
Pengenalan…
Malaysia merupakan antara pasaran utama pengeluar kedua terbesar dunia, Huawei. Pada kali ini, siri Huawei P20 dibawa masuk ke pasaran tempatan dengan menampilkan dua buah peranti iaitu Huawei P20 dan Huawei P20 Pro. Imej tumpu untuk tahun ini ialah tingkat taraf pada bahagian kamera, kini diberikan kelengkapan konfigurasi tri-kamera khusus pada Huawei P20 Pro.

Memandangkan dua buah peranti ini berada pada tangga harga yang berbeza, Huawei P20 hanya menawarkan sistem dwi-kamera sahaja. Walaubagaimanapun, kedua-dua model ini menggunakan kamera berteknologi Leica generasi ke-3.
Unboxing! Huawei P20 ↓ ↓ ↓
Tidak perlu diperkenalkan lagi, kami pasti ramai di kalangan anda sudah mengenali Huawei P20 Series. Apa kata kita lihat perbandingan spesifikasi sebelum bercerita lanjut mengenai kelebihan perant ini. Mari mulakan.
SPESIFIKASI
REKA BENTUK
Siri Huawei P20 dibina menggunakan bahan berasaskan gelas dan kerangka logam. Menariknya pada bahagian luaran, ia dikemaskan dengan warna yang begitu unik dua tona iaitu Pink Gold untuk Huawei P20.
Sementara untuk Huawei P20 Pro, pasaran Malaysia hanya ditawarkan warna Black dan Midnight Blue (seperti unit reviu) sahaja buat masa ini.

Selepas memegang kedua-dua peranti ini, kami merasakan Huawei P20 lebih selesa untuk digenggam dan ia terasa lebih mantap berbanding varian Pro yang sedikit lebar di tapak tangan.

Kami cukup berhati-hati apabila meletakkan peranti ini di atas meja atau mana-mana permukaan kerana peranti ini sangat licin dan mudah untuk tergelincir jika tidak diletakkan dengan cara yang betul.

Malahan, set pembelian untuk siri Huawei P20 tidak didatangkan dengan sarung pelindung dan pengguna perlu mendapatkannya secara berasingan.

Memang benar, memakai sarung pelindung mencacatkan nilai estetik pada peranti ini, tetapi sekurang-kurangnya dapat menghalang cap jari daripada terus melekat pada permukaan gelas belakang di samping melindungi peranti daripada calar.
SKRIN
Skrin atau paparan menjadi salah satu tarikan penting apabila ingin membeli telefon pintar. Oleh itu, untuk siri Huawei P20 ia hadir dengan skrin bertakuk bersaiz 5.8-inci dan 6.1-inci. Penggunaa teknologi OLED hanya diletakkan pada model Pro, sementara untuk varian biasa hanya skrin jenis IPS LCD yang dimuatkan.
Kami mendapati untuk kandungan visual, Huawei P20 Pro dipilih sebagai pemenang kerana teknologi OLED menghasilkan paparan yang terang serta tajam di samping kuasa yang lebih efisyen.

Walaupun begitu, ada sedikit rungutan mengenai skrin ini. Semasa menghadap skrin dalam persekitaran yang gelap, ia tidak boleh diturunkan pada tahap yang diinginkan lantas ia tidak selesa digunakan. Cara lain untuk mengatasinya ialah mengubah paparan menjadi kuning dengan meletakkan skrin di dalam mod membaca.

Buat masa ini kebanyakan aplikasi pihak ketiga yang dimuat turun masih tidak menyokong skrin takuk. Seperti contoh, takuk melindungi hampir keseluruhan bahagian atas Instagram Stories dan perkara ini amat menjengkelkan.
EKOSISTEM
Perisian dalaman yang lebih dikenali sebagai antaramuka kali ini dipertingkatkan dengan Android 8.1 Oreo dan EMUI 8.1 terbaharu, sekaligus menjadikan siri Huawei P20 antara peranti yang terawal menggunakan sistem ini.

Tidak banyak perubahan jika dibandingkan dengan Android Oreo versi terdahulu, cuma kali ini perisian telah dibaiki dan ia lebih stabil dan lancar digunakan.

