**********

Sony Xperia XA2 Ultra merupakan model terbaru yang perlu diberi perhatian, kenapa? Salah satunya adalah penambahbaikan dari segi pemproses, Sony tidak lagi menggunakan MediaTek sebaliknya telah menyokong pemproses Qualcomm Snapdragon!

Kalau anda sudah habis baca reviu eksklusif bahagian 1 kami, tentu ingin tahu lebih mendalam keupayaan Sony Xperia XA2 Ultra ini bukan?! Okay, teruskan membaca bahagian 2 kami…

 

:: FUNGSI MENARIK ::

Mod Penjimatan & Penjagaan Bateri

Apabila anda berada di luar dan tidak membawa pengecas ataupun powerbank, Sony Xperia XA2 Ultra menjanjikan ketahanan bateri yang jauh lebih lama dengan adanya sokongan ciri STAMINA Mode dan juga Ultra STAMINA Mode.

Pemilihan mod STAMINA akan mengehadkan penggunaan data, GPS dan juga fungsi getaran, manakala mod Ultra STAMINA pula hanya membenarkan anda untuk menggunakan aplikasi asas sahaja. Selain itu ia turut menyokong fungsi Battery Care yang akan mengawal kepantasan pengecasan bagi memastikan jangka hayat bateri yang lebih lama.

 

Memudahkan Pengoperasian Sebelah Tangan

Dengan sokongan saiz kerangka dan juga paparan skrin yang besar, ia tidak menjadi satu masalah kepada pengguna untuk menggunakan dengan sebelah tangan. Ini kerana ia disediakan dengan mod pengoperasian sebelah tangan yang akan mengecilkan saiz paparan untuk memudahkan anda mencapai setiap bahagian skrin dengan sebelah tangan.

Malah cara pengaktifannya juga sangat mudah, iaitu dengan meleretkan jari dari hujung kiri atau kanan skrin ke sudut 45 darjah.

 

Mengakses Peranti Melalui Pengecaman Wajah

Sony Xperia XA2 Ultra telah menyediakan sensor pengimbas cap jari pada panel belakang dan ini adakalanya menyukarkan proses untuk mengakses sekiranya peranti diletakkan di atas meja.

Jadi sokongan Smart Lock dengan keupayaan pengecaman wajah ternyata sangat membantu kerana dengan bantuan kamera depan, anda boleh mengakses peranti tanpa perlu mengangkatnya. Selain itu, ia turut menyokong pelbagai kaedah tambahan untuk mengakses peranti berasaskan pergerakan badan, tempat, peranti dan juga suara.

 

Tetapan Audio Berkualiti

Mendengar muzik pada Sony Xperia XA2 Ultra menjanjikan pengalaman berhibur yang terbaik kerana anda memiliki pilihan untuk mengaktifkan pelbagai tetapan audio seperti ClearAudio+ yang akan mengoptimumkan tetapan bunyi, pilihan equalizer dan juga efek bunyi keliling.

Tidak cukup dengan itu, sokongan teknologi LDAC dan juga aptX turut menjanjikan kualiti muzik tanpa wayar yang terbaik dan berkualiti.

 

:: ZON UJIAN ::

UJIAN 1 : PRESTASI BENCHMARK

Bagi melihat sendiri keupayaan prestasi pemproses Qualcomm Snapdragon 630 yang disokong oleh Sony Xperia XA2 Ultra ini, kami telah memilih beberapa model yang dijual pada harga antara RM1,799 hingga RM1,999.

Sebanyak empat model telah dipilih iaitu model terbaru Samsung Galaxy A8 (2018) yang baru sahaja diperkenalkan awal tahun ini, dan tiga lagi model yang dijual sekitar tahun 2017 termasuklah Meizu Pro 6 Plus, Motorola Moto X4 dan juga honor 8 Pro. Berikut adalah keputusan ujian benchmark sintetik yang telah dijalankan…

Pendapat eRing: Jika dilihat pada skor bagi setiap ujian benchmark yang telah dijalankan, Sony Xperia XA2 Ultra bukanlah yang paling berkuasa tetapi ia juga bukanlah yang paling rendah. Kami boleh katakan sokongan pemproses Qualcomm Snapdragon 630 merupakan sebuah pemproses yang stabil dan setanding dengan kebanyakan pemproses kelas pertengahan yang lain. Selain mampu memastikan kelancaran pengoperasian yang stabil, ia juga menjanjikan penggunaan tenaga bateri yang lebih efisien.

 

UJIAN 2 : KEPANTASAN MENGECAS
Spesifikasi Bateri
  • 3850mAh
  • Quick Charge 3.0
  • Qnovo Adaptive Charging
  • Smart STAMINA
  • Battery Care

Sebagaimana model kelas pertengahan keluaran Sony sebelum ini, Sony Xperia XA2 Ultra turut didatangkan dengan adapter pengecas yang menyokong output 5V2A. Sungguhpun begitu, anda sebenarnya boleh mendapatkan pengecasan yang lebih pantas dengan menggunakan adapter pengecas yang menyokong teknologi Quick Charge 3.0.

