**********

Apa Itu My Cloud Home?

Western Digital merupakan peneraju dalam bidang teknologi data storan yang berasal dari Amerika Syarikat. Mereka ini juga sangat pakar dalam kejuruteraan pemacu cakera keras (HDD), jadi apa sahaja yang berkaitan storan komputer, Western Digital kekal menjadi pilihan utama para pengguna.

Baru-baru ini kami menerima satu produk daripada Western Digital Malaysia iaitu sebuah alat storan awan yang dipanggil My Cloud Home. Alat ini berfungsi sebagai ‘bank’ untuk gambar, video dan fail-fail dengan kapasiti storan sebesar 2TB hingga 8TB (1000GB=1TB). Dengan saiz sebesar kamus dewan bahasa, ia sangat sesuai untuk diletakkan di sekitar ruang di dalam rumah dengan reka bentuk tampak kemas.

Mengambil gambar dan merakam video adalah menjadi rutin harian kepada kebanyakan pengguna telefon pintar masa kini. Jadi untuk menyimpan kandungan tersebut dengan lebih selamat ialah menyimpannya di My Cloud Home. Ini merupakan cara paling terbaik untuk mengelakkan gambar, video dan fail daripada hilang tanpa bayang. Bukan kata menyimpan di telefon pintar sendiri tidak selamat, cuma apabila telefon tersebut hilang, maka gambar dan sebagainya juga turut hilang. Paling membimbangkan ialah kandungan yang disimpan di telefon pintar berisiko untuk diihat oleh individu lain.

Tawaran Harga Jualan

  • 2TB – RM739
  • 3TB – RM839
  • 4TB – RM1,059
  • 6TB – RM1,459
  • 8TB – RM1,799

 

Pek Pembungkusan

 

Bagaimana Rupanya…

Terdapat dua jenis permukaan yang ada pada produk ini. Pada sebelah atas ia menggunakan bahan plastik yang berkilau berwarna putih, sementara pada bahagian bawah plastik dikemaskan dengan tekstur untuk menampakkan ia lebih premium.

Dari sudut atas pula, perumah My Cloud Home dibina dengan corong udara bertujuan untuk sistem penyejukan sama seperti di permukaan lantainya. Namun, pada pandangan kami melalui ruang corong yang luas ini membolehkan kotoran habuk mudah untuk dimasuki.

Dengan berat yang dianggarkan sekitar sekilogram, My Cloud Home mampu berdiri dengan stabil, terima kasih kepada dua kepingan getah di bahagian bawah perumah.

Oleh kerana produk ini tidak menyediakan sebarang butang untuk ditekan, ia hanya boleh dihidupkan melalui palam kuasa sahaja. Selain itu, terdapat bicu sambungan LAN (internet), dan satu bicu USB-A di samping satu butang kecil (reset) di sebelah belakang.

 

Cara Menghidupkan My Cloud Home…

1) Sambungkan wayar kuasa dan LAN daripada router.

 

2) Tunggu sehingga 10 minit untuk memastikan My Cloud Home memuat turun perisian yang terbaru (lampu ambien akan berkelip).

 

3) Sambil menunggu, masuk ke pautan My Cloud Home atau muat turun aplikasi My Cloud di telefon pintar. Buka aplikasi dan daftar sebagai akaun baharu atau log masuk (jika ada akaun).

 

4) Proses sambungan ke My Cloud Home boleh diteruskan dengan menekan ‘Continue’.

 

5) Masukkan nombor pin yang tertera di bahagian bawah perumah My Cloud Home untuk pengesahan.

 

6) Masukkan maklumat diri serta kata laluan, sedikit tutorial selepas sambungan berjaya dilakukan.

 

7) Hidupkan ‘Auto Backup’ bagi membolehkan My Cloud Home menerima semua gambar, video dan fail daripada telefon pintar. Menu utama bersedia untuk memuat turun fail-fail gambar dan video daripada telefon pintar.

 

Apa Yang My Cloud Home Mampu Buat?

