
Pembekal rangkaian data terkemuka di Malaysia telah menandatangani sebagai penaja utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghidupkan semula zaman kegemilangan badminton dan berjanji untuk menawarkan liputan badminton melalui media digital di Malaysia dengan program-program yang konsisten dan penglibatan yang berterusan. Dato’ Sri Shazalli Ramly, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad berkata Celcom Axiata berbesar hati untuk berkongsi minat yang sama dengan rakyat negara ini dan terlibat secara langsung di dalam sukan tersebut.
Hasil kerjasama tersebut akan membantu BAM dalam usaha mereka menjalankan pelbagai program umum dan perkembangan sukan badminton. Matlamatnya adalah untuk mengintegrasikan teknologi dan komunikasi di dalam sukan ini bagi mengembangkan lagi pengaruh sukan badminton yang telah banyak mengharumkan nama negara di persada dunia.

