**********

Rata-rata jam pintar dicipta untuk pengguna yang mengutamakan pemantauan tahap kecergasan harian. Ada juga yang pakai hanya untuk kelihatan bergaya dan moden semata-mata disebabkan jam ini lebih selesa untuk digunakan berbanding jam mekanikal. Buat masa ini, tidak ramai yang terdedah dengan pemakaian jam tangan pintar – mungkin harga yang menjadi faktor pemilikan.

Untuk reviu eksklusif kali ini, kami ingin mengulas lanjut apa yang ditawarkan oleh jenama di bawah OPPO ini. Dinamakan sebagai Olike WeLoop Neo Pro, ia merupakan seutas jam tangan pintar kelas pertengahan yang membawakan ciri seperti skrin boleh sentuh, paparan berwarna, kreasi kulit serta beberapa lagi.

Jika harganya yang menjadi tanda tanya, kami kongiskan terus harga jam ini untuk pasaran Malaysia. Bagi yang sudah tahu, jam pintar ini telah mula dijual bermula bulan Mei lalu pada RM399.

 

PEK PEMBELIAN

ASPEK FIZIKAL

Paparan berwarna menjadikan jam ini kelihatan premium. Warna pada skrin juga memberikan sedikit keceriaan berbanding jam pintar mampu milik yang lain.

Efek yang bergerak misalnya imej api yang menyala menunjukkan kalori yang berjaya dibakar. Bagaimanapun, paparan skrin ini tidak begitu tajam serta terang.

Badan jam ini dibina dengan satu butang fizikal sahaja di sebelah kanan. Butang ini tidak dibuat kosong malahan ada tekstur yang berpusar untuk tujuan kosmetik.

Di sebelah sisi lain, ia dibiarkan kosong lantas menjadikan ia kelihatan tebal. Pada pendapat kami, pihak pengeluar boleh sahaja meletakkan sedikit tekstur di bahagian ini atau catkan dengan warna yang berkilat untuk disamakan dengan panel skrin.

Tidak seperti jam tangan tradisional, jam tangan pintar sebenarnya lebih selesa untuk dipakai atas faktor berat yang ringan serta mesra dengan semua jenis kulit. WeLoop Neo Pro didatangkan dengan tali getah yang mudah untuk diikat.

Bahagian ini merupakan bahagian yang paling penting untuk jam beroperasi. Di tengah-tengah badan terdapat sensor untuk memantau kadar denyutan nadi, semetara di dua kotak yang bersegi kiri dan kanan adalah butang untuk membuka tali jam. Di samping itu WeLoop juga dikemaskan dengan ukiran laser untuk jenis model, sokongan kedalaman air dan lokasi pembuatan.

 

CARA MEMBUKA TALI

Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana untuk mengecas jam ini bukan? Disebabkan pek pembelian tidak didatangkan dengan sebarang wayar atau palam kuasa, jam ini perlu dicas dengan membuka talinya dahulu.

Caranya yang tidak semudah disangka, ia memerlukan tekanan yang sedikit kuat untuk kedua-dua belah tali dibuka. Bicu USB yang disediakan sebenarnya berada di dalam penyambung antara badan dan tali.

Bagi proses mengecas pula, anda perlu menyambungkan WeLoop Neo pada palam kuasa standard yang ada di rumah.

 

APLIKASI PEMANTAUAN

Untuk sync, anda perlu memuat turun aplikasi WeLoop di Play Store atau App Store terlebih dahulu. Selepas selesai memuat turun, anda perlu mendafar sebagai ahli baru atau log masuk sebagai pengguna sedia ada.

Sebaik berjaya mendaftar, anda boleh ke bahagian Settings untuk membuat tetapan jam sama ada diguanakan pada tangan kiri atau tangan kanan.

Di masa sama anda boleh mengubah format masa kepada sistem 24 jam, reset, reboot, atau melakukan reset kilang.

Setelah membuat tetapan asas, kini anda boleh memantau tahap kecergasan setiap hari terus melalui telefon pintar.

Anda boleh meneroka menu utama dengan menekan tap pada bahagian Me > Profile untuk memasukkan maklumat diri.

Selepas memakai selama sehari, anda boleh memantau tahap kecergasan seperti jumlah langkah, senaman, pergerakan minimal, dan kadar denyutan jantung. Untuk memastikan sasaran kecergasan dicapai, tetapan boleh dilakukan dalam bentuk bulanan.

Selain daripada memastikan tahap kecergasan dalam keadaan yang baik, WeLoop Neo Pro juga berfungsi sebagai jam loceng, peringatan dan Do Not Disturb.

Lain-lain fungsi yang boleh diaktifkan antaranya ialah mengaktifkan notifikasi untuk aplikasi yang tertentu, tambahan pula anda boleh memberikan cadangan serta maklum balas mengenai produk di ruangan feedback. Untuk kemas kini aplikasi dan jam pintar, ia boleh dilakukan dalam aplikasi WeLoop juga.

KAEDAH LAIN

Butang fizikal yang disediakan membenarkan anda melancarkan kiraan untuk berlari, angka kalori yang dibakar, jarak yang berjaya dilakukan (dalam kilometer), sasaran langkah sebulan, jumlah anak tangga yang sudah dinaiki, dan kiraan untuk bermain treadmill.

 

 

RUMUSAN

Secara keseluruhan, kami mendapati Olike WeLoop Neo Pro dapat memenuhi kehendak pengguna yang inginkan seutas jam pintar kecergasan profesional. Harga yang tidak begitu tinggi masih lagi boleh dipertimbangkan oleh semua orang.

Olike WeLoop Neo Pro dikhabarkan mampu bertahan di kedalaman air sedalam 30 meter tanpa sebarang masalah. Ia juga dipadankan panel paparan tahan lasak dengan pengiktirafan 7H (kekerasan).

Pro
  • Harga berpatutan
  • Ringan dan selesa dipakai
  • Bateri tahan lama
  • Tiada wayar berselirat semasa proses pengecasan
  • Pilihan warna dalam merah dan putih
Kontra
  • Berbadan tebal
  • Skrin tidak terang
  • Panel gelas mudah calar
  • Tali sukar dibuka

 

Unboxing! Olike WeLoop Neo Pro ↓↓↓

 

 

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here