IFA 2018 : Lenovo ThinkPad X1 Extreme Lengkap Dengan Intel Core-i9, NVIDIA GTX 1050 Ti

Di IFA 2018, Lenovo telah melancarkan beberapa siri komputer riba yang baru dalam usaha meneruskan komitmen menjadikan peranti lebih mudah digunakan dan produktif bagi pengguna antaranya, Lenovo ThinkPad X1 Extreme.

ThinkPad X1 Extreme terbaru ini direka dengan ketebalan 18.4 mm dan berat sekitar 1.7 kg. Selain itu, model ini mempunyai skrin bersaiz 15 inci dengan resolusi sehingga 4k selain lengkap disokong dengan Dolby Vision dan multi-touch HDR .

Ia juga mempunyai kelengkapan pemproses Intel Core i7 atau Core i9, digabungkan dengan RAM DDR4 hingga 64GB di samping media penyimpanan SSD PCIe sehingga 2TB dengan sokongan RAID 0 + 1.

ThinkPad X1 Extreme turut disertakan dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 Ti MaxQ dan turut dilengkapi dengan sistem penyejukan dwi-kipas bagi memastikan komputer riba ini mampu berfungsi secara optimum.

Selain hadir dengan sistem operasi Windows 10, ia juga  menyokong Windows Hello untuk membuka komputer riba dengan pengimbas muka.

Komputer riba ini mampu beroperasi sehingga 15 jam dengan sekali caj. Dengan sokongan pengecasan pantas pula, 80% bateri boleh dicaj dalam masa satu jam.

Lenovo ThinkPad X1 Extreme akan dijual pada harga yang bermula dari $1859 (RM 7671)Ketersediaan dijadualkan pada September 2018.

You might also like