
PwC : Tiga perempat daripada CEO meramalkan pertumbuhan semula pada tahun 2021
![]() |
NEW YORK, 12 Mac 2021 /PRNewswire/ —
- Tinjauan PwC terhadap lebih 5,000 orang CEO di seluruh dunia mendedahkan tahap optimistik yang tinggi
- 76% CEO percaya pertumbuhan ekonomi global akan meningkat pada tahun 2021
- Mereka berkeyakinan pertumbuhan pendapatan syarikat akan melonjak semula
- Pada pandangan CEO, AS akan mengatasi kedudukan China sebagai destinasi pertumbuhan tertinggi
- Pada tahun penganjuran COP26 ini, perubahan iklim masih belum ditangani dengan tindakan segera
- Kesalahan maklumat telah meningkat menjadi antara 10 ancaman teratas terhadap pertumbuhan
Setelah setahun COVID-19 diumumkan sebagai pandemik, CEO menyuarakan tahap optimistik yang tinggi terhadap pemulihan ekonomi global yang menyaksikan 76% pemimpin perniagaan global meramalkan pertumbuhan ekonomi akan meningkat pada tahun 2021.
Angka-angka ini diperoleh daripada Tinjauan CEO Global Tahunan PwC yang ke-24 dan pada tahun ini, dengan seramai 5,050 orang CEO daripada 100 buah negara dan wilayah telah ditinjau pendapat mereka pada bulan Januari dan Februari 2021 yang lalu.
Peratusan CEO yang menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan telah meningkat daripada 22% pada tahun 2020 dan 42% pada tahun 2019, mewakili tahap optimistik tertinggi sejak tinjauan ini mula bertanyakan soalan tersebut pada tahun 2012.
Optimistik di kalangan CEO terhadap pertumbuhan ekonomi global adalah sangat tinggi terutamanya di Amerika Utara dan Eropah Barat, dengan peratusan sebanyak 86% dan 76% masing-masing daripada rantau ini yang meramalkan pertumbuhan global yang lebih baik pada tahun hadapan.
“Setelah setahun mengalami tragedi kemanusiaan dan kesukaran ekonomi yang meluas, adalah amat memberangsangkan untuk melihat individu yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan pelaburan dan pengambilan kakitangan berasa optimistik namun berwaspada tentang tahun yang akan datang. CEO berkeyakinan bahawa pertumbuhan akan diperoleh semula, didorong oleh pembangunan vaksin yang pesat dan pelancarannya di kebanyakan wilayah di dunia,” kata Bob Moritz, Pengerusi PwC Network.
“Sepanjang tahun lepas yang penuh dengan kecelaruan, CEO terpaksa memikirkan dan menyusun semula tindakan yang perlu dilakukan dan cara untuk melakukannya sambil berurusan dengan kunci kira-kira dan menyokong pekerja yang terpaksa menghadapi keadaan luar biasa ini.
“CEO kini berhadapan dengan dua cabaran asas: pertama, cara untuk membina kepercayaan pelbagai pihak berkepentingan yang mempunyai jangkaan lebih tinggi terhadap perniagaan berbanding sebelumnya; dan yang kedua, cara untuk menyesuaikan perniagaan dan memberi hasil yang berterusan dalam persekitaran luaran yang pesat berubah. Organisasi yang dapat menanganinya dengan baik akan berada di tempat terbaik untuk keluar daripada pandemik ini sebagai perniagaan yang kuat, berdaya tahan dan produktif serta dapat menahan kejutan di masa hadapan.”
CEO berkeyakinan pertumbuhan pendapatan akan melonjak semula kepada purata jangka panjang
CEO adalah lebih optimistik terhadap prospek perniagaan mereka. Seramai 36% daripada mereka yang ditinjau menyatakan mereka “amat yakin” terhadap prospek organisasi mereka untuk mencapai pertumbuhan pendapatan dalam tempoh 12 bulan akan datang, meningkat daripada 27% pada tahun 2020.
