
RM 3,088 (Set Original Import)
Xiaomi Mi MIX adalah salah satu peranti yang cukup istimewa pada pendapat kami. Ia merupakan sebuah peranti yang menjadi petunjuk ke manakah hala tuju reka bentuk sebuah telefon pintar pada masa akan datang. Idea sebuah peranti dengan paparan penuh sudah lama dibangkitkan pelbagai pihak yang terlibat di dalam dunia teknologi, baik dari pengeluar dan juga peminat.
Sebelum ini, kita hanya melihat imej-imej konsep yang dikongsikan di pelbagai ceruk Internet dan hanya mampu mengharapkan sahaja ia menjadi realiti tidak lama lagi. Kini ia sudah pun tiba, dilahirkan oleh Xiaomi dengan nama Mi MIX.
PENGENALAN
Pada mulanya, Xiaomi mengumumkan Mi MIX sebagai telefon konsep, sebuah indikasi visi masa depan syarikat tersebut. Dan kemudian mereka membuat kejutan dengan mengumumkan pelancaran untuk pasaran umum sebagai sebuah peranti yang sedia digunakan.

Estetik rekaan menjadi daya penarik utama Mi MIX, buktinya boleh dilihat ketika proses membuka kotak peranti ini. Xiaomi nampaknya benar-benar mahu menjadikan Mi MIX sesuatu yang cukup istimewa dengan kotak pembungkusan yang premium dan unik.
Pembungkusan menggunakan kotak boleh lipat memberikan pengalaman unboxing yang unik. Di dalam kotak ini terdapat peranti pintar itu sendiri, kabel USB Type-C, plug pengecas dengan sokongan cas pantas dan juga sebuah casing kulit premium.
SPESIFIKASI
PLATFORM
- Versi: Android 6.0 Marshmallow
- Antaramuka: MIUI 8.0
SLOT KAD SIM
- Slot Kad SIM: Dual SIM Dual 4G Standby
- Jenis Kad SIM 1: Nano SIM
- Jenis Kad SIM 2: Nano SIM
PEMPROSES
- Cipset: Qualcomm MSM8996 Snapdragon 821
- CPU: Quad Core (2 x 2.35GHz Kryo + 2 x 2.19GHz Kryo)
- Semikonduktor: 14nm FinFET LPP
- GPU: Adreno 530 @ 653MHz
MEMORI
- ROM: 128GB (UFS 2.0)
- RAM: 4GB LPDDR4
- Kad microSD: X
KERANGKA
- Saiz Kerangka: 158.8 x 81.9 x 7.9mm
- Berat Kerangka: 209g
- Jenis Kerangka: Seramik
(Panel Belakang & Sisi)
PAPARAN
- Saiz: 6.4 inci IPS LCD
- Resolusi: 1080 x 2040 piksel
- Kepadatan Piksel: 363ppi
- Format Paparan: 17:9
- Tahap Keterangan: 500 nits
- Nisbah Kontras: 1300:1
- Gamut Warna: 94% NTSC
- Mod Paparan: Sunlight Display, Night Display, Color Temperature Adjustment
BATERI
- Kapasiti: 4400mAh
- Teknologi Pengecas: Quick Charge 3.0
- Output Pengecas: 5V2A / 9V2A / 12V1.5A
KAMERA UTAMA
- Resolusi: 16 Megapiksel
- Sensor: OmniVision OV16880
- Saiz Piksel: 1.0µm
- Aperture: f/2.0
- LED Flash: Dual Real Tone
- Jenis Fokus: Phase Detection Auto Focus (PDAF)
- Mod Kamera: Panorama, Timer, Audio, Manual, Straighten, Beautify, GroupShot, Square, HHT, Tilt-Shift
- Mod Video: Time-Lapse, Slow-Motion
- Rakaman Video: 4K @ 30fps, 1080p @ 30fps, 720p @ 30fps, 720p @ 120fps (slo-mo)
KAMERA DEPAN
- Resolusi: 5 Megapiksel
- Sensor: OmniVision OV5675
- Saiz Piksel: 1.12µm
- Aperture: f/2.2
- Mod Kamera: Timer, Audio, GroupShot
- Mod Beautify: Smart, Pro, Off
- Rakaman Video: 1080p @ 30fps
SAMBUNGAN
- WiFi: 802.11 a/b/g/n/ac
(WiFi Direct, WiFi Display) - Bluetooth: v4.2 (Bluetooth HID)
- NFC: Sokongan penuh NFC (read/write)
- GPS: GPS, A-GPS, GLONASS
SENSOR
- Ultrasonic Proximity Sensor
- Gyroscope
- Accelerometer
- Electronic Compass
- Ambient Light Sensor
- Vibrator Motor
- Barometer
- Hall Sensor
Aksesori
REKA BENTUK
Dari segi ergonomik, Xiaomi Mi MIX bukanlah peranti yang paling selesa untuk dipegang, ia agak berat dan agak lebar, namun tidaklah sehingga memberikan ketidakselesaan ketika digenggam. Malah, dengan skrin sebesar 6.4 inci, Mi MIX mempunyai saiz keseluruhan yang hanya sedikit besar berbanding peranti flagship pesaing seperti Huawei Mate 9.
