HARGA: RM 1,099 (RM1,299)

Samsung baru sahaja melancarkan telefon pintar generasi baharu dalam keluarga siri Galaxy A iaitu Samsung Galaxy A7 (2018) pada 11 Oktober lalu. Perkara ini nyata mengejutkan ramai kerana ia merupakan smartphone pertama keluaran Samsung yang hadir dengan tiga kamera utama pada panel belakang.

Melalui model ini, Samsung dilihat menawarkan pelbagai spesifikasi terbaik dan ciri-ciri premium kepada para pengguna. Malah, model ini juga diberi ‘nafas baru’ serta penambahbaikan berbanding keluaran sebelum ini.

Baca Juga:

Apakah ‘nafas baru’ yang dibawa oleh Samsung Galaxy A7 (2018)? Apakah keistimewaan tiga kamera utama tersebut? Di mana kedudukan pengimbas cap jari untuk model kali ini? Inilah jawapannya…

 

SPESIFIKASI

Spesifikasi Samsung Galaxy A7 (2018)

 

REKA BENTUK

Samsung Galaxy A7 (2018) dilihat hadir dengan rekaan unik serta lebih menawan melalui binaan berasaskan logam dan kaca yang menjadi trend terbesar pada tahun ini, malah ia juga kelihatan lebih nipis dengan ketebalan hanya 7.5mm. Telefon pintar ini membawakan paparan Infinity Display bersaiz 6.0 inci dengan resolusi FHD+ (2220 x 1080) bersama panel Super AMOLED, paparan ini turut dilapisi Corning Gorilla sebagai pelindung utama.

Seperti model-model sebelum ini, Samsung dilihat masih tidak menyertakan takuk sebaliknya terdapat ‘bilah’ pada bahagian atas yang memuatkan pembesar suara panggilan, kamera hadapan dan sensor. Galaxy A7 (2018) juga tampil dengan ruang dagu yang tidak begitu tebal pada bahagian bawah. Rekaan fizikalnya juga ergonomik di mana mengikut cengkaman sekaligus memberikan keselesaan pada pengguna ketika memegang.

Pada bahagian belakang, kaca sekali lagi digunakan dengan sisi melengkung. Terdapat tiga kamera yang disusun secara vertikal (menegak) di sudut kiri pada bahagian atas dan LED Flash pula ditempatkan di bawah lensa. Satu-satunya kekurangan yang kami temui pada panel belakang ini ialah kesan cap jari dilihat sangat mudah untuk melekat.

Pada sisi kiri, terdapat dulang kad yang hadir dengan 3 slot (2 kad Nano SIM + 1 kad microSD). Bagi mereka yang mempunyai dua SIM yang berbeza dan micro SD, ciri ini sangat berguna kerana ketiga-tiga kad boleh digunakan secara serentak.

Pengimbas cap jari di sisi?! YA! Pada sisi kanan terdapat butang laras suara dan butang kuasa yang juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Dengan pengimbas cap jari pada bahagian sisi, menjadikan ia lebih mudah dicapai dengan ibu jari. Pun begitu, kedudukannya dilihat agak tidak sesuai untuk pengguna yang kidal (left hand-side).

Bergerak ke bahagian bawah, telefon pintar ini masih memiliki beberapa ‘lubang’ penting seperti pembesar suara, slot pengecasan dan slot audio 3.5mm. Bagi kami, slot pengecasannya agak mengecewakan apabila dilihat ia masih bergantung pada penggunaan micro-USB walaupun sudah banyak pesaing setaranya yang mula menggunakan sambungan USB Type-C.

 

ANTARAMUKA

Memandangkan model ini merupakan versi peningkatan, Samsung Galaxy A7 (2018) dioperasikan dengan antaramuka Samsung Experience 9.0 berasaskan Android 8.0 Oreo yang pastinya jauh lebih baik berbanding versi sebelum ini.