Walaupun keyakinan global sedang meningkat, terdapat variasi yang luas di seluruh industri yang mencerminkan tahap yang berbeza pada tingkah laku pengguna yang telah terkesan dengan pandemik tersebut. CEO dalam sektor teknologi dan telekomunikasi menunjukkan tahap keyakinan tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 45% dan 43%. Sebaliknya, CEO dalam sektor pengangkutan dan logistik (29%) serta perhotelan dan riadah (27%) merupakan antara yang paling tidak berkeyakinan dengan kemampuan mereka untuk meningkatkan pendapatan dalam tempoh 12 bulan akan datang.
AS akan mengatasi kedudukan China sebagai destinasi pertumbuhan tertinggi
Hasil tinjauan ini menunjukkan bahawa AS telah mengekalkan penerajuannya sebagai pasaran nombor satu yang diharapkan oleh CEO untuk pertumbuhan dalam tempoh 12 bulan akan datang iaitu sebanyak 35%, lebih tujuh peratus berbanding China yang memperoleh 28%. Pada tahun 2020, AS mengatasi China hanya sebanyak satu peratus.
Perkembangan politik baharu dan ketegangan yang sedia ada telah memberi kesan terhadap pandangan CEO daripada AS. Mereka mengurangkan tumpuan terhadap China sebagai pemacu pertumbuhan dan meningkatkan fokus terhadap Kanada dan Mexico; berbanding tahun 2020, minat CEO daripada AS terhadap kedua-dua buah negara tersebut telah meningkat sebanyak 78%. Manakala, CEO daripada China melaporkan peningkatan dalam minat terhadap ekonomi besar seperti AS, Jerman dan Jepun — destinasi utama untuk eksport.
Dengan memperoleh 17%, Jerman berada pada kedudukan ketiga dalam senarai destinasi pertumbuhan, sementara UK setelah pasca Brexit meningkat kepada kedudukan keempat (11%) yang mengatasi kedudukan India (8%). Kedudukan Jepun juga telah meningkat kepada keenam dalam destinasi pertumbuhan paling menarik, mengatasi Australia yang memegang kedudukan tersebut pada tahun lalu.
Pada tahun penganjuran COP26 ini, perubahan iklim masih belum ditangani dengan tindakan segera
Peratusan CEO yang menyatakan kebimbangan terhadap perubahan iklim telah meningkat daripada 24% pada tahun 2020 kepada 30% pada tahun 2021. Ini menunjukkan peningkatan yang kecil memandangkan COP26 akan dianjurkan pada tahun ini di Glasgow, UK. Penemuan ini juga timbul akibat peningkatan kebimbangan terhadap hampir kesemua jenis ancaman.
Perubahan iklim masih berada di tangga kesembilan yang merupakan antara ancaman yang dianggap oleh CEO memberi kesan kepada pertumbuhan. Seterusnya, 27% lagi CEO melaporkan “tidak peduli sama sekali” atau “tidak begitu peduli” terhadap perubahan iklim. Ini mungkin disebabkan perubahan iklim tidak dilihat sebagai ancaman langsung terhadap pertumbuhan berbanding isu-isu lain seperti pandemik, peraturan berlebihan dan ancaman siber.
Manakala 39% daripada CEO yang ditinjau percaya bahawa organisasi mereka perlu melakukan lebih banyak lagi untuk ‘mengukur’ kesan terhadap persekitaran mereka. Dan 43% percaya bahawa organisasi mereka perlu melakukan lebih banyak lagi untuk ‘melapor’ tentangnya, merupakan peratus yang lebih tinggi berbanding mana-mana kawasan pendedahan yang lain. Ini memberangsangkan kerana maklumat korporat yang lebih banyak dan lebih baik tentang kesan persekitaran merupakan kunci untuk mendorong kepada perubahan yang diperlukan bagi mencapai ekonomi sifar bersih.
