**********
Huawei nova 2 Lite

Dalam beberapa minggu ini kami dapati ramai di antara pembaca eRing telah bertanyakan soalan mengenai perbezaan antara peranti Huawei nova 2 Lite dan honor 9 Lite. Kedua-dua peranti ini telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan yang sama iaitu bulan Mac 2018.

honor 9 Lite

Memang benar, agak payah bagi mereka yang berminat untuk membeli kerana kedua-dua peranti dijarakkan dengan harga yang sedikit sahaja. Maka dengan itu, di bawah ini kami ada sertakan beberapa perkara yang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan atau membantu anda membuat pilihan manakah yang patut dibeli.

Baca Juga:

 

SAIZ

Huawei nova 2 Lite dipadankan dengan skrin 5.99-inci dengan berat 155g dan setebal 7.8mm, sementara honor 9 Lite direka dengan skrin 5.65-inci dengan berat 149g serta tebal kurang 0.2mm (tebal kertas A4).

Ini bermakna peranti honor lebih ringan dan kecil malah ia juga lebih nipis berbanding lawannya.

 

KESELESAAN

Telefon pintar bukan sahaja bergantung pada perkakasan yang dimuatkan tetapi ia juga perlu dilihat daripada segi lain, salah satunya ialah keselesaan semasa memegang peranti. Kami merasakan dalam aspek ini ia perlu diberikan kepada peranti honor kerana rekaan perantinya agak kompak dan mudah untuk digenggam.

Ibu jari juga mudah dicapai sehingga atas skrin sekaligus memudahkan bar notifikasi diturunkan, sementara untuk peranti Huawei ia memerlukan dua belah tangan untuk dioperasikan.

 

PAPARAN

Kualiti paparan memainkan peranan semasa menggunakan telefon. Semakin tinggi resolusi atau piksel, semakin jelas paparan dihasilkan. Di sini, honor 9 Lite mendahului kedudukan dengan paparan skrin beresolusi FHD+, manakala Huawei nova 2 Lite hanya terhad kepada resolusi HD+ sahaja.

Peranti honor juga menghasilkan keterangan yang lebih tinggi, maka ia juga lebih mudah untuk dilihat dan digunakan di bawah sinaran matahari. Selain itu, paparan pada peranti Huawei sedikit kuning (warm) dan tidak selesa digunakan semasa pencahayaan yang terang, walau bagaimanapun ia baik jika digunakan pada persekitaran yang gelap.

 

KAMERA

Bahagian kamera merupakan aspek yang paling penting sewaktu pemilihan dibuat. Ketersediaan dwi-kamera di masa kini sudah menjadi kebiasaan termasuklah peranti Huawei nova 2 Lite, yang tidak biasa pula ialah konfigurasi kuad-kamera (empat kamera) yang terdapat di peranti honor 9 Lite.

Untuk jabatan kamera kami lebih tertarik pada peranti honor disebabkan kualiti gambar lebih jelas dan lebih cantik dihasilkan, malahan dwi-kamera depan juga menyokong efek bokeh yang membolehkan swafoto diambil dengan latar belakang kabur.

 

PEMPROSES

Untuk dua peranti ini, Huawei diberikan cip pemproses Snapdragon 430 manakala honor dibekalkan cip pemproses Kirin 659. Dua cip ini berbeza sekali daripada segi teknologi, Kirin 659 jauh lebih baik berbanding cip Snapdragon 430.

Melalui ujian penanda aras yang dilakukan, jelas menunjukkan honor 9 Lite lebih lancar dan pantas dengan memperolehi skor lebih 60% berbanding Huawei nova 2 Lite.

 

SLOT SIM

Honor 9 Lite menyediakan slot hibrid yang membolehkan pengguna memasukkan dua SIM dalam satu-satu masa atau satu SIM dan satu kad microSD. Ia tidak begitu mesra pengguna jika seseorang itu mempunyai dua SIM dan kad microSD untuk digunakan sekaligus.

Bagaimanapun, perkara ini tidak terjadi kepada Huawei nova 2 Lite kerana peranti ini memiliki tiga slot lantas pengguna boleh memuatkan kad microSD di samping dua SIM yang aktif.

 

FUNGSI MIRROR SHARE

Mirror Share merupakan fungsi di mana pengguna boleh menyambungkan kandungan paparan pada telefon pintar kepada skrin televisyen atau dekoder (Set-Top-Box) di rumah.

Proses mengaktifkan kongsian paparan boleh dibuat melalui sambungan WiFi yang sama dan ia sebenarnya memerlukan TV pintar dan bukan TV konvensional. Jadi kebolehan ini hanya terdapat pada peranti honor 9 lite sahaja.

 

PENGECAMAN WAJAH

Sistem pengecaman wajah atau lebih dikenali sebagai Face Unlock adalah salah satu fungsi keselamatan yang terkini. Semakin banyak peranti di pasaran menawarkan sistem ini, malah ia juga turut diintegrasikan ke dalam peranti Huawei nova 2 Lite.

Tidak pula untuk honor 9 Lite, ia hanya menyediakan pengimbas cap jari sebagai sistem nyahkunci utama selain paten, PIN dan kata laluan.

 

HARGA

Harga merupakan faktor utama semasa pemilihan telefon pintar dibuat. Apa tidaknya, jika peranti tersebut dijual pada harga mencecah ribuan ringgit, sudah pasti ramai yang akan mempertimbangkannya dahulu.

Di samping itu, ada juga yang akan membatalkan hasrat dan memilih peranti yang dijual pada harga jauh lebih rendah. Bagi kedua-dua peranti honor 9 lite dan Huawei nova 2 Lite, ia dijual pada harga mampu milik iaitu serendah RM749 dan RM799.

 

WARNA

Walaupun kebanyakan aspek lebih memihak kepada honor 9 Lite, hanya tinggal satu sahaja yang boleh dimiliki oleh peranti Huawei iaitu warna.

Abaikan pantulan pada panel belakang ya…

Daripada segi kemasan, kami sangat kagum dengan warna biru yang ada pada peranti Huawei nova 2 Lite. Ia bukan hanya berkilau malah garisan dan jalur pantulan cahaya juga agak kemas dan tertatur sekaligus kelihatan seperti sebuah peranti premium.

 

Pilihan Kami Adalah…

Sepanjang menggunakan Huawei nova 2 Lite dan honor 9 Lite, kami mendapati kedua-dua peranti ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Harga yang dijual pula tidak jauh beza dan pada mulanya kami jangkakan dua peranti ini sukar untuk dibezakan.

Namun, selepas melakukan beberapa ujian seperti prestasi, paparan, rekaan dan sebagainya kami telah memilih honor 9 Lite sebagai pemenang keseluruhan. Peranti ini cukup baik jika ingin dibelanjakan. Bukan setakat harganya murah, keupayaan peranti ini boleh dibandingkan dengan peranti yang dijual dengan harga ribuan ringgit.

Jadi kepada sesiapa yang dah minat nak beli tu, selamat membeli!

Huawei nova 2 Lite
honor 9 Lite

 

Unboxing! honor 9 Lite ↓ ↓ ↓

 

 

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here