  • Auto backup untuk semua gambar dan video daripada telefon pintar.
  • Pemindahan fail dengan pantas daripada My Cloud Home kepada pemacu USB melalui USB 3.0 (pemindahan hanya boleh dibuat apabila pemilik akaun menerima notifikasi dairpada aplikasi).
  • Backup akaun sosial dengan pergi ke tetapan Settings/Manage/Services/Social. Selepas selesai dengan tetapan, segala perubahan pada fail membabitkan akaun sosial awan akan dikemas kini ke My Cloud Home.
  • Backup PC dan komputer Mac menggunakan Windows Backup dan Time Machines dengan memilih My Cloud Home sebagai lokasi selamat.
  • Akses segala kandungan apabila anda berada di luar rumah menerusi My Cloud Home pada telefon pintar atau MyCloud.com di pelayar.
  • Kongsi fail secara individu di dalam peranti iOS dan Android melalui aplikasi, selain kongsi pautan pada PC atau Mac menggunakan MyCloud.com.
  • Segala kandungan yang dimuat naik antara penerima dan penghantar akan kekal privasi. Mereka tidak boleh melihat kandungan yang lain.

 

My Cloud Home Kurang Baik Disebabkan…

Kami agak teruja dengan kebolehan My Cloud Home menyalin fail-fail dengan pantas, ia mudah untuk digunakan lantas tidak perlu risau akan storan kerana ia sudah cukup besar untuk menampung hampir 6,000,000 gambar dalam satu-satu masa.

Namun, apa yang menjengkelkan ialah proses memuat naik gambar tidak memaparkan sebarang notifikasi mengatakan fail telah berjaya dihantar. Dalam masa sama, ia mengelirukan pengguna seperti kami untuk mengetahui fail tersebut sudah disalin ataupun tidak. Tanpa notifikasi, kami sebenarnya telah menyalin fail yang sama berulang kali.

Kami menganggap ini cuma isu kecil yang boleh diperbaiki melalui kemas kini perisian akan datang. Bagaimanapun, gambar yang dipilih untuk dimuat naik telah berjaya disimpan di dalam My Cloud Home dengan pantas. Gambar tersebut boleh dilihat di halaman ‘Photo’ dan ‘File’ mengikut cara pengguna ingin menguruskannya.

Selain itu halaman ‘Activity’ boleh digunakan untuk mengajak rakan atau ahli keluarga mengakses storan untuk melihat gambar kenangan bersama-sama.

 

Selain itu…

Halaman tetapan pula membolehkan pengguna menguruskan akaun termasuk menukar kata-laluan, mengaktifkan pengimbas cap jari dan membersihkan cache.

Di dalam aplikasi ini juga ia menyediakan informasi mengenai storan yang digunakan, bilangan akses pengguna, versi perisian dan sebagainya.

Oleh kerana tiada butang fizikal disediakan pada My Cloud Home, kami telah menggunakan butang maya di dalam aplikasi untuk mematikan My Cloud Home. Ini bermakna ia boleh dinyah aktif dari jauh pada bila-bila masa di mana sahaja.

 

KESIMPULAN…

Western Digital My Cloud Home sememangnya peranti storan berasaskan awan yang terkini berada di pasaran. Ia juga dipasarkan dengan harga yang kompetitif dan tidak terlalu mahal. Produk ini sangat berbaloi untuk diletakkan di rumah sebagai ‘peti besi’ untuk gambar-gambar, video dan fail-fail digital.

Bagi kami storan sebesar 3TB (unit reviu) sudah memadai untuk digunakan secara kasual. Ia juga didatangkan dengan storan bermula daripada 2TB sehingga 8TB bergantung kepada kehendak pengguna. Harga yang ditawarkan untuk My Cloud Home pula bermula daripada RM739 sehingga RM1,799 seunit.

Berminat, boleh beli di Lazada dan 11street.

 

Unboxing! WD My Cloud Home ↓↓↓

 

 

 

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here