Namun, 60% daripada CEO belum lagi memfaktorkan risiko iklim ke dalam aktiviti pengurusan risiko strategik mereka adalah merisaukan, kerana perubahan iklim menyebabkan peningkatan risiko fizikal dan peralihan untuk perniagaan. Di peringkat negara, CEO di negara-negara yang mempunyai pendedahan yang tinggi terhadap bencana alam seperti India dan China merupakan yang paling kurang bersedia terhadap risiko perubahan iklim.
Walaupun 23% daripada CEO merancang untuk meningkatkan pelaburan secara signifikan dalam inisiatif kelestarian akibat pandemik COVID-19, namun hampir sepertiga daripada CEO merancang untuk tidak melakukan sebarang perubahan sama sekali.
Bob Moritz berkata: “Untuk menangani cabaran terbesar yang dihadapi oleh dunia pada hari ini, kita perlu mengubah insentif yang mendorong pembuatan keputusan. Ini memerlukan pasaran kewangan untuk mengambil pandangan yang lebih meluas tentang nilai, melampaui pulangan kewangan dan nilai jangka pendek semata-mata, supaya modal akan mengalir ke tempat yang betul. Pelaporan korporat bukan kewangan yang lebih baik dan setanding turut menjadi perkara penting supaya pihak berkepentingan dapat melihat cara syarikat mewujudkan nilai untuk masyarakat dan planet kita serta memenuhi objektif kewangan mereka. Syarikat-syarikat yang melakukannya dengan betul akan meningkatkan jenama mereka dan membina kepercayaan pihak berkepentingan mereka.”
Kebimbangan tentang siber, dasar cukai dan kesalahan maklumat sedang meningkat
Adalah tidak mengejutkan apabila pandemik dan krisis kesihatan[1] menerajui senarai ancaman terhadap prospek pertumbuhan yang mengatasi kebimbangan terhadap peraturan berlebihan yang telah lama menjadi keutamaan di tempat pertama bagi CEO di seluruh dunia sejak tahun 2014 lagi.
Peningkatan pendigitan meningkatkan risiko yang ditimbulkan oleh ancaman siber. Perkara ini, ditambah dengan peningkatan yang signifikan dalam insiden keselamatan siber pada tahun 2020 termasuk serangan perisian tebusan, telah mengakibatkan ancaman siber melonjak kedudukannya dalam senarai menjadi kebimbangan di tempat kedua, yang dinyatakan oleh 47% CEO berbanding 33% pada tahun 2020. Ancaman siber menjadi kebimbangan terutamanya kepada CEO di Amerika Utara dan Eropah Barat, yang dianggap sebagai ancaman yang lebih besar berbanding pandemik tersebut.
Turut menyaksikan peningkatan dalam senarai kebimbangan CEO ialah penyebaran maklumat yang salah (28%, meningkat daripada 16% pada tahun 2020), yang telah memberi kesan terhadap pilihanraya, reputasi dan kesihatan awam – menyumbang dengan lebih lanjut kepada penurunan kepercayaan dalam masyarakat.
Pada tahun 2020, ketidakpastian dasar cukai tidak berada pada kedudukan sepuluh teratas yang menjadi kebimbangan CEO, hanya 19% daripada CEO yang bimbangkan hal tersebut. Pada tahun ini, ia telah meningkat dengan pantas dalam kepentingannya dan melompat ke tempat ketujuh (31%), dengan CEO sudah pastinya melihat hutang kerajaan terkumpul dan menyedari bahawa cukai perniagaan kemungkinan besar akan meningkat.
Pelaburan digital untuk masa depan
Apabila ditanyakan tentang perbelanjaan mereka terhadap transformasi digital, hampir separuh daripada CEO (49%) menyatakan terdapat peningkatan dalam projek sebanyak 10% atau lebih. Walaupun tahap kebimbangan yang semakin meningkat yang diutarakan oleh CEO tentang serangan siber, namun perkara ini tidak dilaksanakan kepada tindakan yang muktamad. Kurang daripada separuh CEO yang merancang untuk meningkatkan pelaburan digital turut merancang untuk meningkatkan perbelanjaan mereka terhadap keselamatan siber dan privasi data sebanyak 10% atau lebih.
