[WWDC 2018] Kenali 14 Fungsi Dan Ciri Baharu Yang Menarik Didalam iOS 12

607
**********

Acara WWDC 2018 telah berlangsung di San Jose, California baru-baru ini. Acara ini sebenarnya sangat dinanti-nantikan oleh banyak pihak terutamanya pengguna produk Apple dan para pembangun untuk bersedia dengan sistem operasi terbaru ini. Bagaimanapun untuk iOS 12, pihak Cupertino tidak banyak membuat pembaharuan daripada segi antaramuka, tetapi memberi perhatian penuh daripada prestasi, kelajuan, dan kecekapan sistem perisian tersebut. Kemas kini iOS 12 merangkumi hampir kesemua peranti iPhone bermula daripada iPhone 5s. Antara fungsi dan ciri yang diketengahkan dalam iOS 12 ialah:

1. Sistem Operasi Lebih Pantas Sehingga 70 Peratus

Seperti biasa, setiap kemas kini versi iOS terbaru pihak Apple amat mementingkan kepantasan dalam pengoperasian. Apa yang dimaklumkan iOS 12 akan menyokong peranti bermula daripada iPhone 5s. Dalam pengenalan tempoh hari Apple telah menguji iPhone 6 dimana peranti itu berjaya dioperasikan lebih baik seperti 40 peratus lebih laju dalam membuka aplikasi, 50 peratus dalam membuka papan kekunci, dan 70 peratus lebih pantas apabila mengakses kamera.

2. Sistem Notifikasi Yang Lebih Terurus

Jika sebelum ini notifikasi pada lockscreen iPhone boleh dikatakan tidak kemas dan agak berserabut. Melalui iOS 12, anda boleh menyemak kandungan notifikasi misalnya WhatsApp daripada seseorang atau kumpulan dalam tab yang berlainan. Anda juga boleh menguruskan notifikasi tersebut sama ada untuk dimatikan terus pada lockscreen tanpa perlu masuk kedalam aplikasi tersebut.

3. Do Not Disturb Mampu Sembunyikan Notifikasi Pada Lockscreen

Fungsi Do Not Disturb kini berupaya untuk menyembunyikan kandungan notifikasi pada lockscreen. Fungsi ini dicadangkan apabila penggun ingin masuk tidur bertujuan untuk mengelakkan notifikasi diperiksa apabila terjaga pada waktu malam. Selain itu, ia dapat memberikan kualiti tidur yang lebih baik kepada pengguna serta dapat menjaga privasi. Do Not Disturb boleh dijadualkan mengikut pilihan masa yang ditetapkan.

4. iBooks dijenamakan semula kepada Apple Books

Pada iOS 12 ini, Apple telah menjenamakan semula aplikasi iBooks kepada nama baharu iaitu Apple Books. Melaluinya, pengguna ditawarkan satu tab tambahan dinamakan Book Store bagi memudahkan proses carian dilakukan.

5. News dan Stocks Ditambah Baik

Bagi mendapatkan kandungan berita mengikut saluran yang berbeza, aplikasi News telah menerima sokongan tab Browse. Ia turut ditambah baik dengan integrasi Stocks bagi memudahkan pengguna mendapat informasi berkaitan dengan saham. Terdapat sokongan graf disediakan untuk membantu anda memantau maklumat dengan lebih jelas. Pada masa akan datang, ia juga akan dimasukkan ke dalam iPad.

6. Photos Kini Menyokong Fungsi Carian Dan Fungsi ‘For You’

Apa yang menarik pada aplikasi Photos pula ialah fungsi carian yang lebih mudah dan lebih pintar. Anda boleh menaip kata kunci untuk mencari gambar yang berkaitan dalam masa sama ia turut menyokong kaedah perkongsian gambar yang lebih baik. Fungsi ‘For You’ pula akan memaparkan pilihan kategori yang berbeza seperti Memories, Featured Photo, Effects Suggestion, dan Shared Album Activity.

7. Voice Memos Yang Menyokong iCloud

Satu lagi aplikasi yang menerima pembaharuan dalam iOS 12 ini ialah Voice Memos. Antaramuka untuk aplikasi ini telah hadir dengan lebih praktikal untuk digunakan. Menerusi sambungan sync menggunakan iCloud, pengguna boleh mendengar rakaman audio terus dimana-mana peranti yang menggunakan akaun yang sama. Aplikasi Voice Memos juga akan diperkenalkan pada peranti iPad pada masa akan datang melalui iOS 12.

