6 Telefon Pintar Membuatkan Anda Lupa Mengenai Powerbank!

365
**********

Jika ditanya mengenai ciri-ciri utama yang diperlukan dalam sesebuah telefon pintar pastinya ketahanan bateri antara aspek terpenting yang dititikberatkan oleh pengguna sekarang! Melihat kepada saiz telefon pintar yang semakin hari semakin besar, pengguna pastinya mengharapkan bateri telefon yang lebih tahan lama sekurang-kurangnya sehari terutamanya jika terlupa membawa powerbank ketika keluar.

Kepada yang tertanya-tanya apakah telefon pintar yang mempunyai ketahanan bateri paling lama, senarai ini mungkin boleh membantu anda memilih peranti dengan tawaran harga dibawah RM1,500.

1. Xiaomi Mi Max 3 – 5,500mAh

HARGA : RM 1,099

Kami memilih telefon pintar ini kerana hadir dengan bateri berkapasti besar iaitu mencecah 5,500mAh bersama sokongan pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 3.0. Menurut Xiaomi, bateri ini mampu bermain permainan mudah alih sehingga 10 jam tanpa henti, selama 17 jam penstriman video serta 233 jam bermain muzik. Lebih istimewa, bateri berkapasiti 5,500mAh juga berfungsi sebagai powerbank untuk mengecas peranti lain.

2. ASUS ZenFone Max Pro (M1) – 5,000mAh

HARGA : RM 599 (32GB + 3GB) / RM 849 (64GB + 4GB) / RM 999 (64GB + 6GB)

Salah satu ciri yang menjadi imej tumpu ialah pada bahagian baterinya. ASUS sedar bahawa golongan muda yang gemar bermain permainan mudah alih tidak akan memilih peranti dengan kapasiti bateri yang kecil. Jadi, dengan ZenFone Max Pro (M1), ia menawarkan bateri jauh lebih besar berkapasiti 5,000mAh.

Selain itu, pengalaman hiburan juga menjadi lebih mengasyikkan apabila peranti ini menawarkan sehingga 20 jam masa menonton menerusi aplikasi kandungan penstriman Netflix.

3. OPPO A3s – 4,230mAh

HARGA : RM 599 (16GB + 2GB) / RM 899 (32GB + 3GB)

OPPO A3s menawarkan kapasiti bateri agak baik iaitu berkapasiti 4,230mAh yang mampu menjanjikan ketahanan sehingga 18 jam dengan masa menunggu sehingga 2 hari. Namun begitu, ketiadaan sokongan pengecasan pantas pada telefon pintar ini membuatkan masa mengecas OPPO A3s agak lama iaitu kurang dari 3 jam mengikut ujian yang telah dijalankan.

4. POCOPHONE F1 – 4,000mAh

HARGA : RM 1,299 (64GB + 6GB) & RM 1,499 (128GB + 6GB)

Kelebihan yang ada pada peranti ini adalah kapasiti bateri sebesar 4,000mAh yang menyokong teknologi pengecasan pantas Quick Charge 3.0, yang mana menjamin kepantasan mengecas dalam masa pendek. Menurut Poco, sistem penyejukan cecair yang dibekalkan pada F1 bertujuan mengurangkan haba semasa ia beroperasi. Ini bermakna, bermain permainan dalam masa panjang pun tiada isu kepanasan.

5. Alcatel 5V – 4,000mAh

HARGA : RM 898

Sudah lama Alcatel tidak memperkenalkan telefon pintar terbarunya untuk pasaran tempatan. Terbaru, hadir sebuah model mampu milik yang menawarkan bateri sebesar 4,000mAh yang mampu bertahan sehingga 18 jam. Namun begitu, Alcatel 5V tidak menyokong teknologi pengecasan pantas, jadi masa yang diambil untuk mengecas agak lama iaitu selama 2 jam 48 minit.

6. Honor Play – 3,750mAh

HARGA : RM 1,249 / RM 1,299 (Player Edition)

Bateri yang dimuatkan pada peranti ini tidaklah sebesar yang disangka, walaupun ianya dikhaskan untuk gamers. Namun begitu, bateri berkapasiti 3,750mAh menawarkan penggunaan seharian dengan adanya teknologi pengecasan pantas. Lebih menarik, ia turut diserikan dengan kehadiran GPU Turbo yang mampu menjimatkan kuasa bateri sehingga 30%.

ULASAN…

Jika dilihat daripada 6 buah telefon pintar yang disenaraikan ini, anda boleh memilih dua peranti yang bukan sahaja menawarkan bateri besar tetapi juga harga mampu milik! Dengan tawaran harga RM 1,099, anda boleh mendapatkan Mi Max 3 yang hadir dengan bateri berkapasiti 5,500mAh serta sokongan pengecasan pantas 3.0. Malah dengan bateri yang besar, tidak menjadi masalah untuk telefon pintar berfungsi sebagai powerbank.

Jika mempunyai bajet rendah tetapi inginkan bateri yang besar, kami sarankan ASUS ZenFone Max Pro (M1) dengan tawaran harga bermula RM 599. Dengan kapasiti bateri sebesar 5,000mAh, ia turut menyokong teknologi pengecasan pantas yang mampu mengecas peranti dari 0% hingga 100% dalam masa 2 jam 42 minit sahaja.

Walaupun honor Play menawarkan harga yang agak mahal jika dibandingkan dengan dua model di atas, sedangkan baterinya hanya berkapasiti 3750mAh sahaja. Kelebihan telefon pintar ini adalah menyokong teknologi yang dipanggil GPU Turbo yang mampu menjimatkan kuasa bateri sehingga 30%.

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here