Pada masa yang sama, terdapat peningkatan pada jumlah CEO – 36% – merancang untuk memanfaatkan automasi dan teknologi bagi menjadikan tenaga kerja mereka lebih kompetitif, menyaksikan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding jumlah CEO yang menyatakan perkara yang sama pada tahun 2016.
Bob Moritz menambah: “Setelah setahun berlakunya pandemik ini, kita berada pada titik perubahan ketika vaksinasi mula meningkat di seluruh dunia. Walaupun bentuk pemulihan masih belum diketahui, adalah jelas bahawa kita tidak boleh kembali kepada keadaan sebelumnya. Untuk mencapai perubahan yang diperlukan, CEO perlu berfikir secara berbeza dan sentiasa menilai keputusan dan tindakan mereka terhadap impak masyarakat yang lebih luas. Dengan berbuat demikian, mereka akan menetapkan suatu laluan yang membina kepercayaan dan memberi hasil yang berterusan kepada pemegang saham, masyarakat dan planet kita.”
Nota:
Muat turun laporan di ceosurvey.pwc.
PwC telah melakukan tinjauan terhadap 5,050 orang CEO daripada 100 buah negara dan wilayah pada bulan Januari dan Februari 2021 yang lalu. Ini merupakan peningkatan daripada sejumlah 3,501 orang responden dalam tinjauan yang dijalankan pada tahun lepas. Angka-angka global dan serantau dalam laporan ini adalah berdasarkan subsampel daripada 1,779 orang CEO, bersekadar dengan KDNK nominal negara untuk memastikan bahawa pandangan CEO mewakili semua rantau utama. Maklumat lanjut berdasarkan rantau, negara dan industri boleh didapati atas permintaan.
Daripada 1,779 orang CEO yang jawapannya digunakan untuk angka-angka global dan serantau ini:
- 6% daripada organisasi mereka mempunyai pendapatan sebanyak AS$25 bilion atau lebih
- 9% daripada organisasi mereka mempunyai pendapatan antara AS$10 bilion hingga AS$25 bilion.
- 35% daripada organisasi mereka mempunyai pendapatan antara AS$1 bilion hingga AS$10 bilion.
- 34% daripada organisasi mereka mempunyai pendapatan antara AS$100 juta hingga AS$1 bilion.
- 14% daripada organisasi mereka mempunyai pendapatan hingga AS$100 juta.
- 60% daripada organisasi mereka adalah milik persendirian.
Kami juga menjalankan wawancara secara mendalam dan bersemuka dengan CEO daripada enam rantau. Beberapa wawancara ini disebut dalam laporan ini dan transkrip yang lebih lengkap boleh didapati di laman web kami di https://www.strategy-business.com/inside-the-mind-of-the-ceo.
Tentang PwC
Di PwC, kami beriltizam untuk membina kepercayaan masyarakat dan menyelesaikan masalah-masalah penting. Kami merupakan sebuah rangkaian firma di 155 buah negara dengan lebih 284,000 kakitangan yang komited untuk memberi perkhidmatan jaminan, nasihat dan percukaian yang berkualiti. Ketahui lebih lanjut dan beritahu kami hal yang penting bagi anda dengan melayari kami di www.pwc.com.
PwC merujuk kepada rangkaian PwC dan/atau satu atau lebih ahli firmanya, masing-masing merupakan entiti berasingan dari sudut undang-undang. Sila layari www.pwc.com/structure untuk maklumat lanjut.
© 2021 PwC. Hak Cipta Terpelihara.
[1] Kategori risiko baharu pada tahun ini: kali terakhir dimasukkan ke dalam tinjauan tersebut adalah pada tahun 2015
Ikuti/retweet: @pwc
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics High Tech Security Publishing/Information Service Economic news, trends, analysis
Source: PRNEWSWIRE