**********

HARGA RASMI: RM 1,999

Sekiranya anda sedang mencari sebuah telefon pintar yang menawarkan keupayaan swafoto yang terbaik dan juga paparan skrin yang besar untuk memenuhi keperluan multimedia, Sony Xperia XA2 Ultra merupakan model yang perlu diberi perhatian.

Apa yang lebih menariknya, model ini tidak lagi dikuasakan dengan pemproses MediaTek sebagaimana yang disokong pada generasi sebelum ini, sebaliknya ia telah menyokong pemproses Qualcomm Snapdragon yang sudah tentunya memiliki permintaan yang lebih baik di pasaran. Tidak cukup dengan itu, Sony Xperia XA2 Ultra juga sebenarnya turut menyokong spesifikasi serta fungsi yang agak lengkap secara keseluruhannya…

Baca Juga:

 

:: SPESIFIKASI ::

:: BERBALOIKAH UNTUK MEMILIKINYA?! ::

Apabila memiliki bajet yang agak terhad, perkara pertama yang sering dilakukan oleh pembeli yang pintar adalah membuat perbandingan beberapa model untuk memastikan model manakah yang paling berbaloi untuk dimiliki. Jadi sekiranya Sony Xperia XA2 Ultra menjadi pilihan anda, eRing akan membuat andaian bahawa antara kriteria utama yang anda pentingkan adalah sokongan paparan skrin yang besar iaitu sekitar 6.0 inci dan juga keupayaan penggambaran swafoto yang baik.

Jadi bagi membuat perbandingan yang lebih adil, eRing telah memilih dua model alternatif iaitu Samsung Galaxy C9 Pro dan juga vivo V7+. Pemilihan kedua-dua model ini telah dibuat setelah mengambil kira dua kriteria utama yang telah dijelaskan sebelum ini dan ia juga merupakan model yang dijual pada tahun 2017 yang lalu.

Pendapat eRing

Jika dilihat sokongan spesifikasi ketiga-tiga model ini, eRing merasakan Sony Xperia XA2 Ultra merupakan model yang lebih berbaloi untuk dimiliki berbanding dua lagi pesaingnya. Ini kerana ia telah dioperasikan dengan versi Android paling terkini yang sudah tentunya akan menyokong kemas kini lebih baru pada masa akan datang. Malah sokongan keupayaan penggambaran yang baik, kualiti audio yang baik dan juga teknologi pengecasan yang lebih pantas sudah tentunya melengkapi keperluan harian pengguna.

Samsung Galaxy C9 Pro pula dirasakan kurang berbaloi kerana dua sebab utama iaitu sokongan versi Android yang lama dan juga dikuasakan dengan pemproses 28 nm yang sudah mencapai kematangannya pada tahun 2013 yang lalu. Manakala vivo V7+ yang dijual pada harga lebih rendah ini pula dirasakan menawarkan sokongan yang sederhana secara keseluruhannya.

 

:: FIZIKAL ::

Skrin 6.0 inci 1080p

Sebagaimana yang diketahui, penggunaan ‘Ultra’ pada siri keluaran Sony Xperia merujuk kepada paparan skrin yang besar dan ini tidak terkecuali pada model terbaharu Xperia XA2 Ultra. Dengan saiz skrin berukuran 6.0 inci, ia memiliki rekaan sisi skrin tanpa bezel tetapi tampil dengan saiz bezel atas dan bawah yang agak besar.

Walaupun paparan 1080p pada Xperia XA2 Ultra tidak lagi dilengkapi dengan paparan Mobile BRAVIA Engine 2, Sony sebaliknya telah menggunakan teknologi Image Enhance Technology bagi memastikan paparan yang berkualiti.

 

Dwi kamera swafoto

Jika generasi pertama Xperia XA Ultra hanya dilengkapi dengan satu lensa swafoto beresolusi 16 Megapiksel, kini Xperia XA2 Ultra telah menawarkan dua kamera swafoto beresolusi 16 Megapiksel dan 8 Megapiksel.

Ia turut dibantu oleh LED Flash untuk penggambaran dalam persekitaran yang gelap. Selain itu, bahagian ini juga menempatkan logo ‘SONY’, sensor, lubang earpiece dan juga LED notifikasi.

 

Kamera 23 Megapikel

Panel belakang Xperia XA2 Ultra yang diperbuat daripada polikarbonat ini pula disediakan dengan kamera utama beresolusi 23 Megapiksel, satu LED Flash dan juga sensor pengimbas cap jari. Antara lensa kamera dengan sensor turut menempatkan penerima isyarat NFC.

Sedikit mengecewakan kerana kamera utamanya tidak menyokong teknologi penstabilan OIS sebagaimana lensa swafoto di depan. Malah rekaan lensanya juga sedikit timbul dari permukaan.

