vivo Z3 Kini Rasmi – Sokong Snapdragon 710 & Teknologi Dual Turbo

Sokong nisbah skrin-ke-kerangka yang sangat baik iaitu mencecah 90.3%

Sebelum ini vivo telah memperkenalkan model vivo Z3i untuk pasaran di China yang memperlihatkan sokongan pemproses MediaTek Helio P60. Nampaknya kali ini giliran vivo Z3 pula dilancarkan secara rasmi di negara itu, bagi menggantikan generasi pertamanya iaitu vivo Z1.

Hadir dengan rekaan panel hadapan dan belakang yang diperbuat daripada kaca dengan sokongan kerangka logam, telefon pintar ini menampilkan skrin IPS LCD berukuran 6.3-inci FHD+ (2340 x 1080 piksel) dengan nisbah 19:9. Bukan itu sahaja, rekaan takuk dan juga saiz bezel yang kecil ini juga secara tidak langsung mampu menjanjikan nisbah skrin-ke-kerangka yang sangat baik iaitu mencecah 90.3%.

Teknologi Dual Turbo menjanjikan kelancaran pengoperasian sistem & permainan

Dengan sokongan kombinasi RAM 6GB dan juga ruang storan 128GB, vivo Z3 hadir dalam dua varian berbeza iaitu Qualcomm Snapdragon 660 dan juga Snapdragon 710. Dioperasikan dengan antaramuka FunTouch OS 4.5 berasaskan Android 8.1 Oreo, telefon pintar ini menjanjikan prestasi yang lebih baik dengan adanya teknologi Dual Turbo yang menjanjikan kelancaran pengoperasian sistem dan juga permainan.

Malah pengalaman permainan terasa lebih menarik kerana ia turut dilengkapi mod DND, mod Picture-in-Picture, paparan papan kekunci khas untuk permainan dan juga ciri gegaran 4D. Dari segi penggambaran pula, vivo Z3 hadir dengan sokongan dwi-kamera AI beresolusi 16MP + 2MP, kamera hadapan 12MP serta bateri berkapasiti 3315mAh.

Hadir dengan tiga pilihan warna

Harga jualan vivo Z3 untuk pasaran China:

  • Snapdragon 670, 4GB + 64GB – CNY1,598 (kira-kira RM958)
  • Snapdragon 710, 6GB + 64GB – CNY1,898 (kira-kira RM1,138)
  • Snapdragon 710, 6GB + 128GB – CNY2,298 (kira-kira RM1,378)

You might also like