
HARGA: RM 2,299
Sokongan paparan skrin yang besar bukanlah sesuatu yang baru untuk peranti keluaran Samsung, tetapi kemunculan siri terbaru iaitu Samsung Galaxy C9 Pro yang menyokong skrin sebesar 6.0 inci ini nampaknya telah memperlihatkan beberapa penambahbaikan pada sokongan spesifikasinya berbanding model keluaran Samsung yang lain.
Ini jelas dapat dilihat melalui sokongan memori dalaman 64GB, kapasiti RAM mencecah 6GB, speaker stereo dan juga lensa kamera depan beresolusi 16 Megapiksel. Jadi sekiranya anda sedang mencari peranti dengan sokongan paparan skrin yang besar, ternyata Samsung Galaxy C9 Pro merupakan salah satu model yang patut dipertimbangkan…
SPESIFIKASI
PILIHAN WARNA

4 SEBAB MENGAPA PERLU MEMILIHNYA?!
#1. Peranti Samsung Pertama Sokong RAM 6GB
Sokongan pemproses Qualcomm Snapdragon 653 dengan keupayaan 64-bit serta kapasiti RAM yang sangat besar mampu memastikan Galaxy C9 Pro untuk mengoperasikan beberapa aplikasi secara serentak dengan lebih lancar. Apa yang lebih istimewa, Galaxy C9 Pro merupakan peranti pertama daripada Samsung yang menyokong RAM berkapasiti 6GB dan sekaligus menjadikannya antara beberapa model smartphone di pasaran yang menyokong RAM terbesar seperti OnePlus 3/3T, OPPO R9s Plus dan ASUS ZenFone 3 Deluxe (ZS570KL).
#2. Skrin 6 Inci Super AMOLED
Saiz paparan skrin yang besar dengan sokongan resolusi HD Penuh bukanlah sesuatu yang baru kerana banyak pengeluar yang tampil dengan spesifikasi sebegitu, dan ini termasuklah model Sony Xperia XA Ultra, Huawei Mate 9 dan juga OPPO R9s Plus. Namun begitu, apa yang membezakan Galaxy C9 Pro dengan model lain di pasaran adalah paparan Super AMOLED yang menjanjikan kejituan warna yang sangat menonjol serta kontras yang optimum. Selain itu, kelebihan Super AMOLED turut menyokong fungsi paparan ‘Always-on Display’.
#3. Bateri 4000mAh dengan Pengecas Pantas
Apabila sebut sahaja tentang saiz skrin yang besar, sokongan bateri berkapasiti besar adalah merupakan salah satu keperluan utama bagi menjanjikan hayat bateri yang lebih baik. Oleh itu, Galaxy C9 Pro telah menampilkan sokongan bateri berkapasiti 4000mAh yang mampu memastikan masa penggunaan yang sangat baik. Bahkan proses mengecas juga terasa lebih cepat dengan adanya teknologi Adaptive Fast Charging yang menyokong output 9V1.67A atau 5V2A.
#4. Speaker Stereo
Paparan skrin yang besar sudah tentunya amat praktikal untuk anda yang mementingkan aspek multimedia seperti memain permainan mudah alih ataupun menonton klip video di YouTube. Jadi sokongan speaker stereo pada Galaxy C9 Pro sememangnya menjadi salah satu sebab mengapa anda perlu memilihnya. Kedudukan speaker stereo Galaxy C9 Pro tampil sama seperti yang dimiliki oleh iPhone 7 / 7 Plus, Huawei Mate 9 dan juga Huawei P9 Plus, iaitu satu speaker di bahagian bawah kerangka dan satu lagi di lubang earpiece.
#5. Kamera Utama & Depan 16 Megapiksel
Mengambil gambar menggunakan kamera smartphone bukan sahaja merupakan satu trend, tetapi ia juga boleh dilihat telah menggantikan penggunaan kamera kompak. Sebagaimana kamera utama, sokongan kamera depan yang berkualiti juga menjadi kriteria penting terutamanya bagi penggemar swafoto. Galaxy C9 Pro sememangnya tidak mengecewakan kerana ia menampilkan dua buah lensa beresolusi 16 Megapiksel untuk kamera utama dan juga kamera depannya.
PAKEJ PEMBELIAN
① Adapter pengecas 9V1.67A / 5V2A
② Earphone
③ Kabel USB Type-C
④ Penyambung microUSB ke USB Type-C
⑤ Pin slot
⑥ Buku manual
REKA BENTUK
Earpiece + Speaker
Sebagaimana smartphone yang lain, bahagian atas paparan skrin telah menempatkan lubang earpiece, lensa depan beresolusi 16 Megapiksel dan juga dua buah sensor iaitu proximity serta ambient light. Apa yang lebih menariknya, lubang earpiece ini juga turut berfungsi sebagai salah satu daripada speaker stereo.