 

Tiga slot kad

Cara untuk mengakses slot kad pada Xperia XA2 Ultra sememangnya sangat mudah kerana ia boleh ditarik keluar tanpa perlu menggunakan pin slot sebagaimana peranti lain.

Lebih menariknya, ia disediakan dengan tiga slot kad berasingan iaitu dua slot kad nanoSIM dan satu slot kad untuk microSD.

 

Port USB Type-C

Berbeza dengan generasi sebelum ini, Xperia XA2 Ultra memperlihatkan penambahbaikan kerana ia menawarkan port USB Type-C dengan sokongan teknologi pengecasan pantas Quick Charge 3.0.

Bahagian bawah kerangka yang diperbuat daripada logam ini juga turut dilengkapi dengan satu speaker berkualiti mono dan juga satu lubang mikrofon.

 

Port 3.5mm audio jack

Sama seperti bahagian bawah kerangkanya, bahagian atas juga diperbuat daripada logam dan menempatkan port 3.5mm audio jack dan juga satu lagi lubang mikrofon.

 

Butang kawalan fizikal

Tidak dinafikan lagi bahawa rekaan butang kawalan fizikal yang dimiliki oleh peranti keluaran Sony merupakan antara yang terbaik kerana pengguna boleh membezakan antara butang melaras suara dan butang kuasa dengan begitu mudah sekali. Malah rasa klik pada kedua-dua butang itu juga terasa amat baik sekali.

Apa yang lebih menariknya, Xperia XA2 Ultra masih lagi mengekalkan penyediaan butang dedikasi kamera yang sangat praktikal untuk mengambil gambar.

 

:: ANDROID 8.0 OREO ::

Kemunculan Sony Xperia XA2 Ultra sememangnya mampu menarik perhatian pengguna kerana ia bukan sahaja menawarkan sokongan spesifikasi yang agak baik, tetapi turut dioperasikan oleh versi Android terkini iaitu 8.0 Oreo.

Sungguhpun begitu, jika dibandingkan dengan Sony Xperia XA1 Ultra yang menyokong Android 7.0 Nougat, tiada begitu banyak perbezaan antara kedua-dua antaramukanya. Jadi eRing akan berkongsi dengan anda apa pembaharuan yang disokong oleh Sony Xperia XA2 Ultra seperti berikut:

1) Notification Area

Paparan lebih praktikal kerana memaparkan status bateri, tarikh dan juga status rangkaian.

 

2) Quick Settings

Kelihatan lebih kemas kerana notifikasi dipaparkan dalam bentuk ikon dan bar tetapan dipindahkan ke bawah agar lebih mudah dicapai.

 

3) Storage

Penyediaan butang ‘FREE UP SPACE’ memudahkan proses membuang fail yang tidak diperlukan.

 

4) Settings

Senarai tetapan tidak dipisahkan oleh sub-menu dan ikon juga tampil lebih menarik.

 

5) Folder

Tampil dengan latar belakang lut sinar dan tetingkap folder lebih besar serta kemas.

 

6) Butang kawalan

Ikon butang kawalan Android Oreo kelihatan lebih kemas dan menarik.

 

:: KESIMPULAN ::

Setelah melihat sokongan spesifikasi dan juga penampilan fizikal Sony Xperia XA2 Ultra, kami merasakan model ini bukan disasarkan kepada pengguna yang mementingkan trend terkini terutamanya dari segi rekaan. Ini kerana penggunaan saiz bezel yang sangat besar pada bahagian atas dan bawah skrin sedikit sebanyak menjadikan saiz kerangkanya agak besar secara keseluruhannya. Malah Sony Xperia XA2 Ultra juga tidak menawarkan format paparan 18:9 walaupun dilancarkan pada tahun 2018.

Namun jika anda sangat mementingkan aspek swafoto, Sony Xperia XA2 Ultra tidak dinafikan antara yang terbaik di pasaran kerana dilengkapi oleh dua lensa dengan keupayaan penggambaran swafoto bersudut luas mencecah sehingga 120 darjah dan juga teknologi penstabilan OIS.

Tidak cukup dengan itu, ia turut disediakan dengan LED Flash yang sangat praktikal untuk swafoto di dalam persekitaran yang gelap. Dari segi spesifikasinya pula, kami merasakan bahawa ia menawarkan pakej lengkap dengan pelbagai ciri menarik seperti keupayaan audio hebat, kamera utama 23 Megapiksel dengan sokongan butang dedikasi kamera yang sukar ditemui pada pesaingnya yang lain, dan juga teknologi pengecasan pantas Quick Charge 3.0.

 

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here