**********

honor 9 Lite telah dilancarkan di Malaysia baru-baru ini, peranti ini merupakan sebuah telefon pintar terbaru keluaran honor untuk penggal pertama tahun 2018. honor seperti sedia maklum banyak menawarkan peranti pada harga berpatutan khususnya mereka yang inginkan penjimatan dalam masa sama inginkan peranti yang baik. Mensasarkan pengguna yang tegar berswafoto, honor 9 Lite dibekalkan kuad-kamera diiringi rekaan luaran yang moden.

Kotak Pembungkusan

Kami berkesempatan untuk mengulas dan reviu peranti ini bagi melihat sendiri apakah peranti kelas pertengahan-bawah ini mampu berikan kepada penggunanya? Sebelum kita teruskan, apa kata lihat dulu isi dalaman dan spesifikasi yang disediakan:

:: Spesifikasi ::
  • Harga: RM749
  • Paparan: 5.65” FHD+ 2160 x 1080 (~428ppi)
  • CPU: HiSilicon Kirin 659 Octa-Core
  • OS: Android 8.0 Oreo / EMUI 8.0
  • RAM: 3GB
  • ROM: 32GB (sokong kad microSD)
  • Bateri: 3,000mAh
  • Kamera Utama: 13MP + 2MP (sokong bokeh) PDAF dengan LED flash
  • Kamera Depan: 13MP + 2MP (sokong bokeh)
  • Sambungan: Bluetooth v4.2, WiFi 802.11, Slot hibrid, Kompass, Bicu audio
  • Keselamatan: Pengimbas cap jari
  • Warna: Sapphire Blue, Glacier Grey
  • Berat: 149g

Berminat? Boleh beli di >> Shopee

 

FAKTOR-FAKTOR PEMBELIAN

Bentuk Fizikal

Rekaan luaran pada honor 9 Lite dibina berasaskan badan aluminium bersama panel gelas. Panel gelas 2.5D di belakang dihasilkan berkilau untuk menonjolkan gaya si pemakai, malah sekali imbas peranti ini kelihatan seperti peranti premium.

Terdapat dua warna ditawarkan iaitu Glacier Grey dan Sapphire Blue. Jika anda merancang untuk membeli, kami sarankan anda untuk menggunakan aksesori tambahan seperti sarung pelindung. Walaupun rekaan peranti ini tampak cantik dan bergaya, permukaan belakang mudah memerangkap kesan cap jari.

Kerangka bingkai pada honor 9 Lite pada pandangan kami dihasilkan tidak kemas kerana lengkungan aluminium dipotong kepada empat bahagian – bukan dua bahagian seperti kebanyakan telefon pintar lain di pasaran. Bagaimanapun, kami faham mungkin pihak pengeluar mahu jimatkan kos dan fokus kepada aspek lain.

 

Paparan

honor 9 Lite hadir dengan nisbah paparan 18:9 FullView Display, lantas menjadikan nisbah skrin-ke-kerangka lebih besar dengan bezel yang nipis.

Paparan nisbah 18:9 digandingkan bersama honor 9 dengan nisbah tradisional (kanan)

Tidak banyak peranti di pasaran yang menawarkan paparan FHD+ pada harga sebegini, tetapi dengan honor 9 Lite pengguna boleh menikmati kandungan video pada tahap resolusi yang tinggi.

Paparan nisbah 18:9 digandingkan bersama honor 9 dengan nisbah tradisional (kanan)

Bagi kami dengan paparan yang memanjang dan reka bentuk badan yang kompak, peranti ini cukup selesa untuk dipegang. Di samping itu, berat yang perlu dibawa hanyalah seberat 149g walaupun dengan panel belakang gelas.

Paparan dengan nisbah 18:9 menjadi trend masa kini

Jika jari pengguna tidak sampai sehingga siling notifikasi, pengguna boleh mengecilkan paparan menerusi fungsi One-handed UI sama ada ke sebelah kanan atau kiri.

 

Kuad-kamera

Seperti yang kami maklumkan tadi, imej tumpu pada honor 9 Lite ialah sistem kuad-kamera yang dibekalkan. Peranti ini mempunyai dwi-kamera di sebelah depan dan dwi-kamera di sebelah belakang. Pada tanda harga di bawah RM750, konfigurasi kamera ini mampu memberikan pengguna pengalaman fotografi yang baik seakan telefon pintar kelas-atasan.

Lensa kamera depan

Kedua-dua kamera depan dan belakang boleh digunakan untuk menangkap gambar potret dengan mengaburkan imej latar belakang. Melalui fungsi PDAF (Phase Detection Auto Focus), lensa mampu menfokuskan subjek dengan pantas sebaik kamera dihalakan.

Lensa kamera depan

Bagi memudahkan pengguna, integrasi gesture atau gerakan-tangan boleh digunakan untuk mengambil gambar. Dalam ujian kami, menggunakan kaedah gesture kurang baik kerana ia menghasilkan gambar sedikit kabur.

Nak tahu hasil gambar, klik sini >> Hasil Gambar

 

Cip Kelas Pertengahan Kirin 659

honor 9 Lite mengandingkan cip berkuasa sederhana iaitu Kirin 659 Octa-core. Melalui cip ini, pengguna diberikan kepantasan dalam melayari internet, membuka aplikasi, sambungan WiFi, dan bermain game bergrafik tinggi.

