Reviu Eksklusif: Lenovo Yoga 720, Laptop Berkuasa Yang Boleh Dijadikan Tablet!

HARGA: RM5,919

Seiring dengan pelancaran Lenovo Star Wars Edition Yoga 920, Lenovo turut menawarkan dua model lain iaitu Yoga 520 dan Yoga 720. Baru-baru ini, eRing berkesempatan membuat reviu terhadap Lenovo Yoga 720.

Kebolehan laptop ini telah dinaik taraf yakni dahulunya komputer adalah alat untuk manusia dan peranti berinteraksi, hari ini Lenovo menganggap ianya sudah berubah kepada teknologi kecerdasan pintar membolehkan manusia sebenar berinteraksi dengan manusia maya.

Yoga 720 hadir dengan kemasan premium dengan bezel nipis bersaiz kompak 13.3-inci. Direka dengan tubuh badan nipis dan ramping, laptop ini dilengkapi dengan Active Pen, pengimbas cap jari dan pembantu digital Cortana. Perisian Windows 10 pula memberikan kelancaran semasa digunakan serta lensa kamera WorldView khusus untuk pengimejan tiga dimensi.

Lenovo sedia memasarkan siri Yoga ke pasaran Malaysia pada Disember tahun lepas. Laptop ini merupakan sebuah laptop yang boleh diubah menjadi sebuah tablet untuk produktiviti yang lebih menyeluruh kepada pengguna.

 

SPESIFIKASI

 

SET PEMBELIAN

 

REKAAN

Luaran
Yoga 720 dengan warna emas kusam

Reka bentuk Yoga 720 dibina dengan badan kompak berasaskan bahan aluminium berwarna emas (unit reviu) di luar dan di dalam, kecuali panel sebelah skrin yang menggunakan gelas hitam.

Rekaan laptop sesuai untuk mereka yang kerja di pejabat

Sebaik memegang laptop ini, ia terasa agak berat untuk saiz sepertinya dan licin disebabkan penggunaan kemasan warna kusam. Walaupun begitu, ia tidak mudah meninggalkan kesan cap jari.

Laptop boleh diubah menjadi mod khemah

Potongan berlian atau diamond-cut di sekeliling bucu menjadikan laptop ini tampak mewah dan tidak ‘kosong’ seperti sesetengah laptop di pasaran.

Mod Tablet memudahkan pengguna membuat kerja tanpa menggunakan papan kekunci

 

Engsel

Dua engsel yang diletakkan didapati ketat untuk membuka panel skrin, selain tiada potongan takuk untuk pengguna memasukkan jari. Jari sering tersasar setiap kali panel paparan ingin dibuka.

Engsel juga menggunakan bahan berasaskan aluminium

Secara keseluruhannya rekaan engsel yang dipadankan masih belum cukup ‘sempurna’.

 

Corong Angin

Oleh kerana laptop ini tidak dilengkapi kipas besar, beberapa corong angin telah disediakan dengan kedudukan berhampiran engsel.

Corong angin membenarkan udara panas keluar sekaligus menyejukkan perkakasan dalaman

Dengan adanya corong angin sebegini, ia sekaligus dapat mengelakkan laptop daripada mengalami kepanasan semasa beroperasi.

 

Spekaer Audio

Pengalaman hiburan pula diadunkan bersama teknologi speaker stereo yang ditala JBL dan Dolby Audio Digital.

Dua speaker berteknologi JBL pada sebelah kiri dan kanan laptop

Speaker yang diletakkan di bahagian bawah menghasilkan bunyi yang kurang lantang. Bagaimanapun, sebaik kandungan filem dibuka ia mampu memberikan bunyi sekeliling yang gemersik dan realistik.

 

Paparan

Berukuran 13.3” beresolusi FHD, Lenovo Yoga 720 boleh dikatakan agak baik dalam memaparkan kandungan video berkualiti tinggi. Sekali lagi, ia memiliki bezel yang nipis yang kemas lebih-lebih lagi skrin pula boleh disentuh.

Paparan yang jelas tetapi masih belum cukup tajam dan terang

Apabila ditukar kepada mod tablet, fungsi ini dapat membantu pengguna daripada menggunakan papan kekunci lantas memudahkan kerja.

 

Papan Kekunci

Rekaan setiap butang papan kekunci dibina dengan bentuk bujur ke bawah untuk memberikan sedikit kecantikan. Mekanisma butang juga agak solid untuk ditekan dan ia dijarakkan supaya pengguna berasa selesa semasa menaip.

