BigPay Luaskan Perkhidmatan Kiriman Wang Dengan Penambahan 3 Koridor Pemindahan Antarabangsa – India, Nepal & Bangladesh

338

BigPay kini telah memperluaskan perkhidmatan kiriman wang dengan penambahan 3 koridor pemindahan antarabangsa – iaitu India, Nepal dan Bangladesh. Ketiga-tiga negara ini mencatatkan bilangan pekerja asing tertinggi di Malaysia selepas Indonesia dan merekodkan jumlah kiriman wang ke luar negara yang tertinggi.

Syarikat teknologi kewangan yang bertumpukan ASEAN ini berazam untuk mendemokrasikan perkhidmatan kewangan serantau. Penawaran perkhidmatan pemindahan wang dengan kos yang rendah serta boleh diakses oleh semua menjadi tunjang kepada hala tuju BigPay.

BigPay melancarkan perkhidmatan kiriman wang antarabangsa pada September 2019 – membolehkan pengguna menghantar wang secara terus dari Malaysia ke akaun bank di Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina tanpa bayaran tersembunyi atau caj tambahan.

Kurang daripada empat bulan kemudian, BigPay telah memproses jutaan dolar dalam pemindahan antarabangsa. Dengan kadar pertukaran yang kompetitif, BigPay memanfaatkan penggunaan teknologi bagi mengurangkan kos secara berkesan dan memudahkan penghantaran wang ke luar negara untuk penggunanya.

BigPay akan terus mengembangkan perkhidmatannya ke lebih banyak lagi negara bagi memudahkan penggunanya mengirim wang. Pada masa sama akan berusaha untuk memperkenalkan perkhidmatan pengambilan tunai di beberapa pasaran terpilih. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila kunjungi laman rasmi BigPay.