
Sudah Confirm! Paparan Hampir Bezel-less Untuk LG G6
LG sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa satu majlis media akan diadakan pada 26 Februari di Barcelona, Sepanyol sebagai sebahagian daripada agenda mereka di MWC 2017. Terbaru, LG juga telah berkongsikan satu gambar teaser yang mengesahkan bahawa LG G6 akan dirasmikan pada acara tersebut.
Imej tersebut juga memperlihatkan LG G6 bakal dilengkapi ciri paparan hampir bezel-less, sekaligus mengesahkan khabar angin yang tersebar sebelum ini. Selain itu, nampaknya LG cuba menekankan ciri ergonomik peranti tersebut dengan LG G6 masih selesa dioperasikan menggunakan satu tangan walaupun mempunyai saiz paparan yang lebih besar. LG telah mengesahkan bahawa G6 akan dilengkapi paparan LCD Quad HD 5.7-inci.
Antara laporan lain yang diperoleh adalah kemungkinan besar pemproses Qualcomm Snapdragon 821 akan digunakan di dalam model G6, bersama-sama dengan audio jack 3.5mm, kamera belakang dwi-lensa dan kamera hadapan yang boleh berfungsi sebagai pengimbas iris. Khabar angin terbaru mendakwa bahawa telefon akan mula dijual di Korea Selatan pertama pada 9 Mac, diikuti dengan pasaran US pada 7 April.
Ikuti berita terkini MWC 2017 dari eRing melalui laman web ini dan juga laman Facebook kami.