Bahan binaan Mi MIX pula memberikan rupa dan feel yang unik pada peranti ini. Panel depan, belakang dan sisi peranti diperbuat daripada seramik yang mampu memberikan peranti ini ketahanan dari calar yang sangat tinggi. Bukan setakat itu sahaja, butang pada peranti ini juga diperbuat daripada bahan yang sama, lantas memberikan feel yang sangat-sangat premium.
Namun bahan seramik ini juga mempunyai kelemahan yang tersendiri, pertama sekali kotoran berminyak seperti dari jari amat mudah melekat pada panel peranti ini, memberikan rupa yang agak kotor apabila digunakan pada jangka masa yang lama. Anda perlu kerap mengelap panel depan dan belakang bagi memastikan Mi MIX nampak bersih dan kemas ketika digunakan.
Kelemahan kedua adalah peranti ini agak licin. Sepanjang tempoh awal menggunakan peranti ini, kerap kali peranti hampir tergelincir dari tangan, menyebabkan kami memilih untuk memakaikan casing kulit yang disertakan bagi mengelakkan perkara tidak diingini dari terjadi. Casing kemasan kulit memberikan cengkaman yang baik ketika menggunakan peranti.
PAPARAN
Bahagian paparan merupakan topik utama di dalam ulasan Mi MIX, kerana pada komponen inilah yang meletakkan Mi MIX berbeza dengan peranti lain. Skrin IPS 6.4 inci ini dihasilkan oleh Sharp dan menawarkan 1080 x 2040 resolusi piksel dengan kepadatan 362ppi. Ratio paparan 17:9 adalah sesuatu yang agak luar biasa dan janggal, namun kami tidak mempunyai sebarang masalah layout paparan di dalam semua aplikasi yang digunakan pada peranti ini.
Untuk mengatakan bahawa Xiaomi Mi MIX merupakan sebuah peranti bezel–less adalah sesuatu yang agak tidak benar, malah Xiaomi juga tidak menggunakan terma tersebut untuk menggambarkan Mi MIX. Ini kerana masih terdapat garisan bezel senipis 2mm yang boleh dilihat di sepanjang sisi peranti. Ini merupakan bezel paling minimal yang boleh dilihat pada pilihan peranti yang ada sekarang.
Berkenaan kualiti paparan pula, kami amat berpuas hati dengan paparan IPS yang digunakan pada Mi MIX. Memang jika diberi pilihan kami akan memilih skrin jenis AMOLED pada bila-bila masa. Namun skrin IPS Mi MIX tidak mengecewakan dengan tona warna yang menonjol, hitam pekat dan juga kontra warna yang sungguh baik. Pengalaman ketika bermain permainan mobil dan juga menonton video amat memuaskan.
Bagaimanapun terdapat satu kekurangan pada skrin Mi MIX, kami mendapati skrinnya agak sensitif. Kerap kali aplikasi muzik dilancarkan dan audio dimainkan ketika Mi MIX berada di dalam poket.
• Paparan Mi MIX meliputi hampir keseluruhan panel hadapan menyebabkan kamera hadapan terpaksa diletakkan di bahagian bawah paparan.
TEKNOLOGI ISTIMEWA MI MIX
Sudah lihat bukan reka bentuk Xiaomi Mi MIX kan, adakah anda perasan sesuatu yang janggal pada peranti ini? Xiaomi Mi MIX hadir dengan rekaan paparan skrin tanpa bezel pada bahagian atas kerangkanya. Keunikan rekaan ini secara tidak langsung telah mendorong Xiaomi untuk memperkenalkan dua teknologi terbaru memandangkan ia tidak lagi dilengkapi dengan lubang earpiece dan juga proximity sensor. Berikut adalah dua teknologi terbaru yang telah diperkenalkan pada Xiaomi Mi MIX:
Teknologi ‘Cantilever Piezoelectric Ceramics Acoustic’
Ketiadaan lubang earpiece konvensional pada Mi MIX sememangnya kelihatan unik, tetapi bagaimana pula jika panggilan dilakukan? Di sinilah keunikan Mi MIX terserlah, pemacu seramik akan menukarkan isyarat elektrik kepada tenaga mekanikal. Seterusnya tenaga mekanikal ini akan mencipta satu gelombang mikroseismik yang akan menghasilkan resonansi pada panel peranti dan ia kemudiannya akan ditukarkan kepada gelombang bunyi yang akan dihantar terus ke telinga. Jadi walaupun anda berada di dalam persekitaran yang bising, panggilan masih boleh didengari.