Butang Home + Pengimbas Cap Jari
Ruang bezel di bahagian bawah paparan skrin Galaxy C9 Pro pula telah menempatkan satu butang kawalan fizikal iaitu butang Home dan dua butang sentuhan iaitu butang Recent Apps serta butang Back dengan nyalaan LED berwarna putih. Seperti biasa, butang Home ini juga turut dilengkapi dengan fungsi pengimbas cap jari.
Bezel Nipis
Walaupun tampil dengan paparan skrin Super AMOLED 1080p sebesar 6.0 inci, Galaxy C9 Pro masih mampu memberikan rasa pegangan yang agak baik kerana saiz bezel sisinya yang agak nipis. Malah kehadiran bingkai hitam di sekeliling paparan skrin juga tidak begitu ketara sekaligus memberikan paparan yang lebih baik dan optimum.
Lensa Utama
Dengan ketebalan kerangka hanya 6.9mm sahaja, lensa utama beresolusi 16 Megapiksel yang disokong oleh Galaxy C9 Pro kelihatan sedikit timbul dari permukaan panel belakangnya. Di sebelah kirinya boleh ditemui dua buah LED Flash dalam dua warna berbeza bagi mendapatkan tona warna lebih asli.
Jalur Antena
Berbeza dengan rekaan jalur antena yang digunapakai pada peranti keluaran HTC dan juga Apple, Samsung telah menampilkan rekaan jalur antena yang kelihatan lebih menarik. Namun sama ada kebetulan ataupun tidak, rekaan tiga jalur antena yang dimiliki oleh Galaxy C9 Pro ini sebenarnya kelihatan agak sama rekaannya dengan model OPPO R9s Plus.
Port Audio & USB
Bahagian atas kerangka Galaxy C9 Pro hanya dilengkapi dengan satu sahaja lubang mikrofon. Manakala bahagian bawahnya pula telah dioptimumkan ruang yang ada dengan penyediaan port 3.5mm audio jack, port USB Type-C, lubang mikrofon dan juga satu lagi speaker stereo.
Sisi Kerangka
Sisi kiri hanya menempatkan butang kawalan suara, manakala sisi kanannya pula dilengkapi dengan butang kuasa, slot kad microSD dengan sokongan kapasiti maksimum sehingga 256GB, dan satu lagi slot kad yang membolehkan anda untuk memasukkan dua kad nanoSIM secara serentak.
TOUCHWIZ GRACE UX
Samsung Galaxy C9 Pro telah menerima sentuhan antaramuka terbaru daripada Samsung iaitu TouchWiz Grace UX, sama seperti yang pernah diperkenalkan pada Samsung Galaxy Note7 dan juga versi kemas kini Android 7.0 Nougat pada model Samsung Galaxy S7 dan juga S7 Edge. Sebagai rujukan pembaca, kami akan berkongsi antaramuka versi terbaru TouchWiz ini seperti berikut:


Aplikasi Menarik!
Samsung Notes
Info: Aplikasi Samsung Notes merupakan aplikasi lengkap yang membolehkan anda untuk mengambil nota teks ataupun nota bergambar, membuat lakaran, rakaman suara dan juga senarai semak yang lengkap dengan fungsi lengkap.
Smart Tutor
Info: Sekiranya anda berhadapan dengan sebarang masalah teknikal dengan peranti ini, anda boleh terus menghubungkan peranti milik anda terus ke pakar teknikal bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
MySamsung
Info: Terdapat tiga fungsi utama disokong oleh aplikasi ini iaitu Manage untuk pendaftaran waranti peranti serta mempelajari tip dan trik peranti, Rewards pula memaparkan promosi serta tawaran terbaru dari Samsung, dan juga Support untuk mendapatkan lokasi pusat servis terdekat.
Secure Folder
Info: Tiga fungsi utama disediakan oleh aplikasi ini iaitu perlindungan data dengan menyimpan gambar, memo dan aplikasi di dalam folder berkunci, mengunci aplikasi dan juga menggunakan dua aplikasi yang sama secara berasingan.
ZON UJIAN
Apabila anda membuat keputusan untuk memiliki sebuah smartphone baru, perkara utama yang sering anda akan lakukan adalah membezakan model tersebut dengan beberapa model lain yang terdapat di pasaran.
