Huawei P20/P20 Pro Diperkenalkan – Tri-Kamera 40MP Leica, Skrin Rongak, Kirin 970

754
**********

Khabar angin yang sebelum ini didengar dan dilihat akhirnya terjawab. Terbaru, Huawei P20 dan P20 Pro secara rasminya dilancarkan kepada umum. Kali ini Huawei tampil dengan sebuah lagi telefon pintar induk dengan skrin ‘rongak’ pertama daripada syarikat nombor dua dunia ini. Beberapa penambah baikan telah dilakukan dan dikemaskan pada kedua-dua buah peranti.

Huawei P20 dan Huawei P20 Pro hadir dengan skrin FullView Display 18:7:9 bersaiz 5.8” LCD (2244 x 1080p) dan 6.1” OLED (2240 x 1080p). Dipadankan dengan kerangka logam dan panel badan gelas, kemasan warna kali ini lebih unik dengan warna dua tona 3D yang dinamakan Twilight. Selain itu terdapat warna Black, Champagne Gold, dan Midnight Blue untuk P20 Pro dan tambahan warna Pink Gold untuk P20. Sokongan kalis air dan debu juga disediakan dengan pengiktirafan IP67.

Perkakasan dalaman masih mengekalkan Kirin 970 seperti Huawei Mate 10, ia menyediakan memori 4GB/128GB dan 6GB/128GB pada varian Pro. Kedua-dua peranti juga menjadi antara yang terawal menggunakan sistem operasi Android 8.1 Oreo dan sistem antaramuka EMUI 8.1.

Huawei P20

Pada jabatan kamera, Huawei P20 dibekalkan dwi-kamera gabungan daripada sensor 12 MP + 20 MP, masing-masing dengan RGB dan Monochrome. Kebolehan penggambaran dalam persekitaran gelap dibantu oleh aperture f/1.8 dan f/1.6 pada setiap sensor. Apa yang membuatkan kamera berteknologi Leica generasi ketiga ini lebih maju ialah sensor 1.55um yang digunakan ialah 61% lebih besar berbanding kamera pada iPhone X, dan 22% lebih besar berbanding Galaxy S9.

Huawei P20 Pro

Sememangnya dibina untuk mereka yang gemarkan fotografi, kamera pada Huawei P20 Pro pula ditambah dengan satu lagi sensor 40 Megapiksel, sekaligus menjadikan P20 Pro telefon pintar tiga kamera berteknologi Leica pertama di dunia. Melalui teknologi ini, gabungan kesemua sensor mampu mengambil gambar didalam gelap sehingga ISO 102,400 – sementara iPhone X dan Galaxy S9 hanya ISO 6,400. Kebolehan lain turut menyokong zoom hibrid sehingga 5-kali, manakala Huawei P20 hanya terhad kepada 2-kali sahaja.

Keupayaan pada lensa Leica yang dimuatkan membolehkan rakaman gerak-perlahan 960fps dilakukan selain tekonologi Huawei AIS yang membantu menstabilkan penggambaran malam tanpa memerlukan tripod.

Di bahagian depan pula, Huawei P20 dan P20 Pro dimuatkan dengan kamera swafoto 24 Megapiksel. Ia menyokong penggambaran mod potret melalui teknologi 3D Faces berteraskan kecerdasan-buatan (AI) yang ada pada Kirin 970. Lebih menariknya, pengguna boleh menikmati swafoto seakan Potrait-Lighthing (iPhone X) menggunakan tiga efek berbeza seperti Butterfly, Split, dan Stage.

Huawei P20 dan Huawei P20 Pro mendapat bekalan bateri sebesar 3,400mAh dan 4,000mAh berteknologi SuperCharge 4.5V/5A. Walaupun mengenakan bateri yang besar, dimensi di kedua-dua peranti masih lagi nipis berbanding dua peranti induk iPhone X dan Galaxy S9.

Buat masa ini, pihak Huawei masih belum mengumumkan harga bagi kedua-dua peranti untuk pasaran Malaysia.

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here