- Iklan -

Samsung telah pun melancarkan siri Samsung Galaxy S10 – salah satunya, Samsung Galaxy S10+. Kali ini, Samsung dilihat tampil berani dengan menyertakan pelbagai penambahbaikan dari segi spesifikasi dan fungsi menarik dalam memberikan persaingan sengit buat seteru mereka.

Namun sejauh manakah Galaxy S10+ mampu menarik hati para pecinta gadget? Adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Bersama eRing, kami cuba rungkai segala persoalan dalam sanubari anda. Jom baca…

 

PAPARAN PERANTI :

Samsung Galaxy S10+ hadir dengan reka bentuk serba moden dengan empat (4) pilihan warna utama : Prism White, Prism Black, Prism Blue & Prism Green dan dua (2) lagi warna khas iaitu Ceramic Black & Ceramic White.

Dari segi paparan, telefon ini hadir dengan skrin penuh bersaiz 6.4 inci dengan resolusi QHD+ Dynamic AMOLED dan nisbah aspek 19: 9 yang membawakan pengalaman multimedia penuh mengasyikkan.

Samsung juga menawarkan rekaan “Infinity O” untuk model ini yang menyokong HDR10+ untuk warna dan kontras yang lebih baik. Peranti ini juga memiliki rekaan bezel nipis yang kian menjadi trend terkini di samping sisi melengkung yang selesa untuk dipegang.

Melaluinya, ia mampu menjadi peranti lebih mengiurkan selain membolehkan pengguna menikmati pengalaman penggunaan pada tahap terbaik. Untuk reka bentuk penuh, boleh klik pada PAUTAN INI.

 

PRESTASI PERANTI :

Menarik mengenai peranti ini, ia menawarkan sokongan spesifikasi yang cukup tinggi dalam kelasnya yang mana dikuasakan oleh Snapdragon 855 atau Exynos 9820 – bergantung kepada pasaran. Untuk pasaran Malaysia, ia hadir dengan cip Exynos 9820 disatukan dengan GPU Mali-G76 MP12.

Berbekalkan kapasiti memori yang tinggi sebesar 8GB RAM bersama storan dalaman 128GB/512GB, pengguna kini tidak perlu risau mengenai masalah tidak cukup ruang pada peranti. Namun andai kata masih tidak mencukupi, pilihan slot mikro SD turut disediakan.

Berdasarkan ujian prestasi melalui Geekbench 4, Galaxy S10+ telah menerima skor sebanyak 4453 mata untuk ujian tunggal dan 10031 mata pula untuk ujian pelbagai teras. Untuk ujian antutu pula, ia mencatatkan sebanyak 330621 mata.

Ujian Antutu & Geekbench 4

Kami mendapati, tidak banyak masalah yang dihadapi saat menguji peranti ini. Bahkan, cip yang tertanam padanya harus dipuji kerana memberikan prestasi harian terbaik di samping pengalaman multitasking yang lancar. Dalam erti kata lain, kami boleh membuat penukaran aplikasi dalam masa sama dengan begitu efisien tanpa sebarang isu lag.

 

SISTEM OPERASI :

Samsung Galaxy S10+ menjalankan sistem operasi Android 9 Pie dengan antaramuka, Samsung One UI 1.1. Antaramuka ini mempersembahkan rekaan yang lebih natural di samping tampil lebih segar dengan ‘nafas baru’ yang memudahkan para pengguna terutamanya ketika menggunakan peranti dengan satu tangan.

Anataramuka : One UI

Menariknya lagi, penambahbaikan pada visual termasuk ikon turut direka semula di mana ianya kini lebih bulat dan banyak pilihan warna. Satu lagi perubahan pada antaramuka ini ialah kehadiran mod malam untuk keseluruhan sistem –  untuk pengalaman yang selesa.

 

KESELAMATAN :

Melengkapkan peranti ini adalah sokongan Ultrasonic Fingerprint Scanner yang boleh membaca cap jari fizikal pengguna secara 3D bagi pengalaman lebih baik dalam memastikan peranti sentiasa selamat.

Tetapan Pengimbas Cap Jari

Kami boleh katakan prestasinya cukup pantas apabila menyahkunci peranti dan sepanjang reviu ini ia dilihat berjaya ‘menangkap’ cap jari kami dengan tepat. Selain pengimbas cap jari, ia juga hadir dengan sokongan pengimbas wajah sebagai alternatif.

 

KEUPAYAAN BATERI :

Dari segi bateri, Galaxy S10+ ternyata hadir dengan ketahanan bateri yang jauh lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Ia hadir pek bateri kapasiti 4,100 mAh yang menyokong fungsi pengecasan Adaptive Fast Charging.

