Monitor, CPU & Aksesori Turut Dilancarkan Di Persidangan Acer NextAcer 2018

457
**********

Selain komputer riba, Acer turut hadir dengan monitor, CPU dan juga beberapa aksesori baru semasa pelancaran tersebut. Di antara model yang diperkenalkan adalah Acer Predator Orion 5000, Acer Predator Orion 3000, Acer Nitro 50, Acer Nitro VG0 dan RG0. Manakala aksesori pula adalah Acer Predator Cestus 510, Acer Predator Aethon 500, Acer Predator Gaming Chair serta Acer Predator Hard Case.

Acer Predator Orion 5000

Acer Predator Orion 5000 merupakan model alternatif bagi Predator Orion 9000 yang diperkenalkan secara rasmi di Malaysia pada November 2017. Dikuasakan oleh pemproses Intel Core i7+ 8700K, ia hadir dengan sokongan untuk storan Intel Optane berkapasiti 32GB, memori DDR4 64GB dan juga pilihan storan SSD NVMe. Dari segi grafik, CPU ini menyokong dua kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080 Ti untuk prestasi maksima. Hadir dengan sistem penyejukan IceTunnel 2.0 yang dibahagikan kepada beberapa bahagian bagi memastikan setiap komponen di dalam komputer ini disejukkan secara cekap.

Acer Predator Orion 3000

Manakala Acer Predator Orion 3000 pula menawarkan spesifikasi lebih rendah berbanding Predator Orion 5000. Menampilkan rekaan seakan sama, perbezaan utama yang dapat pada peranti ini adalah pemproses yang digunakan iaitu Intel Core i7+ dengan penggunaan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080.

Acer Nitro 50

Peranti ini menawarkan spesifikasi cukup berkuasa di mana menyokong pemproses Intel Core i7 Coffee Lake, manakala sokongan untuk memori pula adalah SSD 512GB dan cakera keras sebesar 3TB. Dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070, ia mampu menyokong permainan komputer beresolusi 1440p ataupun 4K. Selain boleh dibuka dengan mudah untuk membolehkan pengguna mengubahsuai spesifikasi dalaman apabila perlu, Nitro 50 juga hadir dengan sokongan lampu LED berwarna merah.

Acer Nitro VG0 & RG0

Acer Nitro VG0 dan RG0 adalah monitor yang hadir dengan paparan skrin khas untuk gaming serta menyokong teknologi paparan AMD FreeSync. Nitro VG0 adalah model yang lebih premium di antara kedua-dua model ini kerana hadir dengan kadar segar semula (refresh rates) 144Hz serta pilihan untuk resolusi 4K, WQHD dan juga Full HD. Selain itu, model ini juga hadir dengan tiga pilihan paparan skrin bersaiz 21.5 inci, 23.8 inci dan 27.1 inci yang boleh dipilih mengikut keperluan anda.

Paparan Acer Nitro RG0 pula hanya menampilkan resolusi Full HD dengan kadar segar semula (refresh rates) 75Hz yang sesuai untuk bermain permainan komputer seperti CS: GO, DoTA 2 dan League of Legends. Kedua-dua skrin Acer Nitro VG0 dan RG0 ini menggunakan paparan IPS yang memberikan pengguna sudut penglihatan 178 darjah. Terdapat pelbagai sokongan port seperti VGA, HDMI dan DisplayPort membolehkan pengguna menyambungkan pelbagai peranti kepada skrin ini.

Acer Predator Cestus 510

Tetikus gaming ini hadir dengan beberapa bahagian yang boleh ditanggal serta menawarkan pemberat yang boleh digunakan untuk kesesuaian permainan anda. Selain itu, ia juga menggunakan sensor optikal yang mampu menyokong sehingga 16000 dpi yang membolehkan pemain menukar tahap halangan klik berdasarkan kepada permainan yang dimainkan.

Acer Predator Aethon 500

Papan kekunci mekanikal Predator Aethon 500 menggunakan suis mekanikal Cherry MX yang mana hadir dengan 70 juta tekanan kekunci dan mempunyai sokongan untuk sistem penyalaan LED RGB.

Acer Predator Gaming Chair

Kerusi gaming yang diperkenalkan ini menjanjikan keselesaan bermain permainan komputer buat jangka masa panjang dengan kusyen yang boleh menyokong belakang anda dengan selesa.

Acer Predator Hard Case

Kotak penyimpanan Acer Predator bukan sahaja hadir dengan rekaan luaran yang tahan lasak, tetapi juga mempunyai span di dalamnya yang boleh diubahsuai mengikut keperluan penyimpanan peranti gaming anda. Bagi memudahkan anda membawanya ke mana sahaja, jadi ia disedia dengan roda.

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here