CES 2020: ASUS Umumkan Desktop Gaming ROG Strix GA15 & GT15 – Prestasi Luar Biasa Khas Kaki Gamer

818

Dalam acara CES 2020, ASUS bukan sahaja memaparkan komputer riba gaming kepada umum bahkan desktop gaming baharu turut diperkenalkan. ASUS ROG Strix GA15 dan GT15 merupakan desktop gaming yang lebih sesuai untuk aktiviti e-Sport, dengan sokongan cip pemproses generasi terkini yang lebih padu.

Bagi memastikan prestasi permainan pada resolusi tinggi serta kadar penyegaran yang lebih laju, Strix GA15 dan GT15 boleh didapati dengan kad grafik yang berkuasa tinggi sehingga NVIDIA® GeForce RTX™ 2070 SUPER.

Selain prestasi grafik, GA15 dan GT15 juga menggunakan CPU terbaru iaitu AMD Ryzen® Generasi ke-3 dan pemproses akan datang iaitu Intel® Core™ Generasi ke-10. Strix GA15 boleh didapati pada CPU AMD Ryzen® 7 3800X, bersama 32GB DDR4-3200MHz RAM dan storan SSD M.2 NVM Express sehingga 1TB (boleh didapati dengan 2TB storan mekanikal).

Strix GA15 dan GT15 turut hadir dengan sistem penyejukan yang sangat cekap di mana ruangan komponen telah diasingkan untuk mengurangkan gangguan haba, seperti CPU, GPU dan motherboard diletakkan di ruang utama, sementara ruang penyimpanan dan bekalan kuasa berada di bawah zon penyejukan.

Rekaan dua ruang ini bertujuan menyejukkan komponen paling panas, dengan peredaran udara yang lebih luas ke dalam kerangka dalam membantu menghasilkan tahap bunyi senyap di bawah 35 dB. Harga jualan masih tidak disebutkan lagi, namun mengikut kebiasaan ASUS mungkin akan dibawa masuk tidak lama lagi.