Cip Kirin 659

honor juga berjaya memadankan cip ini bersama paparan beresolusi tinggi – bagi kami pengalaman hiburan yang dipersembahkan agak baik pada titik harga yang dipasarkan. Bagaimanapun, apabila membuka hampir semua aplikasi yang ada pada latar belakang, telefon ini mengeluarkan haba malah jika bukan panel gelas, mungkin kami akan ‘rendam’ ia di dalam air.

 

Android Oreo

Tidak perlu berbelanja besar untuk membeli peranti berharga ribuan ringgit, honor 9 Lite dioperasikan sistem perisian terbaru Android 8.0 Oreo terus dari kotak.

Sistem antaramuka pula ditemankan EMUI 8.0 dan kedua-dua gabungan ini membolehkan pengguna memuat turun aplikasi-aplikasi terbaru di Google Play Store.

Contoh antaramuka EMUI 8.0

Namun, ada sedikit isu apabila menatal Facebook, kami mendapati ia ada sedikit lag mungkin disebabkan perisian pada versi keluaran pertama ini masih belum dibaiki. Apa-apapun kami pasti di masa akan datang, ia akan lebih stabil dan lebih lancar.

 

Warna
Perbezaan warna kelabu dan biru

Salah satu tarikan utama yang membuatkan pengguna tertarik ialah dari segi warna. Oleh sebab itu, pada kali ini tubuh badan honor 9 Lite dipadankan dengan warna berkilau.

Perbezaan warna kelabu dan biru

Dua warna yang ditawarkan Glacier Grey dan Sapphire Blue, bagi kami ianya warna yang cantik dan bergaya. Kedua-duanya sesuai bagi mereka yang inginkan penampilan yang menonojol terutamanya pada warna biru.

 

Pengimbas Cap Jari

Aspek keselamatan sudah menjadi perkara wajib untuk semua telefon pintar pada masa kini. Jadi dari segi keselamatan, honor 9 Lite menyediakan pengimbas cap jari pada panel belakang.

Sistem keselamatan utama yang melindungi peranti daripada individu tidak dikehendaki

Dengan badan yang kompak, kedudukan sistem biometrik ini mudah dicapai dan digunakan malah ia bertindak pantas sebaik jari diletakkan. Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan kaedah nyahkunci seperti paten, PIN, dan kata laluan.

 

Sokongan kad mikroSD

Jika saiz storan asal sebesar 32GB tidak mencukupi, pengguna boleh memasukkan kad microSD sehingga 256GB. Ini sekaligus membolehkan pengguna menyimpan lebih banyak gambar, video dan fail tanpa perlu memindahkan atau memadamkannya.

Slot hibrid di sebelah sisi kerangka

Bagaimanapun, bagi pengguna yang lebih cenderung kepada aspek komunikasi, slot hibrid ini juga boleh digunakan sebagai tempat untuk meletakkan SIM kedua.

 

PRESTASI

Ujian Benchmark

Beralih kepada aspek dalaman, kami telah menjalankan beberapa ujian penanda aras untuk mendapatkan skor. Merujuk pada jadual skor di bawah, honor 9 Lite menawarkan prestasi pertengahan dari segi grafik, kepantasan dan tahap kuasa.

Secara keseluruhan, ia agak memuaskan dan peranti ini sesuai untuk dijadikan platfom hiburan seperti menonton filem dan bermain game. Selain itu, peranti ini antara peranti yang terbaik di pasaran setakat ini dalam kategori pertengahan-bawah.

 

Ujian Bateri

Bateri yang dimuatkan pada peranti ini tidaklah sebesar yang disangka. Bateri berkapasiti 3,000mAh yang diletakkan menawarkan pengguna peranti selama seharian. Melalui cip pemproses sederhana, maka kitaran masa penggunaan boleh dikira jimat kuasa.

Malangnya pada harga serendah ini, honor 9 Lite tidak menyediakan sokongan pengecasan pantas berteknologi SuperCharge tetapi hanya pengecasan berarus standard iaitu Output sebanyak 5V/2A. Ujian pengecasan juga mengambil masa yang sedikit lambat untuk bateri dipenuhkan.

  • Bateri mula dicas
  • Bateri naik kepada 29% selepas 30 minit
  • Bateri naik kepada 49% selepas 1 jam
  • Bateri penuh setelah 2 jam 20 minit dicas

 

ULASAN

Sepanjang melakukan reviu, honor 9 Lite berfungsi dengan baik. Bagi editor dengan harga RM749, ia pelaburan yang baik untuk sebuah peranti kelas pertengahan-bawah. Memegang peranti ini tidak rasa seperti memegang peranti murah sebaliknya sebuah peranti pra-premium. Kuad-kamera yang disediakan beraksi dalam keadaan baik sekali, malah kebanyakan gambar yang diambil langsung tidak mengecewakan.

Kami yakin dengan honor 9 Lite di pasaran Malaysia, sekurang-sekurangnya dapat membantu pengguna memiliki peranti pada harga mampu milik dalam masa sama menyediakan ciri-ciri menarik. Bagi yang gemar fotografi, honor 9 Lite adalah pilihan yang patut dipertimbangkan.

Pro Kontra
  • Harga berpatutan
  • Bateri sederhana
  • Sarat dengan kamera
  • Mudah memerangkap kesan cap jari
  • Android terbaru
  • Potongan mesin pada kerangka kurang kemas
  • Paparan hampir penuh
  • Bukan bicu USB-C
  • Skrin beresolusi tinggi
  • Speaker kurang mantap
  • Warna cantik
  • Butang tidak solid apabila ditekan
  • Ringan dan kompak
  • Perisian masih tidak stabil

 

 

 

 

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here