Pemandu E-Hailing Perlu Memiliki Lesen PSV Dan lakukan Penukaran Kegunaan Kenderaan

Buat pemandu e-hailing (Grab, myCar, MULA), anda perlu cakna tentang perkembangan terbaharu ini. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan bahawa pemandu atau bakal pemandu e-hailing perlu memiliki Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) sebelum 12 Julai 2019.

Tindakan ini perlu dilakukan bagi memastikan pemandu e-hailing setara dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh teksi.

Cara mendaftar adalah mudah, anda hanya perlu ke institut memandu dan pusat latihan memandu yang mendapat pengiktirafan JPJ, bermula dari 1 April. Yuran yang dikenakan adalah maksima RM200.

Bagi mendapatkan lesen ini, pemandu perlu melalui modul latihan lesen vokasional selama 6 jam. Dalam pada itu, kenderaan e-hailing yang berusia kurang dari 3 tahun dari tarikh pendaftaran, perlu menjalani proses tukar kegunaan dari kenderaan persendirian individu kepada kenderaan persendirian e-hailing. Anda boleh melakukan permohonan di Pejabat JPJ Negeri dan cawangan di seluruh Malaysia kecuali UTC pada 1 April ini.

Dalam pada itu, jika kenderaan pemohon melebihi 3 tahun dari tarikh pendaftaran, anda perlu menjalani pemeriksaan awalan terpakai di PUSPAKOM sebelum melakukan proses tukar kegunaan. Ia boleh dilakukan di 54 cawangan PUSPAKOM di seluruh Malaysia dan 8 pusat bergerak di PUSPAKOM.

Terdapat beberapa peraturan telah ditetapkan bagi kenderaan e-hailing ini antaranya ialah ia terbuka kepada semua kenderaan kecuali Pick-Up dengan 4 hingga 11 tempat duduk termasuk pemandu. Bagi kenderaan 8 penumpang ke atas, ia perlu dilengkapi dengan kit pertolongan cemas. Dalam pada itu, semua kenderaan juga perlu mempunyai alat pemadam api 1kg jenis karbon dioksida atau serbuk kering.

Selain itu, cermin kenderaan e-hailing juga perlu berada pada tahap ketelusan cahaya lebih 70% bagi cermin hadapan, lebih 30% untuk penumpang belakang dan skrin belakang dan lebih 50% untuk tingkap pemandu dan sebelah pemandu.

Menurut JPJ perubahan ini perlu dilakukan demi keselamatan pemandu, penumpang dan pihak ketiga. Tindakan akan dikenakan sekiranya pemandu ingkar bermula dari 12 Julai 2019.

You might also like