**********

Jika pada bulan April lalu Xiaomi memperkenalkan Redmi Note 5 ke pasaran Malaysia, kini tiba pula giliran ASUS menampilkan ZenFone Max Pro (M1). Peranti ini merupakan sebuah telefon pintar kelas pertengahan yang menawarkan spesifikasi yang agak menarik pada harga lebih rendah jika dibandingkan dengan pencabarnya, Xiaomi.

Baca Juga:

 

Mari kita lihat apa yang ada pada ASUS ZenFone Max Pro (M1)

Skrin 18:9 6-inci FHD+

Memang sudah menjadi tren skrin memanjang ini digunakan pada telefon pintar tidak kira murah atau mahal telefon tersebut, semuanya skrin besar tanpa sebarang butang di depan.

Paparan IPS LCD ini membawakan resolusi 2160 x1080 piksel dengan keterangan maksimum 450 nit. Skrin ini juga hadir dengan panel melengkung 2.5D.

 

Badan Logam Berkualiti Tinggi

Sekali pegang, boleh rasa yang peranti ini gunakan bahan logam berkualiti tinggi. Reka bentuk yang melengkung di bahagian tepi mudah untuk digenggam malah posisi pengimbas cap jari juga tidak terlalu tinggi untuk dicapai.

Modul kamera utama pula tidak kelihatan hodoh dan posisi ia diletakkan agak kemas di sudut atas.

 

Speaker Dengan 5 Magnet

Walaupun dijual pada harga yang rendah, sistem audio masih dititik beratkan melalui lima magnet speaker dan penguat pintar NXP.

Dikatakan, speaker ini lebih kuat dan mantap dalam memainkan suara malah ia antara telefon pertama di bawah harga RM1,000 yang menggunakan teknologi ini.

 

Kamera Utama 13 MP + 5 MP (Bokeh)

Kamera belakang pada ZenFone Max Pro (M1) lengkap dengan gabungan dwi kamera 13 Megapiksel dan 5 Megapiksel. Kamera ini mampu fokus dengan lebih cepat melalui PDAF (autofokus pengecaman fasa). Selain itu, LED flash terletak di sebelah bawah modul kamera utama.

Antaramuka kamera pada peranti ini dikuasakan Snapdragon Camera yang mana ia mudah untuk digunakan.

Pengguna yang ingin melakukan tetapan boleh memilih mod di senarai di sebelah kiri skrin tanpa perlu masuk ke bahagian demi bahagian seperti kebanyakan telefon pintar lain.

 

Kamera Depan 8 MP

Kamera depan diberikan sensor sehingga 16 Megapiksel, namun untuk varian di Malaysia ia hanya didatangkan dengan sensor 8 Megapiksel.

Kami tidak cuba untuk berswafoto tetapi menurut ASUS Malaysia, kamera depan ini mampu mengambil gambar swafoto dengan efek bokeh (latar belakang kabur) dengan baik.

Ciri lain yang didatangkan bersama ialah Softlight LED flash untuk swafoto yang terang di persekitaran yang gelap.

 

Android 8.1 Oreo Dengan Antaramuka Asli

Cip pemproses Qualcomm Snapdragon 636 diguna pakai pada peranti ini, ia sekaligus menyokong kelancaran dalam permainan bergrafik tinggi yang sesuai untuk kaki gamer di luar sana.

Tiada lagi bloatware seperti dulu, laci aplikasi juga mudah diuruskan dan yang paling penting menerusi Android asli ini pengguna akan menerima kemas kini terbaru dari masa ke semasa.

 

Bicu Audio Dan MicroUSB

Bicu untuk pengecasan dan pemindahan data menggunakan unit microUSB dan bukan USB Type-C.

Bagi pengguna yang gemar mendengar muzik, peranti ini masih menawarkan bicu audio 3.5mm.

 

Slot Kad Triple

Tidak setakat itu, ZenFone Max Pro (M1) turut menawarkan slot kad triple yang boleh memuatkan dua SIM nano dan satu kad microSD.

Slot kad ini terletak di sisi kiri kerangka peranti.

 

Butang Utama

Seperti biasa butang laras suara yang ergonomik terletak di sebelah sisi kanan kerangka. Di bawahnya pula, butang hidup/kunci dengan tekstur berpusar untuk tujuan kosmetik.

 

Bateri 5,000mAh Untuk 12 Jam Permainan

Satu lagi keupayaan pada peranti ini ialah kapasiti bateri yang besar iaitu 5,000mAh yang dikatakan mampu memberikan tempoh bermain game selama 12 jam 30 minit atau waktu berbual menggunakan rangkaian 3G sehingga 42 jam.

Menurut ASUS, bateri ini boleh dicas penuh dari 0 hingga 100 peratus dalam masa 2 jam 40 minit berbanding Xiaomi Redmi Note 5 dengan masa melebihi 3 jam.

 

ULASAN…

Secara ringkas, ASUS berjaya mengeluarkan peranti yang sarat dengan fungsi-fungsi diperlukan oleh pengguna. Tidak dinafikan, perkakas yang dimasukkan agak baik dan tidak seperti peranti siri ZenFone Max yang terdahulu atau siri dalam kategori yang sama. Dengan harga tawaran yang lebih kompetitif, telefon ini dijangka akan menambat semula hati para peminat ASUS yang telah beralih ke jenama lain.

Sementara, untuk pengguna yang inginkan telefon semua-dalam-satu di bawah RM1,000, anda boleh senaraikan ASUS ZenFone Max Pro (M1) ini di dalam wishlist untuk dipertimbangkan. Apa yang pasti dengan penurunan kadar GST kepada sifar, sekurang-kurangnya harga untuk semua peranti menjadi lebih rendah berbanding sebelum ini.

 

Unboxing! ASUS ZenFone Max Pro (M1) ↓↓↓

 

 

 

 

 

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here