Jadi bagi membantu pembaca untuk melihat sendiri perbezaan masa mengecas yang diambil, kami telah menjalankan proses mengecas penuh menggunakan dua adapter pengecas dengan sokongan output berbeza seperti berikut:

Masa mengecas penuh bateri dari 0% hingga 100%
  • 5V2A : 3 jam 5 minit atau 185 minit
  • 12V1.5A : 2 jam 43 minit atau 163 minit

Pendapat eRing: Memandangkan Sony Xperia XA2 Ultra tidak didatangkan dengan adapter pengecas pantas model UCH12W di dalam pakej pembeliannya, kami telah menggunakan adapter pengecas pantas Quick Charge 3.0 dari Xiaomi untuk ujian kepantasan mengecas ini.

Jika dilihat pada keputusan ujian pengecasan yang telah dijalankan, perbezaan masa yang diambil antara adapter pengecas biasa dengan adapter pengecas pantas tidak sampai 30 minit. Tetapi ini mungkin disebabkan oleh penggunaan adapter pengecas yang tidak sesuai kerana apdater pengecas yang kami gunakan adalah 12V1.5A, manakala adapter pengecas UCH12W milik Sony menyokong output maksimum 12V1.35A.

 

:: KEUPAYAAN PENGGAMBARAN ::

Spesifikasi Kamera Utama
  • 23 Megapiksel
  • 1/2.3″ Exmor RS
  • Hybird Autofocus
  • Aperture f/2.0
  • 5x Clear Image Zoom
  • ISO 12800

 

Makro

Ulasan> Poin fokus pada patung arnab di atas pokok bunga hiasan mini ini boleh dianggap sangat baik kerana warna daun berjaya dikekalkan dan hasil gambar juga kelihatan terang. Cuma secara keseluruhannya hasil gambar kelihatan agak grainy.

 

HDR

Ulasan> Gambar bangunan ini telah diambil pada waktu pagi dengan cahaya matahari yang agak terik tetapi berawan tebal. Secara keseluruhannya, mod HDR berjaya menghasilkan gambar yang sangat terang dan jelas terutamanya pada bahagian awan.

 

Indoor

Ulasan> Penggambaran dekorasi bertemakan Tahun Baru Cina ini telah diambil dalam pusat membeli belah MyTown di Cheras ini kelihatan menarik kerana ia memiliki pencahayaan yang agak baik. Kejituan serta keaslian warna berjaya dikekalkan, cuma ia agak lemah dari segi butiran gambar.

 

Malam

Ulasan> Keseluruhan hasil gambar yang diambil dalam cuaca hujan renyai ini kelihatan terang dengan sokongan aperture f/2.0, namun begitu ia berhadapan dengan isu noise yang agak ketara dan juga gambar kelihatan tidak tajam.

 

 

Spesifikasi Kamera Depan
  • 16 Megapiksel (OIS) + 8 Megapiksel (120° Super Wide Angle)
  • 1/2.6″ Exmor RS + 1/4″ Exmor R
  • Aperture f/2.0 + Aperture f/2.4
  • Auto Focus + Fixed Focus
  • 88° Normal Angle + 120° Super Wide Angle
  • ISO 6400 + ISO 3200

 

Swafoto

Ulasan> Dengan pencahayaan lampu yang agak terhad, hasil gambar swafoto menggunakan kamera beresolusi 16 Megapiksel ini kelihatan memuaskan kerana keaslian warna masih dikekalkan dengan baik.

 

Perbandingan swafoto sudut normal dengan sudut luas
16 Megapiksel (sudut normal)
8 Megapiksel (sudut luas)

 

 

:: KESIMPULAN ::

Kemunculan Sony Xperia XA2 Ultra bukanlah sebuah model yang paling berkuasa untuk kategori harga lebih kurang RM2,000 di pasaran. Sungguhpun begitu, spesifikasi yang disokong oleh Sony Xperia XA2 Ultra ini merupakan penambahbaikan yang jauh lebih baik berbanding generasi sebelum ini.

Antaranya termasuklah sokongan kamera swafoto dwi lensa dengan keupayaan sudut yang sangat luas, dilengkapi dengan sensor pengimbas cap jari yang sebelum ini tidak disediakan pada model Xperia XA1 Ultra, dan paling penting ia telah menggantikan penggunaan pemproses MediaTek dengan pemproses Qualcomm Snapdragon yang lebih diyakini oleh pengguna. Malah tidak dinafikan lagi bahawa ia menampilkan sokongan spesifikasi serta fungsi yang lengkap untuk pelbagai aktiviti dan sangat berbaloi untuk dimiliki, terutamanya untuk peminat tegar Sony Xperia.

Walaupun begitu, Sony Xperia XA2 Ultra masih lagi memiliki kekurangan yang agak mengecewakan seperti saiz bezel yang sangat besar pada bahagian atas dan bawah paparan skrin, permukaan lensa utama yang timbul meskipun ia memiliki saiz kerangka yang agak tebal iaitu mencecah sehingga 9.5mm, pengguna perlu membeli adapter pengecasan pantas secara berasingan, hanya menyokong satu speaker berkualiti mono, dan juga slot kad microSD tidak dilengkapi dengan ciri hot swap kerana peranti akan di restart setiap kali slot kad ditarik keluar.

 

 

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here