8. Siri Dikemas Kini Dengan Fungsi Shortcut

Kemas kini iOS 12 dikatakan akan membawakan ciri Shortcut pada Siri. Selepas ini arahan suara yang tertentu daripada aplikasi pihak ketiga boleh digunakan pada Siri. Misalnya, anda boleh memberi arahan kepada Siri untuk mencari kunci yang telah dipasang dengan alat penjejak iaitu Tile. Disamping itu, Siri juga berfungsi untuk memberi cadangan kepada individu lain sekiranya anda terlewat untuk menghadiri janji temu.

9. Apple CarPlay Dengan Sokongan Aplikasi Pihak Ketiga

Atas permintaan ramai, Apple kini menawarkan Apple CarPlay dengan sokongan aplikasi pihak ketiga. Jadi, selepas ini anda boleh menggunakan aplikasi navigasi alternatif selain Apple Maps seperti Waze, Google Maps, dan sebagainya didalam kereta.

10. Pantau Penggunaan Aplikasi Dengan Fungsi Screen Time

Didalam iOS 12, Apple telah memperkenalkan fungsi Screen Time dimana ia boleh diakses anda untuk memantau masa dihabiskan untuk sesuatu aplikasi. Fungsi ini akan meletakkan setiap aplikasi yang digunakan kedalam kategori yang berbeza seperti games, media, social dan lain-lain. Fungsi ini juga boleh digunakan untuk anda menjejaki aplikasi mana yang paling banyak menerima notifikasi. Selain untuk mengelakkan kecenderungan kepada sesuatu aplikasi, anda boleh menetapkan peruntukan masa serta notis pemberitahuan akan dihantar sekiranya melebihi kuota yang ditetapkan.

11. Pengalaman AR Yang Dipertingkat

Bagi memberikan pengalaman AR yang lebih baik kepada pengguna, Apple telah bekerjasama dengan Pixar. Aplikasi AR yang dinamakan USDZ kini dioperasikan diatas format fail baru yang direka khusus. Pembangunan aplikasi AR ini turut mendapat bantuan daripada syarikat terkenal seperti AutoDesk, Adobe, dan Sketchfab. Menariknya, Apple dalam masa sama telah memperkenalkan aplikasi baharu dikenali sebagai ‘Measure’. Aplikasi ini berfungsi untuk mengukur panjang sesuatu barang menggunakan teknologi berasaskan AR.

12. Karakter Tambahan Untuk Animoji

Pada iOS 11, iPhone X telah ditawarkan dengan fungsi Animoji yang membolehkan anda menggunakan gerak-wajah untuk mimik muka emoji. Jadi untuk iOS 12 ini, Apple telah menambah beberapa karakter baharu seperti Beruang Koala, Hantu, T-Rex, dan Harimau. Tambahan, Animoji juga kini menyokong pergerakan lidah yang sebelum ini tidak ada.

13. Cipta Avatar Tersendiri Menggunakan Memoji

Bagi memberikan pengalaman hiburan yang lebih banyak, Apple telah memperkenalkan Memoji untuk iOS 12. Fungsi ini berupaya untuk anda mencipta avatar tersendiri mengikut citarasa, malah Memoji juga boleh di-kustom mengikut seperti memilih bentuk wajah, warna kulit, jenis rambut, dan pelbagai lagi. Fungsi seakan Memoji pernah diperkenalkan sebelum ini oleh Samsung pada AR Emoji.

14. Face Time Kini Menyokong Sehingga 32 Orang

Setelah sekian lama Face Time diperkenalkan didalam sistem iOS. Baru kali ini Apple mengemas kini ia dengan sokongan panggilan lebih daripada satu individu. Face Time pada iOS 12 kini boleh membuat panggilan secara berkumpulan sehingga 32 orang dalam satu-satu masa. Ciri yang ditunggu-tunggu ramai ini sekaligus dapat memberikan pengguna di platfom iOS berinteraksi dengan lebih menyeluruh. Bagi menjadikan perbualan berkumpulan lebih terurus, tetingkap akan dibesarkan sekiranya pengguna tersebut mula bercakap. Disamping itu, setiap pengguna Face Time bebas untuk menggunakan efek emoji termasuk penggunaan Animoji dan Memoji.

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here