**********

Peranti Terawal Sokong Pengimbasan Cap Jari Dalam Paparan (In-Display Fingerprint Scanning)

Semakin berkembangnya teknologi hari ini, semakin berteknologi telefon pintar yang dihasilkan! Salah satunya adalah vivo X21 yang menjadi bualan hangat apabila menjadi di antara telefon terawal diperkenalkan hadir dengan sokongan cap jari dalam paparan (In-Display Fingerprint Scanning). Menawarkan paparan skrin dengan nisbah 19:9, vivo turut menyediakan teknologi penggambaran dwi-kamera dengan beberapa ciri-ciri menarik! Ingin mengetahui apakah keistimewaan yang ditonjolkan pada telefon pintar ini, lihat ringkasan yang disediakan ini.

:: 10 CIRI-CIRI MENARIK VIVO X21 ::

 

01 Pengimbasan Cap Jari Dalam Paparan

Pengimbasan Cap Jari Dalam Paparan (In-Display Fingerprint Scanning)

vivo X21 adalah antara model terawal yang hadir dengan teknologi biometrik baharu iaitu sistem pengimbas cap jari dalam paparan (In-Display Fingerprint Scanning), selain pengecaman wajah yang dikenali sebagai AI Face Access. Ia mampu membuka peranti lebih pantas hanya 0.1 saat sahaja.

Pengecaman Wajah

 

02 Penggambaran Dwi-Kamera AI

Ini bukanlah peranti dwi-kamera pertama keluaran vivo kerana sebelum ini, vivo pernah hadir dengan peranti dwi-kamera pada model V9. Menawarkan lensa beresolusi 24MP + 15MP dengan sokongan PDAF, ini mampu menghasilkan gambar yang lebih cerah dengan dinamik warna yang lebih baik walaupun dalam pencahayaan rendah.

 

03 24MP AI Face Beauty

Sokongan teknologi AI Face Beauty pada kamera swafoto X21 dilihat sebagai perintis swafoto yang sempurna. Ia mampu mengesan jantina, umur, warna kulit dan tekstur serta persekitaran pencahayaan yang mampu memberikan pengalaman berswafoto yang lebih sempurna dan semula jadi kepada kaki swafoto.

 

04 AR Sticker

Bagi memberi lebih keseronokan semasa mengambil gambar, telefon pintar ini telah hadir dengan pelekat AR yang menarik untuk digunakan. Pengguna boleh memilih pelekat yang disukai sebelum mengambil gambar menggunakan kamera utama ataupun swafoto.

 

05 AI Game Mode

Bagi mengelakkan pelbagai gangguan semasa bermain permainan mudah alih, X21 dilengkapi dengan ciri yang dipanggil AI Game Mode. Mod ini akan diaktifkan sebaik pengguna membuka permainan, dalam masa sama akan menyekat sebarang mesej dan panggilan yang masuk. Ia bermakna pengguna masih menerima panggilan dan mesej, tetapi diletakkan sebagai notifikasi latar belakang.

 

06 AI Smart Engine

AI Smart Engine akan mempelajari corak penggunaan anda dan secara automatik akan memastikan pengalaman penggunaan yang optimum. Ini bermakna ia mampu menjangka apa yang anda ingin lakukan dan dalam masa yang sama menjanjikan bukaan aplikasi 20% lebih pantas.

 

07 Paparan Skrin Penuh 19:9

Sebelum ini, vivo V9 menggunakan skrin bersaiz 6.3 inci tetapi berbeza pula dengan X21 yang menampilkan paparan berukuran 6.28 inci Super AMOLED. Masih mengekalkan nisbah 19:9, telefon pintar ini hadir dengan rekaan nisbah skrin-ke-kerangka 90.3% bersama bezel-less 1.66mm yang masih sesuai dipegang dengan sebelah tangan.

 

08 Pemproses Berkuasa

vivo X21 adalah sebuah telefon pintar yang tidak hanya memfokuskan kepada fungsi multimedia sahaja, tetapi sesuai kepada mereka yang mementingkan prestasi sesebuah peranti. Dibekalkan dengan RAM 6GB dan storan 128GB, telefon pintar ini telah dikuasakan oleh Snapdragon 660 berkelajuan Octa Core 2.2GHz serta dioperasikan oleh Android 8.1 Oreo.

 

09 Audio HiFi

Selain menitik beratkan fungsi penggambaran, vivo juga masih memberi perhatian buat penggemar muzik. Telefon pintar ini dilengkapi dengan cip audio berteknologi Hi-Fi AK4376A yang mampu menghasilkan audio yang kedengaran lantang serta sedap didengar. Malah, kehadiran teknologi Deepfield pula dapat meningktkan vokal dan menguatkan bass apabila berada dipersekitaran bising.

 

10 Always On Display (AOD)

Ciri ini sangat menarik kerana ia memudahkan anda melihat informasi penting seperti masa, tarikh dan notifikasi dengan lebih pantas dan senang kerana apabila fungsi ini diaktifkan, paparan akan sentiasa aktif memaparkan data tersebut. Di samping memaparkan masa, pengguna juga boleh melihat peratus bateri yang tinggal.

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here