Antaramuka Samsung Galaxy A7 (2018)

Seperti biasa, Samsung turut tidak ketinggalan menyertakan sebilangan fungsi tambahan serta sentuhan pintas pada peranti keluaran mereka kali ini. Antaranya seperti:

Smart stay Paparan peranti tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata pengguna pada skrin.
Always on display Paparan sentiasa terpasang apabila peranti dikunci – membolehkan pengguna melihat notifikasi ringkas pada lock screen.
Finger sensor gestures Fungsi yang membolehkan panel notifikasi dibuka dan ditutup hanya menggunakan sensor cap jari.
One-handed mode Fungsi yang melaraskan saiz paparan dan susun atur untuk memudahkan kawalan telefon dengan hanya penggunaan sebelah tangan.
Quick launch camera Fungsi tambahan bagi membuka kamera secara pantas dengan hanya menekan butang kuasa sebanyak dua kali
Multi window Fungsi tambahan yang boleh menunjukkan lebih daripada satu aplikasi pada masa serentak.

 

 

Fungsi Tambahan Dalam Samsung Galaxy A7 (2018)
Fungsi Tambahan Dalam Samsung Galaxy A7 (2018)

 

KUASA DALAMAN

Untuk model ini, Samsung dilihat mempertaruhkan sokongan pemproses yang lebih berkuasa iaitu menggunakan cip pemproses Exynos 7 Octa 7885 dengan CPU Octa-Core 2.2GHz didampingi GPU Mali G-71 bagi membolehkan pengguna mendapatkan pengalaman penggunaan yang lancar tanpa lag.

Cip Pemproses Exynos 7 Octa 7885

Pemposesan tersebut digabungkan dengan memori sebesar 4GB RAM dan storan dalaman yang cukup tinggi iaitu 128GB ROM. Jika anda perlukan storan lebih besar, ia turut menyertakan kad microSD yang boleh dikembangkan sehingga 512GB luasnya.

Berdasarkan kepada ujian Benchmark yang telah kami lakukan, Samsung Galaxy A7 (2018) mencatatkan skor sebanyak 122650 untuk ujian antutu. Seterusnya pada ujian Geekbench 4 pula, telefon pintar ini mencatatkan 1526 markah untuk ujian satu teras manakala 4410 untuk ujian pelbagai teras.

Ujian Antutu
Paparan Skor Ujian Antutu
Ujian Geekbench 4
Paparan Skor Ujian Geekbench 4

 

SISTEM KESELAMATAN

Selain pengimbas cap jari, telefon pintar ini turut menyertakan fungsi Face Recognition sebagai sokongan alternatif. Fungsi ini dilihat berfungsi dengan pantas dan lancar.

Anda hanya perlu memandang skrin telefon secara berhadapan, kemudian kunci skrin terbuka secara automatik. Di samping itu, telefon pintar ini turut disertakan dengan sistem keselamatan lain seperti pattern, PIN dan kata laluan.

Face Recognition

 

 KEUPAYAAN BATERI

Meskipun didatangkan dengan badan yang besar, namun bateri pada telefon pintar ini agak “kecil” hanya berkapasiti 3,300mAh. Malah, ia juga tidak menawarkan teknologi pengecasan pantas seperti peranti lain.

 

PRESTASI KAMERA

Mengenai kameranya pula, sistem tri-kamera utama pada Samsung Galaxy A7 (2018) adalah kombinasi:

  • Sensor utama 24 MP dengan aperture f/1.7 untuk mengambil gambar standard.
  • Sensor depth 5MP dengan aperture f/2.1 untuk mengambil gambar live focus dengan efek bokeh sempurna.
  • Sensor ultra-wide 8MP dengan aperture f/2.4 untuk mengambil gambar ultra-wide angle sehingga 120 darjah.
Tri-Kamera Utama Samsung Galaxy A7 (2018)

Kamera hadapannya turut menawarkan sokongan kamera yang tidak mengecewakan iaitu hadir dengan resolusi 24MP bersama aperture f/2.2 dengan sokongan LED Flash. Malah, kamera hadapan juga membolehkan pengguna mengambil gambar Live Focus seumpama kamera utama. Tetapi, intensiti kabur tidak boleh dilaraskan.