Sepanjang mencuba panggilan pada peranti Mi MIX, kami perlu membiasakan diri untuk menempatkan telinga betul-betul di kawasan yang memberikan kualiti audio yang jelas. Pada fasa awal penggunaan peranti ini, audio panggilan sedikit tenggelam. Lama kelamaan, setelah mengenal pasti kawasan panel hadapan yang mampu memberikan kualiti audio panggilan yang jelas, panggilan amat mudah dilakukan.
Ultrasonic Proximity Sensor Terbina-Dalam
Mi MIX juga tidak lagi tampil dengan proximity sensor biasa dengan sokongan inframerah, sebaliknya ia telah dilengkapi dengan proximity sensor jenis Ultrasonic terbina-dalam. Jadi apabila digunakan, ia dengan tepat mampu mengesan sekiranya pengguna berada berdekatan dan mampu mengelakkan sentuhan tanpa disengajakan.
PERISIAN
Xiaomi Mi MIX dilengkapi Android versi Marshmallow dengan modifikasi MIUI 8.0 yang menampilkan pelbagai pembaharuan seperti set ikon, skim warna dan animasi adalah lebih baik. Namun rupa antaramuka MIUI terbaru ini hanyalah rombakan kecil yang diberikan Xiaomi.
Yang menarik pada MIUI 8 adalah pada fungsi Dual Apps di mana anda boleh mempunyai dua aplikasi yang sama pada peranti, sebagai contoh, mempunyai dua akaun WhatsApp di dalam peranti yang sama, satu untuk setiap SIM. Anda juga boleh memilih mana-mana aplikasi untuk fungsi ini, cuma pergi ke bahagian tetapan untuk mengaktifkannya. Aplikasi kedua boleh dikenalpasti melalui penanda pada ikon aplikasi.
Satu lagi fungsi yang diperkenalkan adalah Quick Ball yang menawarkan akses pantas kepada beberapa tugasan. Fungsi ini boleh diakses dengan menekan butang di bahagian kiri sekali pada bar navigasi yang kemudiannya akan melancarkan satu butang khas dengan shorcut tugasan seperti Home, App Switcher, Screenshot dan memadamkan skrin.
UJIAN BENCHMARK
| Ujian | Peranti | Skor |
| AnTuTu 6 | Xiaomi Mi MIX | 135787 |
| Xiaomi Mi Max | 74488 | |
| Huawei Mate 9 | 122826 | |
| Sony Xperia XA Ultra | 50109 | |
| Samsung Galaxy A9 (2016) | 64591 | |
| GeekBench 4 | Xiaomi Mi MIX | 3889 |
| Xiaomi Mi Max | 2860 | |
| Huawei Mate 9 | 6112 | |
| Sony Xperia XA Ultra | – | |
| Samsung Galaxy A9 (2016) | 4134 | |
| Basemark OS II | Xiaomi Mi MIX | 2012 |
| Xiaomi Mi Max | 1342 | |
| Huawei Mate 9 | 2785 | |
| Sony Xperia XA Ultra | 790 | |
| Samsung Galaxy A9 (2016) | 1462 | |
| Basemark X | Xiaomi Mi MIX | 30213 |
| Xiaomi Mi Max | 15487 | |
| Huawei Mate 9 | 36519 | |
| Sony Xperia XA Ultra | 6754 | |
| Samsung Galaxy A9 (2016) | 15290 | |
Tidak dinafikan lagi bahawa Xiaomi Mi MIX dengan sokongan pemproses Qualcomm Snapdragon 821 menjanjikan prestasi yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain. Namun begitu, prestasi pemproses Quad Core berasaskan semikonduktor 14nm FinFET pada Mi MIX adalah setanding dengan pemproses terbaru HiSilicon Kirin 960 yang menyokong pemproses Octa Core berasaskan semikonduktor 16nm FinFET pada Huawei Mate 9.
