
Lenovo Watch 9 – Jam Tangan Hibrid Terbaharu Milik Lenovo
Jam tangan hibrid adalah sebuah jam tangan analog yang hadir dengan ciri-ciri pintar. Jika dilihat pada rekaannya, ia kelihatan seperti jam tangan biasa tetapi menawarkan beberapa fungsi pintar seperti boleh memaparkan notifikasi, mengira penjejak kesihatan, menyemak kalori dan beberapa lagi.
Terbaru, Lenovo telah melancarkan sebuah jam tangan hibrid yang diberi nama Watch 9 dengan tanda harga hanya RMB129 (kira-kira RM80). Ia diperbuat daripada bahan yang premium seperti nilam untuk permukaan jam, tali silikon dan juga kerangka besi. Lenovo turut memberitahu jam pintar ini kalis air sedalam 50 meter.
Boleh disambungkan dengan telefon pintar Android dan juga iOS, jam tangan hibrid ini menawarkan bateri yang mampu bertahan sehingga 12 bulan. Salah satu ciri menarik yang ada pada Watch 9 adalah kebolehan mengambil gambar dengan hanya menggoncangkan jam tangan ini sahaja. Ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu putih dan hitam, Lenovo Watch 9 akan mula dijual untuk pasaran China pada 23 Mac 2018 ini.