Jadi sekiranya anda telah menetapkan kriteria spesifik iaitu ingin memiliki sebuah smartphone dengan sokongan paparan skrin besar iaitu antara 5.9 hingga 6.4 inci, kami akan membandingkan Samsung Galaxy C9 Pro dengan tiga model yang dijual pada harga berbeza, bagi membantu anda untuk menilai sendiri sama ada Samsung Galaxy C9 Pro yang berharga RM2,299 ini adalah berbaloi jika dibandingkan dengan smartphone yang dijual pada harga lebih mahal atau lebih murah darinya…
UJIAN 1: PRESTASI
UJIAN 2 : SPEAKER
Fungsi mod speaker stereo boleh ditutup
Seperti yang anda ketahui, tidak banyak peranti keluaran Samsung yang menampilkan sokongan speaker berkualiti stereo dan ini merupakan salah satu keistimewaan Galaxy C9 Pro. Namun begitu agak mengecewakan kerana sama seperti HTC 10, kekuatan speaker pada lubang earpiece Galaxy C9 Pro yang berfungsi sebagai tweeter adalah sangat perlahan jika dibandingkan dengan kekuatan speaker di bahagian bawah kerangkanya yang berfungsi sebagai woofer. Malah sokongan speaker stereo pada Galaxy C9 Pro juga tidak menyokong fungsi auto-rotate yang mana memerlukan anda memegangnya pada orientasi melintang yang betul bagi memastikan saluran bunyi kiri dan kanan adalah betul.
Malah fungsi mod speaker stereo pada Galaxy C9 Pro juga boleh dimatikan dan hanya speaker di bahagian bawah kerangka sahaja yang akan menghasilkan bunyi sekiranya fungsi ini ditutup. Untuk pengetahuan anda juga, fungsi speaker stereo ini juga hanya akan diaktifkan apabila anda mendengar muzik, menonton video dan juga ketika memainkan permainan mudah alih sahaja.
UJIAN 3 : BATERI
-
Masa mengecas bateri 10% hingga 100%
Proses mengecas dimulakan pada jam 2.45 petang ketika bateri berbaki 10%.
Selepas 30 minit (3.15 petang), peratusan bateri telah mencatatkan 47% iaitu pertambahan sebanyak 37%.
Selepas 1 jam dicas (3.45 petang), peratusan bateri telah mencatatkan 83% iaitu pertambahan sebanyak 36%.
Bateri berjaya dicas sepenuhnya ke 100% selepas 88 minit (1 jam 28 minit).
-
Ketahanan bateri berdasarkan maklumat rasmi daripada Samsung:
- Masa berbual (3G WCDMA): sehingga 18 jam
- Masa melayari Internet (3G): sehingga 14 jam
- Masa melayari Internet (LTE): sehingga 16 jam
- Masa melayari Internet (WiFi): sehingga 17 jam
- Masa menonton video: sehingga 18 jam
- Masa mendengar muzik: sehingga 55 jam
- Masa mendengar muzik (Always-on Display Off): sehingga 82 jam
HASIL GAMBAR



KOMEN
PRO
- Walaupun tampil dengan sokongan paparan skrin sebesar 6.0 inci, saiz kerangkanya tidaklah terlalu besar dan lebih menariknya ia memiliki kerangka yang agak nipis iaitu hanya 6.9mm sahaja.
- Tidak menyokong slot kad jenis hibrid dan ini bermakna anda masih boleh menggunakan dua kad SIM dan juga kad microSD secara serentak.
- Sangat sesuai untuk penggemar swafoto kerana ia menyokong kamera depan beresolusi 16 Megapiksel dengan penyediaan mod beauty serta swafoto luas.
- Bateri berkapasiti 4000mAh bukan sahaja menjanjikan ketahanan bateri yang sangat baik, bahkan masa mengecas juga terasa sangat pantas dengan sokongan teknologi Adaptive Fast Charging yang menyokong output 9V1.67A / 5V2A.
KONTRA
- Kualiti kamera Galaxy C9 Pro boleh dianggap baik tetapi agak mengecewakan kerana ia tidak dilengkapi dengan teknologi penstabilan imej OIS dan tiada mod rakaman video 4K atau pilihan 60fps.
- Kualiti speaker stereo tidak begitu memuaskan dan tidak setanding dengan kualiti bunyi yang dihasilkan oleh peranti dengan sokongan speaker stereo yang lain.
- Masih lagi dioperasikan dengan Android 6.0.1 Marshmallow dan bukannya versi terbaru iaitu Android 7.0 Nougat.
- Harga jualannya boleh dianggap agak mahal jika dibandingkan dengan sesetengah model yang menyokong spesifikasi keseluruhan yang lebih baik pada harga yang lebih rendah.