Reviu Eksklusif: Ciri² Menarik ASUS ZenFone 4 Max Pro

HARGA: RM 1,099 (kini RM 699)

ASUS ZenFone 4 Max Pro sememangnya boleh dikatakan satu penambahbaikan yang sangat baik jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Malah ia boleh dikatakan menawarkan sokongan spesifikasi yang agak baik bagi memenuhi keperluan asas pengguna serta mengikuti trend pasaran semasa.

Ini dapat dilihat melalui sokongan skrin yang besar, kamera dwi lensa, lampu cahaya lembut untuk lensa depan dan juga menyokong kapasiti bateri yang sangat besar mencecah sehingga 5000mAh. Tidak keterlaluan jika kami mengatakan bahawa ia merupakan antara peranti serba lengkap yang paling berbaloi untuk dimiliki pada segmen harga jualan yang setara dengannya…

 

SPESIFIKASI

PLATFORM
  • OS: Android 7.1.1 Nougat
  • UI: ASUS ZenUI 4.0
SLOT KAD
  • Slot 1: nanoSIM
  • Slot 2: nanoSIM
  • Slot 3: microSD
PEMPROSES
  • Cipset: Qualcomm MSM8937 Snapdragon 430
  • CPU: Octa-core 1.4GHz Cortex-A53
  • GPU: Adreno 505MHz @ 450MHz
  • Semikonduktor: 28nm LP
MEMORI
  • ROM: 32GB (eMCP)
  • RAM: 3GB (LPDDR3)
  • microSD: sehingga 256GB
PAPARAN
  • Saiz skrin: 5.5 inci IPS LCD
  • Resolusi: 720 x 1280 piksel (~267ppi)
  • Mod paparan: Bluelight Filter for Eye Care, 120° sudut paparan luas
DIMENSI
  • Ukuran: 154 x 76.9 x 8.9mm
  • Berat: 181g
KAMERA UTAMA
  • Resolusi: 16 Megapiksel (25mm) + 5 Megapiksel (18mm)
  • Sensor lensa: OmniVision OV16880 + OmniVision OV5675
  • Saiz piksel: 1.12 μm + 1.12 μm
  • Aperture: f/2.0 + f/2.2
  • Fokus: PDAF
  • Flash: Single LED Flash
  • Penstabilan: Electronic Image Stabilization (EIS)
  • Mod kamera: Auto, Beauty, Pro, Super Resolution, GIF Animation, Panorama, Time Lapse
KAMERA DEPAN
  • Resolusi: 16 Megapiksel
  • Sensor lensa: OmniVision OV16880
  • Saiz piksel: 1.0 μm
  • Aperture: f/2.0
  • Flash: Single LED Flash
SAMBUNGAN
  • WiFi: 802.11 b/g/n
  • Bluetooth: v4.1
  • USB: microUSB 2.0
  • Inframerah: X
  • NFC: X
  • Penglokasian: GPS, A-GPS, GLONASS, BeiDou
BATERI
  • Kapasiti: 5000mAh
  • Teknologi: Quick Charge 1.0, Reverse Charging (1A)
  • Output: 5V2A (10 W)
SENSOR
  • Proximity
  • Ambient light
  • Gyroscope
  • Accelerometer
  • E-Compass
  • Pengimbas cap jari

 

PAKEJ PEMBELIAN

 

PERBEZAAN SPESIFIKASI DUA GENERASI

Setiap kali model terbaru diperkenalkan, kebanyakan pembaca di luar sana sudah tentunya akan membandingkan spesifikasi model terbaru dengan generasi sebelumnya. Jadi bagi memudahkan anda untuk melihat sendiri perbezaannya, kami sediakan jaduak spesifikasi antara ASUS ZenFone 4 Max Pro (ZC554KL) dengan ASUS ZenFone 3 Max (ZC553KL).

 

REKA BENTUK

Lensa Depan

Perkara pertama yang dapat dilihat pada ZenFone 4 Max Pro adalah kedudukan lubang earpiece tidak terletak di tengah-tengah bezel, tetapi ia sedikit ke atas.

Berbeza dengan sebelum ini, sebelah kanan telah menempatkan lensa depan dengan resolusi 2x ganda berbanding generasi sebelumnya serta sebuah LED Flash. Manakala sebelah kirinya pula boleh ditemui sensor dan juga lampu LED notifikasi.

 

Butang Kawalan

Rekaan butang kawalan jenis sentuhan kapasitif pada ZenFone 3 Max kini telah diperbaharui rekaannya pada ZenFone 4 Max Pro dengan sokongan butang Home yang juga turut menempatkan sensor pengimbas cap jari.

Ini berbeza dengan generasi sebelumnya yang menempatkan sensor pengimbas cap jari pada bahagian panel belakang. Bahkan sama seperti ZenFone 3 Max, butang Back dan Recent Apps tidak memiliki nyalaan lampu LED.