Namun, apa yang kami tidak berapa gemar ialah ketiadaan laci aplikasi untuk sebuah peranti Android.
CIP PERKAKASAN
Tidak perlu mengharapkan lebih pada bahagian ini kerana cip yang digunakan tidak setanding cip Qualcomm Snapdragon 845 yang diguna pakai pada peranti induk lain. Bagaimanapun, menerusi teknologi kecerdasan-buatan yang ada pada HiSilicon Kirin 970, kami yakin ia masih relevan untuk digunakan pada tahun 2018.
Bukan setakat perbezaan pada saiz dan konfigurasi kamera, memori RAM yang dimuatkan juga berlainan. Huawei P20 dibekalkan RAM 4GB, sementara Huawei P20 Pro ialah 6GB. Melalui pengalaman editor, dua peranti yang digunakan dalam membuat tugasan yang sama ternyata sekali berbeza. Misalnya, proses memuat turun aplikasi pada Play Store sedikit lewat pada varian biasa serta proses penyambungan WiFi dilihat lebih pantas pada varian Pro.
AnTuTu 7

GeekBench 4.1 (multi-core)

Setelah menjalani ujian benchmark, keputusan yang diperolehi memang berbeza dengan jurang yang sedikit, malah keputusannya tidak mengecewakan walaupun dibandingkan dengan peranti induk yang lain.
BATERI
Tahun lepas Huawei berjaya menghasilkan peranti dengan bateri tahan lama melalui Huawei Mate 10 Pro. Pada tahun ini Huawei P20 Pro juga dibekalkan kapasiti bateri yang sama iaitu 4,000mAh. Jadi mengikut kertas spesifikasi, cip pemproses, RAM dan skrin yang digunakan hampir sama menjadikan ketahanan bateri pada peranti ini masih menawarkan kitaran masa yang panjang. Semasa membuat rakaman dan mengambil gambar, peranti ini tidak mengecewakan kerana bateri tidak menjunam secara mengejut, bagaimanapun cuma ada sedikit haba yang dikeluarkan dan itu merupakan perkara yang normal.

Sementara untuk Huawei P20, peranti ini dibekalkan sebuah bateri sekiar 3,400mAh bagi menjana saiz skrin yang lebih kecil. Sistem pengecasan untuk kedua-dua peranti berkongsi teknologi yang sama iaitu Huawei SuperCharge berkuasa 4.5V/5A. Jadi, proses pengecasan juga mengambil masa yang amat singkat.
ULASAN PRA-AKHIR…
Apa yang boleh dirumuskan daripada segi fizikal ialah ia sebuah telefon yang ‘sedap’ untuk dipandang. Tidak dinafikan sejak akhir-akhir ini Huawei cukup teliti daripada segi tubuh badan peranti yang dikeluarkan. Mungkin Huawei melihat aspek ini sebagai faktor utama sebelum pengguna membelinya. Bagaimanapun, secara peribadi kami masih belum cukup puas dengan skrin yang ditawarkan. Jika pengimbas cap jari dialihkan ke belakang atau dibuang sekalipun, fungsi pengecaman wajah dapat menggalas sistem keselamatan dengan baik – peranti sangat pantas untuk dibuka sebaik wajah menatap peranti.
Selain itu, perkakasan dalaman yang menggunakan cip Kirin 970 dianggap masih tidak ketinggalan berbanding cip-cip keluaran jenama lain. Bahkan, integrasi pembelajaran-mesin juga banyak membantu peranti ini melakukan setiap tugasan dengan mantap. Kami mengharapkan peranti ini menyediakan slot untuk kad memori, sebaliknya Huawei telah memutuskan untuk tidak meletakkan ciri ini pada siri Huawei P20.
Daripada segi harga pula, ia masih dikategorikan sebagai peranti induk mampu milik. Dua peranti ini lengkap dengan keperluan yang pengguna inginkan, cuma satu sahaja yang tak dapat ditunaikan ialah sistem pengecasan tanpa wayar. Kedua-dua peranti hanya boleh dicas secara tradisional menggunakan wayar sahaja.
Beli Huawei P20 Pro
Beli Huawei P20