
Tip! Elakkan Kejutan Bil Semasa Menunaikan Haji
Perayauan antarabangsa (Roaming) yang ditawarkan oleh telco tempatan dapat membantu memudahkan pengguna untuk berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan apabila berada di luar negara. Namun, penggunaan tanpa memahami kaedah yang betul boleh menyebabkan bil telefon melambung tinggi.
Terdapat pengguna yang mengalami kejutan bil selepas kembali ke tanah air dan mendapati bil telefon mencecah ribuan ringgit kerana menggunakan perkhidmatan perayauan antarabangsa untuk panggilan telefon dan data internet.
Jumlah aduan diterima dari Consumer Forum of Malaysia (CFM)
TAHUN | PENGGUNAAN DATA PERAYAUAN | PENGGUNAAN PANGGILAN PERAYAUAN | JUMLAH ADUAN |
2012 | 34 aduan | 15 aduan | 49 |
2013 | 50 aduan | 35 aduan | 85 |
2014 | 49 aduan | 38 aduan | 87 |
2015 | 54 aduan | 36 aduan | 90 |
2016 | 312 aduan | 72 aduan | 384 |
2017 | 120 aduan | 50 aduan | 170 |
2018 (Jan-Jun) |
49 aduan | 3 aduan | 52 |
Tip Mengelakkan Kejutan Bil
Bagi mengelakkan kerisauan pengguna semasa berada di luar negara terutama bagi jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan ibadah haji pada bulan ini, beberapa tip boleh dijadikan panduan seperti berikut:
1) Rujuk Penyedia Perkhidmatan anda sebelum memulakan perjalanan ke luar negara
Ini adalah untuk memastikan anda mendapat maklumat yang tepat mengenai caj yang akan dikenakan. Anda tidak akan dikecualikan daripada membayar caj tersebut walaupun anda benar-benar tidak tahu.
2) Buat salinan semua kenalan dan data penting dalam telefon anda sebelum meninggalkan Malaysia
Ini adalah sebagai langkah keselamatan sekiranya anda kehilangan telefon ketika berada di sana. Anda juga boleh memuatnaik maklumat penting ini dan menyimpannya di dalam storan atas talian untuk capaian mudah dari mana sahaja.
3) Elak gunakan dua kad sim dalam satu telefon bimbit
Anda tidak digalakkan menggunakan cara ini jika tidak biasa dengan tetapan peranti pintar. Disarankan membawa peranti pintar kedua bagi penggunaan kad sim tempatan, untuk menerima atau membuat panggilan penting ketika berada di tanah suci, manakala peranti pintar anda boleh digunakan untuk sambungan Wi-Fi sahaja.
4) Beli kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia melalui dalam talian atau di lapangan terbang
Terdapat kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia yang mungkin lebih sesuai dan memenuhi keperluan anda, di samping dapat mengurangkan kerumitan untuk mendaftar kad sim semasa di luar negara.
5) Dapatkan kad sim tempatan sebaik tiba di Arab Saudi sebagai alternatif untuk mendapatkan pilihan yang lebih murah
Lakukan sedikit kajian mengenai pelan yang disediakan di sana, dan pilih pakej kad sim yang terbaik serta sesuai dengan penggunaan anda sepanjang berada di sana.
6) Nyahaktifkan “Sambungan Automatik ke Rangkaian”
Kebanyakan telco tempatan mempunyai rakan perayauan antarabangsa di semua negara dengan tawaran pakej khas kadar rata bagi panggilan suara dan data. Nyahaktifkan “Sambungan Automatik ke Rangkaian” dan pastikan anda sentiasa disambungkan kepada rakan perayauan telco anda untuk menikmati pakej khas ini.
7) Tukar mod “Airplane” atau “Pesawat” dan gunakan Wi-Fi
Jika ingin terus berhubung hanya menggunakan Wi-Fi, anda boleh menukar mod peranti pintar ke mod “Airplane” atau “Pesawat” dan gunakan WiFi awam yang boleh dapati di sana.
8) Gunakan aplikasi seperti WhatsApp ketika menerima panggilan semasa berada di luar negara
Jika anda hanya mahu menerima panggilan dan SMS semasa berada di luar negara, boleh menggunakan aplikasi seperti “WhatsApp Call/Video Call” dan gunakan Wi-Fi sahaja.
Sumber: CFM