**********

Kemunculan Xiaomi Mi 9T ke pasaran tempatan nampaknya mendapat perhatian dan diterima ramai pengguna. Peranti ini merupakan antara model yang patut anda beri perhatian. Kenapa? Sebabnya, ia bukan sahaja dijual pada harga mampu milik bahkan turut disertakan penawaran menarik yang tidak mengecewakan. Reviu ini bakal berbicara mengenai lima aspek termasuk fizikal, prestasi, bateri, keselamatan dan kamera.

 

SPESIFIKASI RINGKAS :

  • MIUI 10 + Android 9 Pie
  • Paparan 6.39″ AMOLED FHD+
  • Qualcomm Snapdragon 730
  • 6GB RAM + 64GB / 128GB ROM
  • Kamera Utama:  48MP (f/1.8) + 13MP (Ultra Wide Angle) + 8MP (Telephoto, 2x zum optikal)
  • Kamera Hadapan: 20MP
  • Bateri 4000mAh (USB-C) + Pengecasan Pantas 18W
  • Pengimbas Cap Jari Dalam Paparan
  • Carbon Black / Glacier Blue / Flame Red

 

ASPEK FIZIKAL :

Bahagian depan menggunakan paparan penuh bersaiz 6.39 inci AMOLED FHD+ dengan sokongan HDR dan ditutup Corning Glass 5 sebagai pelindung utama. Menarik bukan? Xiaomi Mi 9T merupakan peranti pertama keluaran Xiaomi dibina dengan persediaan kamera Pop-Up.

Kemasan berasaskan kaca pada panel belakang serta bezel nipis menjadikannya sesuai dengan cita rasa pengguna yang sukakan rekaan lain daripada biasa. Ketika memegang peranti, penulis merasakan tubuh fizikalnya ergonomik pada setiap sudut – selesa digenggam namun sedikit licin.

Butang kuasa dan laras suara terletak di sisi kanan

Sisi kiri tidak menempatkan sebarang butang

Bahagian bawah tersedia mikrofon, slot SIM, port USB-C serta pembesar suara

Bahagian atas menempatkan 3.5mm audio jack & mikrofon

 

ASPEK PRESTASI :

Xiaomi Mi 9T dikuakan oleh cip pemproses Snapdragon 730 menerusi rekaan cip 8nm serta Adreno 618. Menariknya, ia merupakan peranti pertama di Malaysia yang dibekalkan cipset berkenaan. Peranti ini dipadankan dengan RAM sebesar 6GB dan pilihan storan dalaman sehingga 128GB. Namun sayang, Xiaomi Mi 9T tidak mempunyai sokongan tambahan kad microSD. Pun begitu, ia dirasakan sudah memadai bagi kebanyakan pengguna masa kini.

Sepanjang penggunaan untuk reviu ini, penulis berpendapat prestasi peranti ini berjaya menawarkan pengalaman memuaskan dan dapat menjalankan tugas harian dengan lancar – tidak menemui sebarang masalah berat dalam menjalankan aplikasi. Penulis juga sempat menjalankan beberapa ujian penanda aras untuk melihat keupayaan peranti. Hasil keputusan seperti berikut :

 

ASPEK BATERI :

Xiaomi Mi 9T dibekalkan bateri berkapasiti 4,000mAh – port pengecasan digunakan adalah USB-C. Daya ketahanan bateri harus dipuji dan boleh dikatakan amat baik. Dengan bateri yang besar, peranti ini mampu bertahan dengan penggunaan purata menjangkau 24jam untuk penggunaan sederhana. Jika kehabisan bateri, ia bukanlah masalah besar kerana sokongan pantas 18W turut disertakan dan tidak perlu menunggu lama untuk dicas semula.

 

ASPEK KESELAMATAN :

Bagi aspek keselamatan, peranti ini menyertakan sistem pengimbas cap jari dalam paparan. Secara peribadi, prestasinya adalah memuaskan dan penulis tidak menemui sebarang isu sepanjang penggunaan. Ia juga mampu membuka peranti dengan pantas. Sebagai alternatif , ia juga menyertakan fungsi imbasan wajah dan sistem keselamatan lain seperti Paten serta kata laluan.

 

ASPEK KAMERA :

Prestasi kamera juga menjadi keutamaan penting dalam pemilihan sesebuah peranti pintar. Xiaomi Mi 9T ditanam dengan persediaan tiga kamera utama yang menjadi kegilaan ramai pengeluar – gabungan lensa 48MP (main) + 13MP (Ultra Wide Angle) + 8MP (telephoto). Turut disertakan LED Flash pada bawah kamera. Menariknya, kamera pertama mempunyai gelung merah di sekelilingnya.

Secara peribadi, prestasi kamera adalah antara yang terbaik dalam segmen Android. Aplikasi kamera menyertakan sejumlah fungsi menarik termasuk HDR, AI Beauty, Night Mode dan banyak lagi. Gambar terhasil dilihat memuaskan dengan penghasilan butiran yang baik. Ia juga boleh dikatakan masih mengekalkan perincian warna pada gambar – menyerlah seakan dunia nyata.

Kamera depan sebesar 20MP pada Xiaomi Mi 9T juga dilihat berfungsi dengan baik. Fungsi HDR dan mode kecantikan juga tersedia pada kamera hadapan. Kualiti foto terhasil jelas serta seimbang. Ia juga dilihat mampu memberikan pengalaman berswafoto yang semula jadi dan sempurna kepada si kaki selfie! Keseluruhannya, prestasi berada tahap baik dan pastinya memberikan kelebihan tersendiri pada peranti.

 

HASIL GAMBAR (KLIK UNTUK GAMBAR BESAR) :

 

KOMEN EDITOR :

Xiaomi MI 9T boleh dikatakan memiliki kebanyakan ciri yang menjadi idaman ramai. Peranti ini memiliki keindahan tersendiri. Baik dari segi reka bentuk, perincian sehingga prestasi dalaman. Kini, bergayalah sepuasnya tanpa rasa gentar dengan Xiaomi Mi 9T! Bagi yang berminat, boleh dapatkan pada harga RM1,199 (6GB+64GB) dan RM1,399 (6GB+128GB)!

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here