Papan kekunci dibina untuk ergonomik bagi memberikan pengalaman menaip yang lebih selesa

Lampu backlit LED berwarna putih membolehkan pengguna menaip dalam keadaan gelap, di samping tidak mengeluarkan bunyi yang terlalu bising.

 

Pad Sesentuh

Antara kelebihan yang ada pada Yoga 720 ialah pad sesentuh-nya. Ia mudah untuk dikawal, malah permukaan pad juga terasa lembut untuk disentuh.

Pengguna diberikan pad sesentuh yang peka terhadap sentuhan selain ia juga bertindak tepat

Selama beberapa jam pad sesentuh digunakan, kami dapati jari tidak berasa kesat dan pad sesentuh masih dalam keadaan bersih. Butang klik kiri dan kanan disorokkan pada permukaan bawah pad sesentuh, selain ia juga peka terhadap setiap klik yang dibuat.

 

Kamera HD

Masih ramai pengguna di luar sana yang menggunakan kamera depan untuk berkomunikasi, jadi dengan Yoga 720 ia dibekalkan lensa kamera beresolusi HD.

Lensa kamera tidak menonjol dan ia disembunyikan di sebalik panel kaca

Tidaklah secantik kamera pada telefon pintar, tetapi sudah memadai untuk melayani Skype bersama kenalan. Kekurangannya ialah ia tidak didatangkan dengan penutup kamera sebaliknya pengguna harus melekapkan sesuatu untuk dilitupi.

Kualiti gambar memuaskan, bagaimanapun ia memerlukan cahaya yang terang bagi mendapatkan kualiti yang lebih baik.

Tujuan menutup kamera pula adalah untuk mengelakkan kamera digodam oleh individu tidak bertanggunjawab.

 

Keselamatan
Kedudukan pengimbas cap jari mudah dicapai dan dibina dengan kemas

Terdapat pengimbas cap jari di sebelah kanan-bawah papan kekunci. Pengimbas cap jari yang disediakan berfungsi sebagai sistem keselamatan yang dapat mengunci laptop daripada dibuka oleh individu lain.

Sistem biometrik perlu dibuat di bahagian Settings terlebih dahulu untuk mengaktifkannya

Oleh itu, pengguna tidak perlu risau lagi akan fail-fail yang disimpan di dalam sistem perkomputeran. Ia juga boleh digunakan untuk mengunci aplikasi-aplikasi tertentu.

 

 

PRESTASI

Setelah melihat pada ciri-ciri fizikal Lenovo Yoga 720, kita lihat pula kepada prestasi dalamannya.

Ujian CrystalDiskMark 6.0 untuk mengetahui kepantasan membaca fail

Ujian pertama yang dilakukan menguji Lenovo Yoga 720 dihidupkan serta dimatikan. Dengan berbekalkan jam randik digital, kami dapati laptop melakukannya dengan baik sekali – kami agak terkejut kerana ia tidak mengambil masa yang lama untuk dioperasikan sebaik butang hidup ditekan.

Ujian menggunakan UserBenchmark untuk mengukur prestasi cip pemproses dan grafik

Ujian seterusnya pula diteruskan kepada ujian penanda aras. Dengan pemproses Intel Generasi ke-8, keputusan single-core adalah sangat baik jika dibandingkan dengan keputusan multi-core.

Ujian menggunakan UserBenchmark untuk mengukur prestasi cip pemproses dan grafik
Ujian menggunakan UserBenchmark untuk mengukur prestasi cip pemproses dan grafik

Manakala untuk sistem grafik, ia menunjukkan prestasi yang baik. Kami pasti melalui kad grafik NVIDIA yang diguna pakai, ia mendorong laptop ini mendapat skor yang tinggi.

 

Bateri

Berdasarkan jadual yang tertera, Lenovo Yoga 720 mengambil masa yang singkat untuk bateri dipenuhkan. Adapter pengecasan juga didatangkan dengan saiz yang kecil yang mudah dibawa.

Disebabkan laptop ini direka nipis dengan ruang yang terhad, bateri di belakang tidak boleh dicabut ataupun dibuka.

 

KESIMPULAN

Lenovo Yoga 720 merupakan pilihan yang boleh dipertimbangkan, ia sangat sesuai digunakan dalam melakukan kerja-kerja pejabat, malah pengguna dapat menikmati hiburan yang baik di mana sahaja.

Namun harga yang ditawarkan agak tinggi, tetapi kami pasti pengguna akan berpuas hati setelah memakainya.

 

 

You might also like