Harga : RM 1,199 (6GB+128GB)

Samsung telah memperkenalkan salah satu model terbaru dalam rangkaian Galaxy A menerusi kemunculan Samsung Galaxy A50 – peranti dengan spesifikasi dalaman yang power pada segmen harga mampu milik. Tetapi adakah peranti ini mampu menarik dan menambat hati pengguna? Bersama eRing, kita kupas satu persatu…

 

💣 Reka Bentuk Menggoda, Imej Menarik

Menyentuh daripada aspek fizikal, Galaxy A50 hadir dengan reka tubuh yang menawan, nipis dan ringan. Panel belakang peranti diperbuat daripada material dipanggil “Glasstic” – plastik yang kelihatan kemasan berkilau seakan kaca. Oleh itu, AWAS!! Jangan sampai jadi TIPAH TERTIPU…

Menarik perhatian adalah terdapat efek cahaya dalam warna pelangi jelas terlihat pada panel tersebut. Secara keseluruhan peranti ini selesa untuk digenggam. Pun begitu, pastikan anda menggunakan casing yang diberi bagi mengelakkan risiko peranti “mencium” lantai.

Butang kuasa dan suara di bahagian kanan, manakala sisi kiri pula terdapat slot sim yang menggunakan dua simkad + kad microSD. Bahagian atas hanya terdapat lubang mikrofon. Sebelah bawah menampilkan bicu audio 3.5mm, port USB-C, mikrofon dan pembesar suara.

 

 

💣 Paparan Skrin Sedap Mata Memandang

Galaxy A50 menggunakan panel Super AMOLED dengan skrin bersaiz 6.4 inci FHD+ (1080 x 2340 piksel), bersama paparan Infinity-U. Pujian pertama diberikan kerana kualiti paparannya memberi penghasilan yang baik dengan warna cukup terang dan selesa untuk dilihat – meskipun penggunaan di bawah pancaran cahaya matahari.

Jelas kelihatan paparan skrin juga agak luas dengan nisbah skrin ke badan sebanyak 90.6% – terima kasih kepada bezel nipis pada bahagian kedua-dua sisi dan atas peranti. Cuma sayangnya, dagu peranti terlihat sedikit tebal. Tapi overall okay. Memang puas!

Peranti beroperasi menggunakan antaramuka Samsung One UI 1.1 berasaskan Android Pie. Paparan yang dibawa lebih kemas dan mudah digunakan dengan sebelah tangan tangan. Ikon juga dilihat mengekalkan tampilan yang ceria.

 

 

💣 Prestasi Tidak Mengecewakan Duit Tabung 

Kuasa dalaman Galaxy A50 digerakkan oleh cip pemproses Samsung Exynos 9610 dengan pemproses grafik Mali-G72. Ia dibantu oleh memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Peranti ini juga mempunyai sokongan memori luar yang boleh dikembangkan sehingga 512GB.

Prestasi peranti harus dipuji! Sepanjang penggunaan, memang tiada masalah bahkan ia mampu menggalas tugas harian dengan baik termasuk bermain game, layan youtube dan sebagainya. Penggunaan aplikasi yang banyak dalam satu masa dapat dilakukan dengan lancar dan penggunaan secara berterusan juga hanya meningkatkan suhu secara minimal.

Hasil pengujian kami, Galaxy A50 mencatatkan skor sekitar 144516 mata untuk ujian AnTuTu Benchmark. Pada ujian penanda aras Geekbench 4 pula, peranti ini mencatatkan skor sebanyak 1,676 mata untuk ujian tunggal dan 4,796 mata untuk ujian pelbagai teras. Berikut ini hasil pengujian kami:

 

 

💣 Bateri Tahan Lama & Tahap Keselamatan Terbaik

Galaxy A50 dilengkapi dengan bateri besar 4,000mAh dan lengkap sokongan pengecasan pantas dengan kuasa 15W. Kapasiti bateri ini menawarkan hayat bateri yang memuaskan dengan masa penggunaan sehingga satu hari lebih untuk kegunaan biasa.

Bercakap mengenai keselamatan, Galaxy A50 dilengkapi pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Ketika menguji, kami mendapati prestasinya berada di tahap memuaskan hati dan dan berupaya mengesan cap jari tanpa menyalakan paparan terlebih dahulu. Andai kata tak suka, Samsung turut menyertakan pengimbas wajah sebagai alternatif.

 

💣 Pesona Gambar Menawan Bak Professional

Jika dibandingkan dengan pesaing dalam lingkungan harga yang sama, Galaxy A50 sebenarnya jauh lebih baik. Sebabnya, ia menawarkan keupayaan kamera canggih yang mampu menangkap objek dengan sempurna – sama ada menggunakan kamera utama ataupun swafoto.

Galaxy A50 menyokong tiga kamera utama dengan resolusi 25MP (main) + 8MP (wide-angle) + 5MP (depth) – menyokong sudut luas mencecah 123 darjah. Ia juga menyokong ciri scene optimiser bagi rakaman gambar lebih sempurna dan terdapat pengesanan kesilapan yang membantu perbaiki tangkapan. Fungsi AR lens turut terbina.

Boleh dikatakan, hasil rakaman gambar memang hebat dan cukup detail dengan tona warna yang berkualiti tinggi meskipun pada keadaan cahaya rendah. Bagi tangkapan foto jarak dekat, anda hanya perlu halakan kamera secara terus pada subjek dan tangkap!

Sudut Standard
Sudut Ultra Wide
Sudut Standard
Sudut Ultra Wide

Kualiti kamera swafoto juga berada di tahap yang tidak mengecewakan. Berbekalkan kamera beresolusi 25MP, ia mampu menangkap gambar dengan ketajaman yang baik sekaligus menghasilkan foto selfie nampak menarik persis model!

Untuk rakaman video, kualitinya berada pada tahap memuaskan namun tanpa sokongan EIS. Melaluinya, anda boleh merakam video melalui dua mod penangkapan iaitu standard dan sudut lebar (tidak boleh zoom). Mengabadikan kenangan dengan peranti ini ternyata tidak mengecewakan!

 

💣 Apa Kata Editor…

Secara keseluruhan, jika anda impikan telefon pintar dengan harga pada segmen mampu milik tapi dengan spesifikasi penuh super power, maka telefon ini adalah pilihan paling tepat. Penawarannya sangat seimbang termasuk daripada semua aspek seperti kamera, jangka hayat bateri dan rekaan. Ada 3 pilihan warna menarik : putih, biru dan hitam. Jangan lupa dapatkan satu!

Jom beli Samsung Galaxy A50?

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here