sebanyak 2366 mata untuk ujian tunggal dan 6554 mata untuk ujian pelbagai teras.
ANTARAMUKA
V15 Pro menyajikan antaramuka Funtouch OS 9 bersama Android 9.0 Pie. Antaramuka ini mempersembahkan paparan yang kemas bersama ikon ceria sekaligus mesra pengguna dalam memberi pengalaman terbaik.

Selain itu, pengguna juga boleh mengubah sendiri tema mengikut cita rasa masing-masing menerusi fungsi pertukaran tema terbina. Tidak ketinggalan, ia turut menyelitkan paparan control centre dengan mimik iOs – pengguna perlu meleret bahagian bawah paparan ke atas bagi mengakses panel kawalan.
KESELAMATAN
V15 Pro dibina dengan teknologi pengimbas cap jari terbina pada skrin yang mana sebelum ini turut terdapat pada generasi sebelumnya iaitu vivo V11. Lebih menarik, pengguna boleh menetapkan style untuk pengimbas tersebut mengikut citarasa sendiri menerusi tetapan “Animation styles”. Prestasinya dilihat berjalan dengan lancar dan pantas tanpa sebarang isu.

Sebagai alternatif, V15 Pro juga memiliki fungsi pengecaman wajah. Daripada percubaan kami, ia berfungsi dengan sangat responsif dan memberikan pilihan kepada pengguna untuk menyahaktifkan skrin melalui dua method : 1) Tekan butang kuasa untuk membuka kunci ataupun, 2) Luncurkan ke atas apabila skrin dinyalakan untuk membuka kunci.

BATERI
Dari segi bateri, peranti ini dilengkapi bateri dengan kapasiti 3,700 mAh dan menyokong teknologi pengecasan pantas dalam menyingkatkan masa pengecasan. Keupayaan bateri dilihat mampu bertahan selama satu hari untuk penggunaan aktif. Namun, agak mengecewakan apabila ia masih menggunakan sambungan mikro USB berbanding USB-C. Bagi pengecasan, kami mengambil masa sekitar 1 jam dan 30 minit untuk mencapai tahap penuh 100%.

KAMERA
Bercakap soal kemera, vivo boleh dikatakan sentiasa mengeluarkan peranti dengan perincian yang mengutamakan pada kualiti kamera. Kali ini, vivo mempertaruhkan fungsi tiga kamera utama sebagai ‘pelaris’ dengan sensor 48MP (f/1.8) + 8MP (f/2.2) + 5MP (f/2.4). Ia turut dilengkapi flash LED dan fungsi Night Mode untuk penggambaran malam.
Peranti ini juga dilengkapi dengan ciri yang sangat berguna terutamanya bagi golongan wanita iaitu AI Body Shaping – seakan fungsi pada kamera HONOR View20. Melaluinya, pengguna boleh menyesuaikan setiap aspek tubuh badan untuk kelihatan langsing dalam foto.

Hasil percubaan kami mendapati, kamera pada peranti ini menawarkan prestasi pada tahap baik yang mana kualiti gambar terhasil lebih jelas dan stabil dengan memberikan keperincian imej yang tajam. Warna terhasil juga adalah baik dan kelihatan semula jadi. Sedap mata memandang!
Kamera hadapan dilihat amat sesuai bagi mereka yang gemar berselfie. Penggunaan sensor sebesar 32MP menyajikan kualiti gambar swafoto menarik dengan hasilan imej wajah terperinci. Ia juga menyertakan sebilangan ciri menarik lain seperti pelekat untuk menjadikan foto lebih menarik.












Apa Kata Editor?
Vivo sekali lagi tampil berani dengan menyajikan inovasi menarik di samping keupayaan terbaik untuk model kali ini. Daripada huraian di atas, kami dapat simpulkan vivo V15 Pro sangat sesuai untuk mereka yang mengidamkan peranti cantik dan hebat dari luaran dan dalaman. Lebih penting, ia sememangnya mampu memenuhi keperluan pengguna masa kini.
[ Baca : Pandang Pertama vivo V15 Pro : Peranti Cantik Dengan Kamera Selfie ‘Pop-Up’ 32MP ]
Tidak hanya cantik fizikal sahaja, ia juga berkuasa daripada segi dalaman dan dilihat mampu menggalas pelbagai tugas harian dengan sempurna tanpa sebarang isu masalah. Bagi kaum hawa dan juga adam di luar sana, kami berani jamin anda pasti akan menyukai peranti pintar ini terutamanya bagi mereka yang kaki selfie!