 

Paparan Skrin

Walaupun memiliki saiz skrin yang sama seperti generasi sebelumnya iaitu berukuran 5.5 inci, agak mengecewakan kerana ZenFone 4 Max Pro hanya menyokong paparan beresolusi 1280 x 720 piksel sahaja. Ini bermakna ia hanya menyokong kepadatan piksel setakat 267ppi sahaja jika dibandingkan dengan ZenFone 3 Max yang mencecah sehingga 401ppi.

Pada pendapat kami, paparan 720p pada masa kini adalah kurang relevan kerana kebanyakan peranti telahpun dilengkapi dengan paparan HD Penuh 1080p.

 

Tiga Slot Kad

Anda tidak begitu menggemari peranti dengan sokongan slot kad hibrid?! Kini dengan ZenFone 4 Max Pro, ia dilengkapi dengan tiga slot kad berasingan dan ini membolehkan anda menggunakan dua kad nanoSIM serta satu kad microSD secara serentak.

Ini merupakan penambahbaikan yang positif berbanding penggunaan slot kad hibrid pada ZenFone 3 Max sebelum ini. Untuk mengakses slot kad ini, anda perlu menggunakan pin slot yang tersedia dalam pakej pembelian.

 

Speaker & Port USB

Sama seperti ZenFone 3 Max, ZenFone 4 Max Pro masih mengekalkan penggunaan port microUSB. Namun begitu, rekaan bahagian bawah kerangka ZenFone 4 Max Pro kini kelihatan lebih simetri kerana lubang speaker berkualiti mono (kanan) dan juga lubang mikrofon (kiri) tampil dengan rekaan yang sama.

Jika dibandingkan rekaan gril antara kedua-dua generasi ini, editor merasakan penampilan ZenFone 4 Max Pro adalah lebih menarik.

 

Kamera Utama

Penambahbaikan paling ketara dapat dilihat pada ZenFone 4 Max Pro berbanding generasi sebelum ini adalah sokongan dwi lensa yang menjadi trend kebanyakan pengeluar pada masa kini.

Lensa utama yang beresolusi 16 Megapiksel menyokong mod rakaman dengan sudut normal, manakala lensa kedua beresolusi 5 Megapiksel pula membolehkan anda untuk mengakses mod rakaman bersudut luas sehingga 120˚. Selain itu, ia hanya dilengkapi dengan satu LED Flash dan tiada lagi teknologi fokus laser seperti yang ditawarkan pada ZenFone 3 Max.

 

ANTARAMUKA ZENUI 4.0

Antaramuka ASUS ZenUI 4.0

ASUS ZenFone 4 Max Pro yang dioperasikan dengan Android 7.1.1 Nougat ini telah menggunakan antaramuka terbaru yang diperkenalkan oleh ASUS iaitu ZenUI 4.0.

Antaramuka ASUS ZenUI 4.0

Jika sebelum ini ramai di antara pengguna kurang menggemari antaramuka ZenUI kerana ia sering didatangkan dengan aplikasi pra-pasang yang tidak diperlukan (bloatware), tetapi ZenUI 4.0 kini tampil dengan paparan antaramuka yang lebih mirip seperti antaramuka Android yang asal tanpa lambakan aplikasi pra-pasang.

 

 

 

4 CIRI-CIRI MENARIK ASUS ZENFONE 4 MAX PRO

#1. Bateri 5000mAh

Sebagaimana yang anda sedia maklum, ciri-ciri paling utama yang diketengahkan pada model ASUS ZenFone 4 Max Pro ini adalah sokongan bateri dengan kapasiti yang sangat besar. Jika generasi sebelum ini hanya menyokong bateri berkapasiti 4100mAh, ZenFone 4 Max Pro kini menerima penambahan kapasiti bateri sebanyak 900mAh berbanding ZenFone 3 Max kepada 5000mAh.

Tidak cukup dengan itu, ASUS turut menawarkan aplikasi pra-pasang eksklusif yang dikenali sebagai PowerMaster bagi memudahkan pengguna untuk menentukan sendiri tahap penjimatan bateri berdasarkan pelbagai menu yang disediakan seperti pilihan penjimatan bateri, mod bateri dan banyak lagi.

 

#2. Dwi kamera

Trend kamera utama dwi lensa juga turut diperkenalkan pada ZenFone 4 Max Pro dengan penyediaan lensa pertama beresolusi 16 Megapiksel dengan aperture f/2.0 untuk hasil gambar yang lebih terang dan jelas.

Manakala lensa kedua pula beresolusi 5 Megapiksel ini membolehkan anda mengambil gambar dengan sudut yang lebih luas mencecah sehingga 120°, sesuai untuk mengambil gambar pemandangan mahupun gambar berkumpulan terutamanya di dalam ruang yang agak terhad.

 

#3. Swafoto dengan LED Flash

Walaupun siri ‘ZenFone Max’ lebih menjurus kepada aspek sokongan kapasiti bateri yang besar, ASUS sebenarnya tidak mengabaikan populariti trend swafoto pada ZenFone 4 Max Pro.

