
Seperti yang diketahui Setel merupakan aplikasi pembayaran minyak mudah alih pertama di Malaysia kini boleh digunakan di semua Petronas di Lembah Klang. Bukan itu sahaja, mereka juga turut mengumumkan ciri terbaharu bagi aplikasi ini iaitu Refer A Friend yang akan memberikan ganjaran kepada pengguna sekiranya mereka menghebahkan kepada teman-teman.
Sekiranya pengguna baharu menggunakan kod rujukan unik dan melakukan transaksi minima RM30 ketika membeli minyak, perujuk yang merupakan pemilik kod rujukan unik tersebut bakal menerima kredit untuk minyak. RM5 dan RM6 bakal diberikan kepada perujuk pertama dan kedua. Perujuk yang ketiga pula bakal menerima RM7. Pengguna yang dirujuk juga bakal menerima RM5.
Aplikasi ini yang telah dilancarkan pada julai tahun lepas merupakan antara langkah yang dilaksanakan oleh Petronas Dagangan Berhad (PDB) dalam melibatkan komuniti dalam menghasilkan ciptaan inovatif bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dengan memudahkan proses pembayaran dan ganjaran kesetiaan kepada pelanggan menerusi 1 aplikasi.
Pelanggan yang menggunakan aplikasi ini boleh mengelakkan bayaran pendahuluan RM200 yang ditanggung semasa menggunakan kad kredit atau debit menerusi penggunaan ciri e-dompet. Menerusinya, semua urus niaga akan direkodkan dan bagi memberikan gambaran keseluruhan perbelanjaan pengguna.
Seperti yang diketahui, aplikasi ini disepadukan dengan program kesetiaan Petronas Mesra yang mana pengguna tidak perlu meleretkan kad mesra untuk mendapatkan mata ganjaran. Ia boleh dimuat turun secara percuma di IOS dan android menerusi Apple App Store dan Google Play Store.