Dalam cubaan kami, peranti ini dilihat mampu bertahan sehingga sehari lebih untuk penggunaan pada tahap biasa. Untuk pengecasan semula , peranti ini mengambil masa kira-kira 1 jam dan 30 minit untuk mencapai 100% .

Apa yang lebih menariknya, ia turut menyajikan ciri baru dikenali sebagai Wireless Power Share yang mana ia menjadikan Galaxy S10+ sebagai powerbank tanpa wayar sekaligus mampu mengecas telefon lain yang menyokong Qi Wireless Charging – seakan fungsi pada HUAWEI Mate 20 Pro. Pun begitu, fungsi ini tidak boleh digunakan pada tahap paras bateri di bawah 30%.

 

CIRI MENARIK TERSIRAT & TERSURAT :

Satu lagi yang mencuri tumpuan adalah peranti ini dilengkapi dengan sokongan Wi-Fi pintar yang membolehkan pengguna berhubung ke rangkaian WiFi atau LTE tanpa sebarang gangguan dan selamat.

Ia juga menyokong rangkaian baru, Wi-Fi 6 – jadi pengguna boleh menikmati prestasi Wi-Fi yang lebih baik. Tidak ketinggalan, Galaxy S10+ juga ditambahbaik dengan sokongan kalis air dan debu IP68 untuk kemudahan pengguna.

 

KEUPAYAAN KAMERA :

Mengenai kamera, Samsung juga menjanjikan pengalaman fotografi yang lebih baik untuk generasi kali ini. Peranti ini dibenam dengan lima buah kamera – tiga lensa utama di bahagian belakang, manakala dua lagi di hadapan yang diposisikan pada bahagian skrin berlubang.

Tri-kamera utama pada Galaxy S10+ menampilkan kombinasi 16MP (ultra-wide angle sehingga 123 darjah) + 12MP + 12MP (telephoto). Terdapat juga sokongan OIS (penstabilan imej optik) pada kedua-dua sensor 12MP.

Kamera UI : Kamera Utama

Kelebihan ultra-wide angle sehingga 123 darjah pada Galaxy S10+ ini merupakan yang terbaik dan melaluinya pengguna boleh memuatkan lebih banyak subjek dalam satu gambar tanpa perlu berganjak daripada sesuatu lokasi. Lensa telephotonya juga dilihat menghasilkan kualiti imej yang baik.

Lebih istimewa, peranti ini juga mempunyai satu ciri yang berguna dipanggil Shot Suggestions yang boleh didapati menerusi tetapan kamera. Melaluinya, ia akan memberi cadangan dan mengajar pengguna di mana sudut betul untuk mengambil gambar secara automatik.

Ciri Menarik : Shot Suggestions

Untuk swafoto, peranti ini mempunyai dua kamera dengan gabungan sensor 10MP + 8MP dan terdapat dua mod untuk kamera selfie iaitu sudut biasa dan sudut lebar. Menariknya lagi mengenai lensa hadapan ini ialah ia hadir dengan kemampuan auto fokus dan rakaman video 4K.

Galaxy S10+ turut dilengkapi sokongan perisian yang dikuasakan oleh NPU yang mana Samsung mengatakan ia boleh mengenal pasti pemandangan lebih daripada 30 jenis dan mengoptimasinya secara serta merta untuk penghasilan gambar terbaik.

Kamera UI : Hadapan

Satu lagi perkara menarik yang mencuri tumpuan, peranti ini mampu merekod video Super Steady yang mana kadar penstabilan lebih baik berbanding video biasa. Melaluinya, pengguna boleh merakam video yang mantap dalam apa jua keadaan termasuk ketika berlari.

 

 

APA KATA EDITOR? 

Adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Jika anda mencari kepuasan dalam penggunaan peranti bersama prestasi yang lancar dan keupayaan kamera seimbang, peranti ini adalah amat disyorkan. Secara zahirnya, Galaxy S10+ sememangnya membawakan rekaan premium disamping “sesuatu” menarik yang diluar kotak fikiran.

[BACA : Jerayawara Siri Samsung Galaxy S10 Bermula 8 – 10 Mac 2019! Nikmati Ganjaran Hebat Bernilai RM1049! ]

Sebagai bonus tambahan, model ini juga hadir dengan teknologi terkini seperti sistem imbasan cap jari ultrasonik tertanam pada skrin yang mana berfungsi lebih pantas dan boleh membaca alur jari meskipun ketika basah mahupun kotor. Bagi yang berminat, telefon pintar ditawarkan pada harga RM3,699 untuk versi 128GB, manakala RM4,599 untuk versi 512GB.

- Advertisement -

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here