Selain itu, kamera telefon ini turut dibekalkan fungsi scene optimizer yang dilengkapi teknologi AI untuk mengesan sehingga 19 jenis subjek termasuk bunga, pemandangan dan sebagainya.

Fungsi Scene Optimizer

Lagi best, ia juga ada fungsi AR Emoji yang comel selain turut mampu menghasilkan avatar berasaskan wajah pengguna.

 

Fungsi AR Emoji
Fungsi Create Your Emoji – Avatar Berasaskan Wajah

Pada pandangan kami, kombinasi ketiga-tiga kamera Samsung Galaxy A7 (2018) dilihat berfungsi dengan baik. Kamera utama 24MP menghasilkan gambar yang terbaik pada waktu siang. Kamera juga mengalihkan fungsi HDR secara automatik jika perlu. Penghasilan warna juga dilihat menyerlah sama seperti dunia nyata.

Penggambaran Standard (Sensor utama 24MP dengan aperture f/1.7)

Selain itu, gambar Live Focus pada kamera ini juga kelihatan sememangnya hebat. Pengguna boleh melaraskan intensiti kabur mengikut kesesuaian. Tidak ketinggalan, sudut lebar 8MP juga amat berguna terutama untuk menangkap gambar landskap. Bagaimanapun, gambar yang diambil oleh lensa sudut lebar kelihatan tidak sama seperti ‘shot’ yang diambil melalui lensa utama.

Penggambaran Live Focus (Sensor depth 5MP dengan aperture f/2.1)
Penggambaran Ultra-Wide Angle 120 Darjah (Sensor ultra-wide 8MP dengan aperture f/2.4)

Kamera hadapannya juga dilihat berfungsi dengan baik sekaligus menghasilkan foto yang jelas dan teliti. Ujian swafoto dengan kesan khas bokeh juga dilihat mampu menghasilkan imej yang menakjubkan. Fungsi HDR turut disertakan pada kamera hadapan.

Penggambaran Standard (Kiri) , Penggambaran Bokeh (Kanan)

Tanpa bercakap panjang, kami lampirkan contoh hasil gambar yang diambil melalui telefon ini untuk tatapan anda ~

 

ULASAN

Secara keseluruhannya, kami mendapati tiada perubahan mendadak yang dilakukan daripada segi reka bentuk untuk model kali ini, sebaliknya perubahan spesifikasi terbesar terletak pada kuasa dalamannya. Samsung juga masih mengekalkan konsepnya yang mengutamakan keselesaan pengguna.

Selain itu, penggunaan aplikasi di dalam telefon ini juga berfungsi dengan baik serta lancar. Fungsi pengimbas cap jari dan pengecaman wajah (face recognition) juga berfungsi dengan responsif. Malah, teknologi suara Dolby Atmos yang disertakan juga memberikan pengalaman bunyi terbaik dengan kualiti suara yang bergerak secara 3D.

Meskipun begitu, tiada yang sempurna di dunia ini termasuklah telefon pintar ini sendiri. Kekurangan paling ketara yang dapat kami lihat adalah ianya tidak menyertakan sokongan kalis air dan debu. Malah, agak mengecewakan juga apabila panel belakang telefon ini adalah kaca tetapi ia tidak menyokong pengecasan tanpa wayar dan berkemungkinan sebab itulah ia diletakkan pada kategori kelas pertengahan.

Bagaimanapun, apa yang dapat kami simpulkan prestasi telefon ini secara keseluruhannya boleh dikatakan telefon yang cukup sempurna dan berpotensi menjadi telefon android terbaik tahun ini. Didatangkan dengan tiga warna menarik iaitu Blue, Black dan Gold, Samsung Galaxy A7 (2018) boleh didapati pada harga yang sangat mampu milik iaitu RM1,299 seunit! Tunggu apa lagi? Cepat dapatkan satu hari ini juga!

 

 

 

 

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here