Ini dapat dilihat melalui sokongan lensa depan beresolusi 16 Megapiksel dengan aperture f/2.0, dan apa yang lebih menariknya ia turut disediakan dengan Softlight LED Flash bagi memastikan kualiti swafoto yang terbaik dalam persekitaran gelap.

 

#4. Teknologi ‘Reverse Charging’

Apa yang membuatkan siri ‘ZenFone Max’ lebih istimewa berbanding siri lain adalah sokongan teknologi ‘Reverse Charging’. Ini bermaksud dengan kapasiti bateri yang sangat besar mencecah sehingga 5000mAh, anda mampu menggunakan ZenFone 4 Max Pro ini untuk mengecas peranti lain.

Bagi memudahkan anda memahaminya, ASUS ZenFone 4 Max Pro sebenarnya mampu dijadikan sebagai Power Bank apabila anda memerlukannya. Proses ini boleh dilaksanakan dengan bantuan adapter USB OTG yang ada disediakan dalam pakej pembelian ZenFone 4 Max Pro.

 

ZON UJIAN

Bagi melihat sendiri keupayaan dan prestasi ASUS ZenFone 4 Max Pro, kami telah memilih dua model yang dijual dalam kategori harga yang setanding iaitu Honor 6X dan juga Nokia 6.

Beberapa jenis ujian berbeza akan dijalankan seperti ujian benchmark, kepantasan pengambilan gambar, kekuatan audio dan juga bateri.

UJIAN 1 : PRESTASI BENCHMARK

Ulasan: ASUS ZenFone 4 Max Pro dan juga Nokia 6 menyokong pemproses yang setanding iaitu Qualcomm Snapdragon 430, dan disebabkan oleh itulah ia menyokong prestasi yang hampir sama sahaja. Namun begitu, ternyata sokongan pemproses HiSilikon Kirin 655 pada Honor 6X dilihat lebih berkuasa apabila ia mendominasi hampir keseluruhan ujian benchmark yang dijalankan.

UJIAN 2 : KEPANTASAN KAMERA

Ulasan: Berdasarkan kepada jadual ujian kepantasan kamera berikut, jelas dapat dilihat bahawa pengambilan gambar menggunakan ASUS ZenFone 4 Max Pro agak perlahan jika dibandingkan dengan Honor 6X dan juga Nokia 6. Apa yang agak mengecewakan adalah masa yang diambil untuk menangkap gambar menggunakan mod HDR yang terlalu lama iaitu mencecah sehingga 6 saat untuk diproses.

 

UJIAN 3 : SPEAKER

Ulasan: Antara ketiga-tiga model ini, hanya model Nokia 6 sahaja yang hadir dengan sokongan dua speaker berkualiti stereo. Manakala ASUS ZenFone 4 Max Pro dan Honor 6X hanya menyokong satu speaker berkualiti mono. Berdasarkan kepada ujian yang dibuat, kualiti bunyi apabila menggunakan headphone pada ASUS ZenFone 4 Max Pro adalah agak rendah berbanding pesaingnya, tetapi kekuatan speakernya pula jauh lebih baik berbanding Nokia 6 yang menyokong speaker berkualiti stereo.

 

UJIAN 4 : PENGECASAN BATERI

Ulasan: Walaupun hadir dengan kapasiti bateri yang lebih besar, ZenFone 4 Max Pro masih menyokong adapter pengecas dengan output 5V2A sama seperti generasi sebelumnya. Berdasarkan ujian mengecas penuh yang dijalankan, masa mengecas yang diambil boleh dikatakan jauh lebih pantas jika dibandingkan dengan masa mengecas yang diambil oleh Honor 6X dan Nokia 6 yang menyokong kapasiti bateri yang jauh lebih kecil.

 

 

HASIL GAMBAR

Makro

Outdoor

Low Light

 

KOMEN…

Pro
  • Penambahbaikan spesifikasi yang boleh dianggap jauh lebih baik dan lebih menyeluruh jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya.
  • Sokongan kapasiti bateri sebesar 5000mAh menjanjikan ketahanan bateri yang sangat baik dan sesuai untuk pengguna aktif.
  • Sokongan dwi kamera utama dengan kamera depan beresolusi 16 Megapiksel yang dilengkapi dengan Softlight LED Flash menjanjikan kualiti penggambaran yang lebih baik dan unik.
  • Boleh digunakan sebagai Power Bank untuk mengecas peranti lain dengan sangat mudah dan pantas.

 

Kontra
  • Paparan skrin beresolusi 720p atau 1280 x 720 piksel sememangnya agak mengecewakan kerana paparan imej pada skrin kelihatan kurang tajam, dan ia kurang sesuai untuk permainan dengan grafik HD.
  • Masa yang diambil untuk mengecas bateri berkapasiti 5000mAh menggunakan adapter pengecas dengan output 5V2A agak perlahan.
  • Walaupun menyokong dwi lensa, anda tidak boleh bertukar dari lensa biasa ke lensa sudut luas ketika membuat rakaman video.
  • Sokongan pemproses Qualcomm Snapdragon 430 hanya menawarkan prestasi yang sederhana sahaja.

 

 

You might also like