Rasmi! Moto G5S Plus Dan Moto X4 Dipasarkan Di Malaysia

669
- Iklan -

Lenovo yang bertanggungjawab mengendalikan Motorola hari ini melancarkan dua buah peranti kelas pertengahan-bawah dan pertengahan-atas ke pasaran Malaysia. Dua peranti ini diberi nama Moto G5S Plus dan Moto X4 masing-masing hadir dengan fungsi dwi kamera.

Moto G5S Plus dilengkapi skrin bersaiz 5.5 inci dengan paparan IPS beresolusi 1080p. Menerusi kerangka logam dengan kemasan warna kusam, peranti ini menyediakan dua buah lensa gabungan kamera 13 Megapiksel f/2.0 mampu merakam imej dengan 8x zum serta efek bokeh. Untuk yang gemar berswafoto, kamera depan 8 Megapiksel menyokong mod panorama dan mod profesional.

Moto G5S Plus hadir dengan dua pilihan warna Lunar Grey dan Blush Gold

Bagi menjana peranti ini, sebuah cip pemproses Snapdragon 625 Octa-core 2.0Ghz, RAM 4GB, dan storan 32GB telah diletakkan bersama. Malah, storan dalaman boleh diperluas sehingga 128GB. Sebuah bateri berkapasiti 3,000mAh pula dimuatkan sedia menyokong pengecasan pantas TurboPower.

Beralih kepada model seterusnya, Moto X4 hadir dengan paparan IPS 5.2 inci HD penuh dipadankan bersama kerangka bodi gelas berkilau tahan lasak. Pemproses yang digunakan pula adalah Snapdragon 630 Octa-core terbaru dengan kepantasan 2.2GHz.

Sokongan memori pada peranti ini dibekalkan RAM 4GB bersama storan 64GB. Ia boleh dipertingkatkan sehingga 2TB menggunakan kad microSD selain sarat dengan bateri sebesar 3,000mAh. Untuk penggunaan selama 6 jam, TurboPower mampu mengecas dalam masa hanya 15 minit sahaja.

Moto X4 boleh didapati dengan warna Super Black atau Sterling Blue

Dwi kamera di belakang dibina berasaskan sensor 12 Megapiksel salah satunya ditugaskan untuk mengambil gambar bokeh dan monochrome. Video boleh merakam format dengan pilihan 4K 30fps, 1080p 60fps, 720p 30fps, serta gerak perlahan. Di samping itu, ciri seperti Ultra-wide angle, Selective focus, Background replacement (beta), mod Pro, Spot Color, dan Landmark Recognition boleh ditetapkan semasa mengambil gambar.

Melengkapkan peranti ini, ia menyokong sambungan Bluetooth 5.0, USB Type-C, Dwi nano SIM, dan bodi kalis air serta debu IP68.

Kedua-dua Moto G5S Plus dan Moto X4 dioperasikan oleh Android 7.1.1 Nougat yang menyokong kemas kini Android 8.0 Oreo terbaru. Harga yang dicadangkan untuk Moto G5S Plus ialah RM999, manakala Moto X4 dijual pada harga RM1,899 di stor rasmi Motorola dan pengedar sah seluruh Malaysia bermula hari ini.

Bagi anda yang berminat dengan Moto G5S Plus, Lazada menawarkan hadiah percuma sehingga RM587 bermula hari ini sehingga 11 November depan.

- Advertisement -

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here