UJIAN BATERI
Xiaomi Mi MIX dikuasakan oleh bateri 4400mAh, lebih dari cukup untuk membekalkan kuasa untuk penggunaan berat dalam aktiviti seharian seperti melayari web, bermain permainan, menonton video dan bermacam-macam lagi. Ia juga menyokong sistem pengecasan Qualcomm Quick Charge 3.0 yang harus digunakan bersama plug pengecas yang disertakan.
| Model | Masa (jam) | ||||
| Kapasiti | Berbual | Internet | Video | Ketahanan Bateri | |
| Xiaomi Mi MIX | 4400mAh | 31:07 | 13:13 | 14:23 | 97 |
| Xiaomi Mi Max | 4850mAh | 24:09 | 19:25 | 16:42 | 102 |
| Huawei Mate 9 | 4000mAh | 19:23 | 14:17 | 11:26 | 82 |
| Sony Xperia XA Ultra | 2700mAh | 14:22 | 07:50 | 07:59 | 55 |
| Samsung Galaxy A9 (2016) | 4000mAh | 32:54 | 13:26 | 18:36 | 97 |
Masa Mengecas 0% hingga 100%
- Xiaomi Mi MIX: 119 minit (**PERTAMA)
- Xiaomi Mi Max: 197 minit
- Huawei Mate 9: 144 minit (**KETIGA)
- Sony Xperia XA Ultra: 151 minit
- Samsung Galaxy A9 (2016): 122 minit (**KEDUA)
← Proses mengecas dimulakan pada jam 10 pagi sebaik sahaja peratusan bateri berbaki 10%.
← Selepas 30 minit dicas, peratusan bateri telah bertambah sebanyak 34% kepada 44%.
← Selepas 1 jam dicas, peratusan bateri telah bertambah lagi sebanyak 34% kepada 78%.
← Bateri telah berjaya dicas sepenuhnya ke 100% selepas 1 jam 51 minit atau bersamaan 111 minit.
KAMERA
Xiaomi Mi MIX dilengkapi dengan kamera 16MP yang mempunyai phase detection autofocus, f/2.0 aperture dan LED flash, dwi-nada flash. Manakala pada kamera hadapan pula dilengkapi sensor 5MP f/2.0.
Prestasi kamera Mi MIX secara keseluruhannya tidak setanding dengan peranti flagship lain, namun ia masih mampu menghasilkan tangkapan imej yang baik dan berkualiti. Tona warna nampak menonjol dan butiran juga amat jelas sekiranya anda berada di dalam keadaan yang mempunyai pencahayaan yang cukup. Anda boleh rujuk beberapa keping gambar yang sempat kami tangkap.
RUMUSAN
PRO
- Rekaan paparan skrin tanpa bezel dengan sokongan kerangka yang diperbuat daripada seramik sememangnya kelihatan sangat unik dan premium.
- Dilengkapi dengan sokongan spesifikasi yang terbaik seperti pemproses Qualcomm Snapdragon 821, RAM 4GB, memori dalaman 128GB dan juga kapasiti bateri yang besar.
- Sokongan teknologi pengecas pantas dengan adapter output 5V2A / 9V2A / 12V1.5A yang tersedia dalam pakej pembelian mampu mengecas bateri berkapasiti 4400 mAh dengan sangat cepat.
- Setiap pembelian turut dilengkapi dengan sarung pelindung yang diperbuat daripada kulit asli dari Eropah sememangnya terasa sangat berkualiti tinggi dan memberikan rasa pegangan yang lebih baik.
KONTRA
- Sokongan paparan skrin yang besar agak sukar digunakan dengan sebelah tangan dan anda digalakkan menggunakan sarung pelindung kerana permukaan seramik adalah sangat licin serta berisiko untuk retak apabila terjatuh.
- Ketiadaan lubang earpiece yang telah digantikan dengan teknologi akustik seramik bukanlah alternatif terbaik kerana adakalanya suara pemanggil tidak begitu jelas kedengaran.
- Kedudukan kamera depan yang terletak pada bahagian bawah skrin kurang praktikal kerana anda perlu menggunakan peranti secara terbalik untuk mengambil gambar selfie ataupun membuat panggilan video.
- Hanya dilengkapi dengan sokongan satu speaker sahaja yang berkualiti mono.
Harga jualan Mi MIX agak tinggi lantas menyukarkan kami untuk mengesyorkan peranti ini kepada pasaran umum. Ia mempunyai kualiti binaan yang amat bagus, prestasi yang baik dan juga teknologi terkini. Oleh kerana harganya yang tinggi, ia mungkin lebih sesuai dibeli mereka yang mempunyai bajet berlebihan untuk mendapatkan sebuah peranti yang cukup unik di pasaran. Sekiranya anda berminat, boleh dapatkan peranti ini di Satu Gadget.
















